PENGORBANAN ibu dan ayah tiada tolok bandingnya. Maka tidak hairanlah lagu dendangan bintang lagenda Sharifah Aini berjudul Kasihnya Ibu menjadi siulan sehingga kini. Namun demikian, sebagai ibu bapa, adakah wajar mereka menuntut setiap perih lelah yang telah dikeluarkan saat membesarkan anak-anak? ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah nak cari duit beli food truck! Wanita ini terpaksa repair kek ‘kemalangan’ depan pelanggan, mujur lori tak remuk ARTIKEL BERKAITAN: Saat bisnes baru bertapak, kaki kiri dipotong akibat dilanggar lori 3 tan... OKU diduga anak derita tumor, ayah kanser usus tahap 4! Menerusi hantaran ringkas pengacara dan penyampai radio Ahmad Fedtri Yahya di media sosial, seorang individu meluahkan rasa kecewa apabila ibu dan ayahnya seolah-olah mewajibkan setiap anak membuat pinjaman peribadi atas alasan untuk membalas jasa. "Bagi orang lain hari gaji adalah hari dinantikan, tapi sebaliknya bagi saya. Setiap bulan hari gaji mesti akan jadi isu, ibu bapa seolah-olah mewajibkan setiap anak membuat pinjaman RM50,000 untuk balas jasa mereka. "Kakak dan abang saya dah buat, jadi mereka nak saya juga buat pinjaman sedangkan saya tidak mampu untuk itu kerana komitmen tinggi. Apabila dikira gaji saya tolak segala komitmen semua tinggal tambah tolah RM35 sahaja... itu belum campur sakit demam. Netizen berkongsikan pandangan dan situasi yang dialaminya. "Tapi jujur saya tak mampu kerana saya masih ada hutang PTPTN dan sekarang sudah berkeluarga. Komitmen kereta dan sara hidup di kota sangat tinggi namun ibu bapa seolah-olah tidak dapat terima dan menganggap saya tidak kenang budi," rintihnya. Luahnya lagi, ibu yang disayangi itu juga pernah menyatakan punca dia tidak mempunyai zuriat adalah disebabkan memberi duit bulanan sekitar RM200 hingga RM300 yang dinilaikan sebagai sedikit. Ekoran daripada perkongsian tersebut, ruangan komen platform media sosial itu seolah-olah menjadi medan luahan perasaan. Malah kebanyakan pelayar Twitter mengakui mereka turut melalui perkara yang sama. Ramai yang mengalami nasib sama. "Saya pun alami situasi yang sama, anak derhaka sejak remaja... ingatkan dah 40-an ni selesai rupanya masih menuntut langsaikan hutang membesarkan saya. Walaupun keperluan harian dah dipenuhi, duit bulanan diberi. Saya dah tak mampu memendam perasaan." "Saya bujang dengan gaji RM2,900. Bayar RM1,000 hutang keluarga (pinjaman perumahan) untuk kurangkan beban mereka yang sudah bersara, saya terkejut bila ada keluarga paksa buat pinjaman. Awak tolong apa yang mampu jangan sampai terbeban diri, moga dipermudahkan... saya sekarang sudah hilang kerja." "Saya ada kenal orang yang kena macam ni. Anaknya masing-masing penjawat awam, ibu bapa minta setiap seorang anak buat pinjaman untuk balas jasa tapi tidak pasti berapa jumlahnya... buat pinjaman dari bujang, akhirnya sampai sekarang anak-anak tampung hutang yang banyak." Ramai ibu bapa yang meletakkan 'harapan' apabila anak-anak sudah besar. "Berkait juga dengan situasi ni, pernah sekali mak ayah suruh buat pinjaman sebab mereka nak langsaikan hutang. Kemudian cakap nak bayar setiap bulan tapi sampai sekarang tak bayar. Nak minta serba salah sebab mak ayah sendiri." "Mak saya pernah tak bercakap sebulan dengan saya sebab tak dapat bagi duit kat dia satu bulan. Sebab betul sesak, sebelum tu elok bagi dia RM400 dan dia suruh beli rumah supaya semua keluarga boleh pindah ke bandar and adik-adik tak perlu menyewa." Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN Menyusuri pandangan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara'. Malah katanya, hukum itu juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. "Mengenai hadis (أنت ومالُك لأبِيك), para ulama menjawabnya dengan dua jawapan iaitu, huruf lam pada perkataaan (لأبِيك) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. "Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أنت ومالُك لأبِيك) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116). "Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Antara petikan daripada huraian yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. "Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya. "Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: 'Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain'. Kesimpulannya, jelas kenyataan itu, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Tambahnya, jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI