suria

Peluk cium adik-adik di awal pagi, ramai hiba lihat pelajar berjubah serban... sejuk perut ibu mengandung, anak sukarela nak masuk tahfiz

Zakir sangat akrab dengan dua adiknya.

GELAGAT seorang kanak-kanak lelaki lengkap berjubah serta berserban putih yang memeluk dan mencium dua adiknya yang sedang tidur nyenyak, benar-benar meruntun hati warganet.

Apatah lagi video berkenaan diiringi dengan lagu Rindu Memaksaku Menyayangimu alunan Francisca Peter, ternyata ia cukup membuatkan rata-rata yang menontonnya turut merasa sebak.

Berkongsi cerita dengan mStar, Roziana Mamat berkata video tersebut dirakam bulan lalu ketika anak sulungnya, Muhammad Zakir Zafran Zawawi, 11, mahu kembali semula ke asrama selepas pertama kali bercuti di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa menangis anak 7 tahun minta masuk tahfiz sebab nak beri syafaat pada keluarga, kini dah boleh ‘belanja’ banyak surah

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu ‘hadiah’ rotan untuk anak baru balik sekolah tahfiz, tak tahan telinga... bising terjerit-jerit main game! - “Dia sempat mute headphone”

Menurut Roziana, anak sulungnya itu menuntut di Maahad Tahfiz Darul Uloom Islamiah, Bukit Takal, Kemaman, Terengganu.

"Zakir mula mendaftar masuk pada 2 Januari lalu. Selama 40 hari kami tak boleh melawat dia, itu syarat bagi semua pelajar baru. Selepas habis tempoh 40 hari, ustaz bagi cuti hanya dua hari.

"Jadi waktu cuti tu memang Zakir habiskan masa dia dengan adik-adiknya Video tu dirakam sewaktu saya dan suami dah nak pergi hantar dia semula ke maahad.

"Selepas saya balik, adik-adiknya masih sedih sebab mereka ingatkan abang mereka bercuti lama sikit," cerita ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia 11 tahun, lapan tahun dan lima tahun.

Berkongsi lebih lanjut, wanita berusia 33 tahun ini berkata, dia begitu terharu dan sama sekali tidak menyangka hajat untuk menuntut ilmu di maahad tahfiz disuarakan sendiri oleh anak sulungnya itu.

tahfiz 1

Zakir menuntut di Maahad Tahfiz Darul Uloom Islamiah, Bukit Takal, Kemaman.

"Saya pernah mengikuti rombongan ustazah yang mengajar agama di kampung saya untuk hantar sedekah ke tahfiz tersebut pada tahun 2019. Waktu itu saya teringin sangat nak zakir belajar sana juga.

"Tahun 2020 saya mula bertanya kepada ustaz, waktu itu Zakir belum layak kerana tidak mencapai syarat layak umur untuk masuk. Selepas itu saya selalu bercerita kepada dia, selalu bercakap dengan dia mengenai hajat saya nak dia belajar situ.

tahfiz 2

Roziana bersyukur anak sulungnya terbuka hati untuk menuntut di tahfiz.

"Akhir tahun 2021, dia sendiri cakap 'abang nak sekolah dekat tempat mama selalu cakap'. Waktu itu umur dia dah layak masuk dan ustaz terima dia sebagai pelajar di situ," ceritanya yang menetap di Dungun.

Menurut Roziana, tempoh seminggu pertama selepas Zakir mendaftar masuk ke maahad berkenaan ibarat drama air mata yang tidak berkesudahan, lantaran anak sulungnya itu amat rapat dengan kedua-dua adiknya.

Cita-cita kalau tanya dia sekarang selalu saja cakap nak jadi orang azan dekat Madinah. Terlalu besar cita-citanya.

ROZIANA MAMAT

IBU

"Minggu pertama kami masih dalam tangisan. Adik-adik rindukan abang mereka. Anak kedua tak lalu nak makan, si adik pula menangis saja mungkin tak biasa abang tak ada.

"Alhamdulilah sekarang mereka dah ok dan adik-adik pun berhajat nak sekolah seperti abangnya.

"Cita-cita kalau tanya dia sekarang selalu saja cakap nak jadi orang azan dekat Madinah. Terlalu besar cita-citanya. Saya dengan ayah dia memang menyokong sahaja apa yang diimpikan," ujarnya yang bekerja sebagai tukang jahit.

Tidak menyangka perkongsian videonya meraih sehingga 669,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, Roziana berkata dia begitu terharu dengan komen positif serta doa yang dilontarkan warganet untuk anak sulungnya itu.

tahfiz 3

Zakir bersama datuk dan neneknya.

"Alhamdulilah ramai yang doakan Zakir. Semua komen menyentuh hati. Saya tak sangka video itu sampai membuatkan ramai tersentuh.

"Pesanan dari saya, galakkan dari awal untuk tanam minat anak ke maahad tahfiz. Lebih elok biarlah tiada paksaan daripada ibu bapa," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain