suria

Budu saja tak cukup! Instafamous ikut suami kerja di luar negara sanggup belajar buat kuih akok untuk berbuka

Eyna kini menetap di Arab Saudi kerana mengikut suaminya yang bertugas dalam bidang minyak dan galian.

KEHADIRAN Ramadan kali ini ternyata amat berbeza buat usahawan muda yang juga Instafamous, Suhaina Adnan.

Bukan sahaja pertama kali berpuasa dengan status sebagai seorang isteri, malah dia juga pertama kali menyambut Ramadan di perantauan, lantaran mengikut suami, Razi Zahari, yang bertugas dalam bidang minyak dan galian (oil and gas) di Arab Saudi.

Seumur hidup tidak pernah berjauhan dalam tempoh yang lama dengan keluarga tercinta, selebriti media sosial yang lebih dikenali sebagai Eyna Nan ini mengakui dia masih dalam fasa menyesuaikan diri di negara orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki Kak Long 7E melimpah-ruah, bisnes bazar makin kencang... Jadikan Ramadan bulan perbaiki akhlak, dekatkan diri kepada Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan pertama sebagai isteri, Mira Filzah tak banyak masa berbuka dengan suami... jadual padat sampai Syawal

"Selama hampir 21 tahun tak pernah berpisah dengan keluarga. Saya sangat rapat dengan keluarga. Dalam adik-beradik, saya orang pertama yang menetap di luar negara.

"Cabaran utama, nak kena menyesuaikan diri dengan gaya hidup negara Arab sama ada dari segi suasana, makanan, cuaca, budaya dan lain-lain. Boleh dikatakan 90 peratus tak sama dengan Malaysia.

EYNA 1

Pertama kali menjalani ibadah puasa sebagai suami isteri.

"Paling sukar, cabaran dari segi bahasa. Majoriti orang di sini berturut dalam bahasa Arab. Arab Saudi tak macam Dubai. Jadi susah sikit kalau nak beli barang, nak perkhidmatan apa-apa. Macam ayam dan itik bila berkomunikasi," ujar Eyna yang sudah dua bulan menetap di Arab Saudi.

Bercerita mengenai sambutan Ramadan di tanah Arab, Eyna yang merupakan pengasas produk pelangsingan badan, Mimpikempeh dan jenama hijab Thesho.scarve berkata, suasana di negara berkenaan sama sekali berbeza dengan Malaysia.

"Di sini tak ada bazar Ramadan. Jadi saya dan suami lebih suka memasak juadah berbuka sendiri sebab nak juga makan makanan kita. Di sini juga, pertama kali saya cuba buat kuih-muih seperti akok dan onde-onde. Rasa belakang kira, yang penting ada.

EYNA 4

Eyna dan suaminya lebih gemar menyediakan juadah berbuka puasa di rumah.

"Mengidam nak makan akok, ayam percik, air tebu, air kelapa dan lain-lain. Memang tak jumpa dekat sini. Tapi paling rindu, tentunya nak buka puasa dengan keluarga. Saya terliur tengok Instagram Story adik-beradik dan kawan-kawan pergi bazar.

"Jadi kami dah bersedia awal-awal dengan membawa makanan dari Malaysia seperti kicap, daging ready to eat Jakpa Tonggek, keropok, ikan bilis, dan paling penting budu," cerita Eyna yang berasal dari Tumpat, Kelantan.

Selain itu cerita Eyna, dia kagum dengan budaya masyarakat Arab Saudi yang begitu meraikan kedatangan Ramadan.

Mengidam nak makan akok, ayam percik, air tebu, air kelapa dan lain-lain. Memang tak jumpa dekat sini.

EYNA NAN

"Orang dekat sini, mereka hormati bulan Ramadan. Restoran tutup siang hari. Suasana tak sibuk... jalan kosong, shopping mall kosong. Selepas berterawih, baru meriah. Timing bisnes dan bersosial semua berubah ketika Ramadan.

"Sementara itu timing bekerja berubah. Di sini maksimum waktu bekerja adalah enam jam. Mereka galakkan kita habiskan masa dengan keluarga dan beribadat.

"Lagi satu, orang sini suka lepak. Kalau bahasa kita, moreh. Memang meriah, kedai buka sampai subuh. Mereka memang menghidupkan bulan Ramadan. Memang tak sunyi. Kalau ada 10 kedai kopi tepi jalan, semua penuh.

"Buat masa ini, kami suami isteri berterawih di rumah sahaja," ujar Eyna.

EYNA 2

Selain budu, mi segera dan daging ready-to-eat merupakan dua barang makanan wajib yang dibawa dari Malaysia.

Dua bulan berada di negara orang dan jauh terpisah beribu batu dari keluarga, Eyna mengakui perasaan rindu kerap kali bertandang lebih-lebih lagi dia datang daripada sebuah keluarga yang besar.

"Memang setiap hari saya video call dengan famili untuk lepaskan rindu. Ibulah orang paling risau sebab pertamanya, kami jauh di negara orang, dan keduanya, saya baru bergelar isteri. Macam-macam nasihat yang ibu beri.

"Alhamdulillah, saya ada beberapa kenalan yang menetap di Arab Saudi juga. Rakan-rakan suami yang dah berkeluarga pun ada di sini. Jadi secara tak langsung boleh ubati rasa rindu dengan keluarga di Malaysia," ujar Eyna yang merupakan anak bongsu daripada 23 adik beradik.

EYNA 3

Eyna kini masih dalam fasa menyesuaikan diri sejak menetap di Arab Saudi.

Bercerita mengenai perancangan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi, Eyna berkata sekiranya tiada aral, dia dan suami merancang untuk pulang berhari raya di tanah air bersama keluarga tercinta.

"Jika tiada aral, kami bercadang akan balik beraya ke tanah air. Dua hari sebelum raya. InsyaAllah dua minggu bercuti.

"Tapi ada kemungkinan juga beraya di perantauan. Kalau terpaksa beraya di sini kerana suami ada urusan kerja, mungkin akan terbangkan famili ke sini. Boleh terus buat umrah sekali.

"Mudah-mudahan ada rezeki untuk pulang beraya di Malaysia," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain