suria

Bersuara isu siswa B40 diperlekeh... kata Dr Maza, marah si pensyarah ertinya ada nilai kasih kepada pelajar

Dr Mohd Asi melontarkan pandangan bersabit isu kontroversi membabitkan seorang pensyarah wanita, baru-baru ini.

ISU kontorversi membabitkan seorang pensyarah wanita yang viral kerana memperlekehkan seorang pelajarnya gara-gara tidak memiliki komputer masih mendapat perhatian ramai.

Terbaharu Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut berkongsi pandangan beliau mengenai isu kontroversi tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram @drmaza_official pada Khamis, Mohd Asri berkata isu berkenaan wajar dilihat secara adil dengan meneliti segenap aspek terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Zahid Hamidi backup pensyarah, geram siswa tak ambil serius hal komputer... katanya B40 pun ramai berjaya sebab tahu keutamaan

ARTIKEL BERKAITAN: Profesor viral akan dikenakan tindakan rupa-rupanya pensyarah kontrak UiTM Seri Iskandar... hikmahnya, siswa B40 dapat komputer riba

"Saya pernah belajar di universiti dan pernah jadi pensyarah universiti. Saya bersetuju bahawa semua kita termasuk pensyarah wajib memilih perkataan yang baik dalam penyampaian dan nasihat.

"Bahasa yang dipilih melambangkan kesopanan yang ada dalam diri kita. Tegas ada batas, garang pun ada sempadan. Bahasa yang buruk, terbit dari kesopanan yang rendah.

"Dalam masa yang sama, kita juga perlu tahu, seorang pensyarah universiti jika sekadar mengira soal gaji, boleh sahaja tidak peduli perkembangan pelajar yang mengambil kursusnya.

Perkongsian Dr Mohd Asri menerusi satu hantaran di Instagram.

Perkongsian Dr Mohd Asri menerusi satu hantaran di Instagram.

"Siapa lulus, dia lulus. Siapa gagal, dia gagal. Gaji pensyarah tidak akan berkurangan," tulisnya.

Tambah Mohd Asri, bagaimanapun jika seorang pensyarah bersikap tegas dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu, ia adalah kerana matlamat utamanya mahu melihat pelajar berjaya.

"Ertinya ada nilai tanggungjawab yang lebih dalam diri pensyarah tersebut. Jika dia marah pelajar lewat atau tidak buat tugasan, ertinya ada nilai kasih kepada pelajarnya.

Tangkap layar (screenshot) video seorang pensyarah yang tular baru-baru ini.

Tangkap layar (screenshot) video seorang pensyarah yang tular baru-baru ini.

"Boleh sahaja untuk tidak peduli dan beri sahaja markah yang rendah atau gagalkan. Tapi, seorang yang ada jiwa guru dalam dirinya, pasti bukan itu pilihannya.

"Kita wajar adil dalam hal ini. Perkataan yang buruk ditolak, kesungguhan ingin pelajar berjaya satu sikap yang dihargai," tulisnya lagi.

Pandangan mufti berkenaan rata-ratanya disokong netizen yang menyifatkannya sebagai pandangan bernas daripada seorang tokoh agama yang dalam masa sama mengandungi nasihat untuk iktibar bersama.

"Tepat sekali kata-kata Dr dan adalah adil untuk kita menilai sesuatu dalam aspek baik dan kuang baik," tulis @puteri_afroze.

Antara komen netizen pada perkongsian Dr Mohd Asri.

Antara komen netizen pada perkongsian Dr Mohd Asri.

"Cergas dan cerdas pandangan dan nasihat. Terima kasih Dr," komen @reezaziempire.

"Terbaik Datuk Maza. Semuanya ada perspektif berbeza. Kadang-kadang mulutnya laju tapi hatinya baik dan selalu mendoakan dalam diam," tulis @kopiecafe pula.

Untuk rekod, rakaman video kelas online, memaparkan pensyarah itu memarahi pelajarnya tular di media sosial sejak Selasa malam.

Ia mengundang perhatian pelbagai pihak, dengan majoritinya melontarkan kecaman terhadap pensyarah wanita berkenaan.

Pada Rabu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kenyataan rasmi memaklumkan akan mengambil tindakan ke atas pensyarah berkenaan.

Menurut Nab Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, insitusi pengajian itu sedang meneliti kes berkenaan.

Tambah Roziah, pensyarah wanita itu, Profesor Dr Ts Roshana Takim adalah pensyarah yang bagus dan mungkin berlaku sedikit kesilapan mengenai tindakannya memarahi pelajar berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain