suria

Sebak! Baru 3 tahun berkhidmat, ada sebab majikan berat hati lepaskan staf... siap offer kerja semula, kalau boleh nak belikan kereta

Nelly bersama Amir yang merupakan pekerja kesayangan di kedai makan miliknya.

SETIAP pertemuan pasti ada perpisahan.

Begitulah kata-kata yang sesuai bagi menggambarkan situasi di mana seorang majikan terlalu berat hati untuk 'melepaskan' pekerjanya yang diibaratkan 'satu dalam sejuta'.

Sungguhpun hanya sempat berkhidmat selama tiga tahun, namun tempoh tersebut cukup membuatkan pekerja bernama Wan Muhammad Amir Wan Jusoh, disayangi dan disenangi majikannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah apa kebaikan majikannya! Patutlah menangis teruk, sayang nak tinggalkan bos Cina dianggap 'terpaling' baik

ARTIKEL BERKAITAN: Bersemangat kali pertama nak belajar menjahit, mesin jahit majikan sampai berasap 'dikerjakan' pekerja... bos 'sound' baik punya!

Berkongsi cerita dengan mStar, Nelly Nordin berkata, sungguhpun berat hati namun demi masa depan pemuda tersebut yang mahu mencari pengalaman baharu di ibu kota, dia mengambil pendekatan berlapang dada.

"Amir mula bekerja dengan saya pada 2019... ketika itu saya buka kedai makan Adelia Kitchen kerana suka berniaga, manakala suami adalah kakitangan majlis perbandaran. Saya iklankan kerja kosong dan ibunya yang hubungi saya, beritahu anaknya mahu mencari kerja.

"Amir ini pemuda kampung berusia 19 tahun ketika itu. Saya tahu dia bukan daripada keluarga yang senang... ibu ayahnya mengambil upah sebagai tukang urut dan mereka dari sebuah kampung di Marang. Dia merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik dan lulusan sekolah pondok.

"Pada mulanya dia bekerja sebagai tukang sapu dan pelayan. Masa kedai saya tutup sementara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tak cari kerja lain... dia takut nanti saya perlukannya di kedai.

amir 1

Nelly (dua, kanan) bersama Amir (tengah) dan pekerjanya.

"Bila saya buka Warong Banana Kitchen di Kampung Kelulut, Marang pada Mac tahun lalu, dia sambung kerja dengan saya sehingga hari terakhirnya pada 21 Mac," ujar Nelly dalam nada sebak.

Menurut wanita berusia 28 tahun itu, dirinya sebak ketika Amir meminta pandangannya terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

"Amir tanya saya, boleh ke kalau dia nak ke Selangor? Katanya nak cuba cari pengalaman. Kita pula risau nak lepaskan dia ke tempat orang sebab dia sendiri tak pernah sampai ke Selangor.

"Memang sedih bila Amir beritahu hasratnya. Saya sebolehnya nak halang, tapi sampai bila? Saya tak mahu halang impian atau cita-cita dia.

amir 2

Amir diraikan ketika hari terakhirnya bekerja di Warong Banana Station pada 21 Mac lalu.

"Pada 21 Mac lalu adalah hari terakhirnya bekerja. Kalau ikutkan, dia akan ke Selangor pada 2 April. Dalam tempoh senggang sebelum ke Selangor, boleh kata setiap hari dia datang ke kedai.

"Dia tolong angkat pinggan, tolong macam-macam... itu yang saya sayang sangat. Kalau boleh bagi award, memang nak bagi dia. Saya pernah kata, kalau saya ada banyak duit, saya nak beli kereta sebuah untuknya. Sekarang ini saya hanya mampu bayar gajinya RM1,500 sebulan.

"Masa pergi makan beramai-ramai dengan pekerja lain, saya tanya lagi 'betul ke nak pergi?'. Dia kata nak cuba dulu. Saya kata, kalau ada masalah, datang je sini semula," ujar wanita ini lagi.

Memang sedih bila Amir beritahu hasratnya. Saya sebolehnya nak halang, tapi sampai bila? Saya tak mahu halang impian atau cita-cita dia.

NELLY NORDIN

MAJIKAN

Selain bersikap ringan tulang, Nelly berkata, keperibadian yang dimiliki pemuda berusia 21 tahun itu merupakan antara sebab mengapa dirinya begitu disenangi.

"Amir seorang yang pemalu, tak reti cakap kasar. Dia iyakan apa yang kita cakap. Dia juga amanah, jujur, rajin dan tak pernah membantah. Kalau buat salah, cepat je dia minta maaf," ujarnya lagi.

Sekadar memuat naik video Amir di aplikasi TikTok sebagai kenangan, Nelly berkata, dia sama sekali tidak menyangka perkongsiannya itu meraih lebih 1.1 juta tontonan.

amir 3

Amir merupakan seorang pekerja yang ringan tulang dan amanah.

"Saya pun tak tahu video tu viral. Masa bersedih sebab Amir nak berhenti, sambil-sambil tu saya edit video untuk dijadikan kenangan.

"Mesej yang cuba saya sampaikan adalah bekerjalah dengan ikhlas. Kalau nak tahu, Amir masa mula masuk kerja, tak pernah tanya tentang gaji.

"Bila saya bagi lebih, dia pula yang akan tanya dan segan nak terima. Bila pekerja jujur, amanah dan rajin, majikan pun tak lokek nak memberi lebih," ujarya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain