suria

Pelajar istimewa ‘sesat’ di sekolah biasa, rakan sekelas tak layan... Nasib baik cikgu pantas buat kerja, hasilnya luar biasa!

Mohd Fadli (kiri) berkongsi kisah meruntun jiwa mengenai salah seorang anak muridnya yang istimewa, Seri. Foto: Facebook Mohd Fadli Salleh

TIADA mana-mana insan di dunia ini yang meminta untuk dilahirkan dengan fizikal kurang sempurna.

'Anugerah' ini ada kalanya membuatkan seseorang berasa rendah diri, kurang berkeyakinan dan malu berdepan dengan khalayak yang diciptakan sempurna.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang guru bernama Mohd Fadli Salleh berkongsi kisah menyentuh jiwa mengenai seorang anak muridnya yang dilahirkan istimewa.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru terkejut, anak murid tunjuk reaksi tak disangka selepas diminta kongsi bekal dengan rakan yang lemah, tak mampu teruskan puasa

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan buka sekarang, saya malu” - Guru tak akan lupa bisikan murid yatim pada hari jadinya, meruntun hati tengok hadiah dalam kotak kasut

Menurut guru ini, dia mula menyedari tentang perwatakan berbeza murid perempuan tahun satu tersebut berbanding rakan-rakannya lain yang seronok memasuki sekolah dan bertemu dengan rakan-rakan baharu.

"Hari pertama persekolahan, Seri (bukan nama sebenar) sangat pendiam. Orang lain dah bergerak masuk kelas, Seri masih duduk sendirian.

"Seolah-olah dia langsung tak faham arahan. Tapi dia tak menangis. Cuma menunduk tak nak pandang wajah dan mata guru.

fadli 2

Seri (depan) lebih banyak tunduk dan dan bersendirian ketika hari-hari pertama memasuki tahun satu.

"Puas la cikgu-cikgu memujuk. Termasuk PK (Penolong Kanan) Petang. Kena pimpin baru dia nak bangun dan berjalan masuk kelas.

"Setiap hari memang akan ada guru yang pimpin masuk kelas. Kalau tak, dia akan duduk tanpa bergerak kat dewan," kongsi Mohd Fadli menerusi satu hantaran di Facebook.

Sehinggalah pada satu ketika, kelainan murid perempuan berkenaan disedari oleh beberapa orang guru, di mana situasi tersebut diyakini menjadi punca kepada sikap yang dipamerkan olehnya selama ini.

"Masa dia berjalan, kami guru-guru perasan, sebelah kakinya tempang. Selepas dirisik, rupa-rupanya Seri anak istimewa. Pendengaran dia pun ada masalah, pertuturan juga.

fadli 1

Beberapa murid lain menawarkan diri membantu Seri selepas teguran Mohd Fadli.

"Dalam kelas, Seri hanya menyendiri. Tidak bergaul dengan sesiapa dan tiada siapa nak mendekatinya," tulisnya.

Tidak mahu ada jurang sesama rakan sekelas, Mohd Fadli mengambil pendekatan untuk memperbaiki situasi berkenaan agar Seri tidak berterusan bersendirian.

"Maka aku bercakap pada semua murid dalam kelas Seri, 'dalam kelas kita, ada seorang murid istimewa tau. Murid istimewa ni biasanya tempat mereka di syurga akhirat kelak.

"Kena layan dan berkawan dengan murid istimewa ni. Kena bantu dia, kena tolong dia. Jangan pulaukan,dan memalukan dia. Awak tahu siapa?

"Tanpa aku suruh, dua tiga kawan berdekatan dia bangun dan terus menuju kat Seri. 'Awak. Nanti kita rehat sama-sama ya'. 'Awak nak pergi tandas cakap kat saya ya, saya teman'. 'Awak nak pensel tak? Kita ada pensel lebih'.

Aku sentiasa menitik berat hasil dan sikap dalam mendidik anak-anak. Biarlah kurang pandai dalam pelajaran, namun akhlak dan sikap biar santun dan beradab.

MOHD FADLI SALLEH

GURU

"Serius masa tu bergenang kolam air mata aku. Betapa murni dan sucinya jiwa anak-anak ini. Kita cuma perlu beri sedikit 'spark' untuk menghidupkan api kasih sayang dan keprihatinan dalam jiwa mereka," kongsinya lagi.

Tambahnya, apa yang berlaku selepas itu nyata membuatkan hatinya berasa lega apabila melihat sendiri reaksi dan penerimaan murid-murid lain terhadap Seri.

"Selepas hari itu, setiap hari akan ada kawan-kawan dia pimpin Seri masuk kelas. Teman Seri ke tandas, rehat bersama, buat kerja sama-sama.

"Inilah dia ilmu yang tidak tertulis dalam buku teks. Ia dipelajari melalui universiti kehidupan.

fadli 3

Selain bergelar guru, Mohd Fadli (depan) juga merupakan aktivis Dana Kita yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

"Aku sentiasa menitik berat hasil dan sikap dalam mendidik anak-anak. Biarlah ada yang kurang pandai dalam pelajaran, namun akhlak dan sikap biar santun dan beradab. Biar ada sifat keinsanan dan cakna pada orang keliling.

"Alhamdulillah, anak-anak ini mudah mengikut kata. Mudah dilentur dan dididik," tambahnya.

Menurut Mohd Fadli lagi, disebabkan berstatus istimewa, Seri kini dalam proses perpindahan ke sekolah pendidikan khas di mana ia lebih sesuai untuk aliran pendidikannya.

Sehingga kini perkongsian Mohd Fadli meraih 1,300 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain