suria

Belajar tinggi tapi anak lebam sebab kena cubit pun tak mampu nak kesan! Doktor terdiam rakan mengadu anaknya didera pengasuh

Seorang doktor berkongsi kisah mengenai anak rakannya yang didera pengasuh. - gambar hiasan

KES kanak-kanak termasuk bayi didera pengasuh bukan perkara baharu.

Malah, tular video baru-baru ini mengenai seorang pengasuh bukan sahaja menampar anak kecil yang dijaganya, malah diketuk menggunakan sudip.

Apakah dosa anak-anak kecil itu sehingga diperlakukan sebegitu kejam?

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasuh lempang bayi bertalu-talu, ketuk kanak-kanak guna sudip! Video viral dikatakan dirakam anak tiri usia 11 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Terbongkar! Pengasuh tampar, ketuk budak guna sudip didakwa pernah dera kanak-kanak lain... selalu ada kesan luka cubit di badan

Kisah penderaan kanak-kanak ini juga membuatkan seorang doktor tergamam selepas kejadian yang hampir sama dialami sendiri oleh rakannya.

"Tergamam saya bila kawan saya kongsikan cerita ni. Dia ceritakan yang dia dapat tahu anaknya didera di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.

"Sebab anaknya ni terlalu aktif, anak dia dicubit di badan sampai kulitnya merah dan lebam-lebam. Awalnya, dia fikir mungkin si kecil tu cuma terjatuh. Langsung tak terdetik fikiran yang bukan-bukan," tulis Dr Redza Zainol menerusi satu posting.

anak kawan didera

Kesan penderaan dan kemalangan membabitkan kanak-kanak.

Selepas disiasat, Dr Redza berkata, salah seorang pengasuh tersebut akhirnya mengaku dia melakukan penderaan.

Tambah doktor itu, insiden yang berlaku membuatkan rakannya menjadi trauma.

"Sebenarnya dia paling kecewa sebab dia lambat nak kesan tanda-tanda yang anak dia ni dah didera.

"Sepanjang minggu, anaknya banyak termenung dan jadi sangat pendiam. Bila berborak, nampak dia tak fokus dan matanya cuma pandang tembus muka mak ayah tanpa perasaan.

"Bila dia bersemuka dengan pengasuh, barulah tahu perkara sebenar. Kawan saya ni orangnya berpelajaran dan memang jaga anak sebaik-baiknya.

"Yang buat saya sebak bila dia cakap apa guna belajar tinggi-tinggi tapi tak perasan pun anak sendiri kena dera. Terdiam saya," ujarnya.

dr redza zainol

Dr Redza Zainol sering berkongsi kisah keibubapaan dan kesihatan di laman sosial.

Susulan itu, Dr Redza berkongsi lima tanda kemungkinan anak didera iaitu pertama, kanak-kanak mengalami mimpi buruk yang berulang.

"Selalunya anak tak dapat tidur malam yang nyenyak. Perkara yang menakutkan anak tu sentiasa menghantui anak sampai masuk ke dalam mimpi.

Sebab anaknya ni terlalu aktif, anak dia dicubit di badan sampai kulitnya merah dan lebam-lebam. Awalnya, dia fikir mungkin si kecil tu cuma terjatuh.

DR REDZA ZAINOL

"Kedua regress, maksudnya perkembangan anak tiba-tiba merosot. Anak umur lima tahun, tiba-tiba berperangai macam umur dua atau tiga tahun. Contohnya terkencing waktu malam, takut pada gelap dan menghisap ibu jari," katanya.

Ketiga, Dr Redza berkata, lampin anak akan sentiasa penuh apabila ibu bapa mengambil anak dari tempat asuhan.

anak kawan didera 2

Dr Redza Zainol berkongsi tanda-tanda kanak-kanak mungkin didera.

"Boleh jadi pengasuh kita jenis tak prihatin dan jarang tukarkan lampin anak. Satu lagi tandanya ialah ruam lampin yang berpanjangan.

"Keempat, anak tiba-tiba jadi memberontak dan impulsif (sangat kurang sabar). Ini cara anak melindungi diri sendiri setelah didera berkali-kali.

"Kelima, anak menjadi sangat takut bila nak dihantar ke pusat asuhan atau sangat takut bila ditinggalkan seorang diri. Mak ayah akan perasan anak jadi lebih ‘clingy’ berbanding biasa. Dia akan ikut je mak ayah ke mana-mana.

"Biar kita semua jadi lebih peka dengan tanda-tanda kecil ni. Kadang-kadang anak kita tak tahu cara nak mengadu. Kitalah yang kena bantu mereka," katanya menerusi posting yang ditulis di laman Facebook miliknya sehingga dikongsi 2,000 kali.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain