SUDAH terlalu banyak kisah gangguan seksual dipaparkan di televisyen, akhbar mahupun di media sosial, namun kesedaran mengenai isu ini boleh dikatakan masih rendah. Sikap segelintir pihak yang cenderung mengambil remeh atau 'ignorant' terhadap isu ini menjadi antara salah satu punca kes gangguan seksual masih berleluasa. Gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di rumah sendiri walaupun ia dianggap lokasi selamat. ARTIKEL BERKAITAN: “Inilah kisah paling teruk saya pernah jumpa” - Penceramah dedah kisah wanita depresi hingga nyaris terpesong akidah gara-gara kemelut keluarga ARTIKEL BERKAITAN: “Otak pencabul ni busuk” - Pakaian bukan isu, pakar motivasi dedah kisah pelajar jadi mangsa nafsu guru dalam makmal komputer Paling jijik, pelakunya adalah dalam kalangan individu yang dikenali mangsa sendiri, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang penceramah motivasi, Mohd Fairuz Abu atau lebih dikenali sebagai Akhi Fairuz. Menerusi perkongsian tersebut, Akhi Fairuz menyertakan paparan mesej yang dihantar seorang wanita menerusi direct message (DM) di Facebook yang menceritakan pengalaman hitamnya pernah menjadi mangsa gangguan seksual ahli keluarga sendiri. Mesej daripada seorang wanita yang diterima oleh Akhi Fairuz. "Saya nak minta Akhi kupas isu seksual antara keluarga contohnya pakcik cabul anak saudara, sepupu 17 tahun cabul adik sepupu berusia lapan tahun. "Saya adalah salah seorang mangsa dan saya beritahu kepada kakak. Kakak saya beritahu mama. Mereka percaya. Tapi apabila beritahu keluarga tersebut, mereka menganggap kami reka cerita. "Dan ini menyebabkan pergaduhan antara keluarga besar kami termasuk datuk dan nenek. Jadi kami diamkan, tak mahu isu ini dipanjangkan," luah wanita berkenaan sebagaimana mesej yang dikongsikan Akhi Fairuz di Facebook. Menurut wanita berkenaan juga, apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah, dia sudah memahami isu seksualiti dan berkongsi kisah hitam yang pernah dialaminya dengan beberapa rakan. Kanak-kanak atau remaja mudah terdedah dengan perkara berkaitan seks melalui carian di internet. "Saya terkejut. Rupa-rupanya mereka pun sama. Ada yang kena cabul dengan pakcik, dengan abang ipar. Mereka tak pernah beritahu sesiapa sebab takut bersuara, takut pergaduhan berlaku antara keluarga. "Saya harap Akhi boleh kupaskan isu ni. Biar mereka buka mata buka minda. Terima kasih," demikian mesej wanita berkenaan. Mesej tersebut adalah salah satu daripada ribuan maklum balas diterima oleh Akhi Fairuz sejak dia berkecimpung dalam bidang motivasi yang lebih menekankan isu pendidikan seksual untuk mendidik masyarakat. Sering membuat perkongsian mengenai pendidikan berkaitan seksualiti di laman sosial, Akhi Fairuz kerap kali menerangkan kepentingan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Tak pernah satu kes pun saya jumpa kanak-kanak akan Google fasal seks, jimak, persetubuhan bila mak ayah jelaskan maksud perkataan berkenaan. AKHI FAIRUZ PENCERAMAH MOTIVASI "Followers yang biasa ikuti penulisan saya sejak dulu pasti faham kenapa saya menulis isu ini dan kenapa ibu ayah perlu terangkan secara terperinci walau anak baru berusia sembilan tahun. "Sejak saya mula turun ke sekolah sejak tahun 2011, kemudian menyebar luas advokasi serta awareness berkenaan sex education tahun 2017, dan kini masuk tahun 2022, lebih ratus ribu pelajar yang saya dah jumpa. "Tak pernah satu kes pun saya jumpa kanak-kanak akan Google fasal seks, jimak, persetubuhan apabila mak ayah jelaskan maksud perkataan berkenaan. "Yang ada adalah anak yang mencari benda lucah hasil kawan-kawan bercerita, curiousity apabila keluarnya pop-up lucah masa main game, recommendation daripada pihak platform video apabila anak terakses video soft porn dan lain-lain aplikasi berbayar," tulisnya. Akhi Fairuz juga aktif berkongdi mengenai isu seksualiti di media sosial untuk mendidik masyarakat. Sudah terbiasa dengan penerimaan negatif segelintir ibu bapa yang masih terikat dengan pemikiran konservatif malah pernah dikecam teruk ketika peringkat awal pembabitannya, namun Akhi Fairuz lega apabila mesejnya makin difahami dan diterima ketika ini. "Rasa lega sangat. Yer la, lama dah kot menulis tentang isu ni. Tak cukup dalam penulisan, saya buat video lagi. Tak cukup dengan video, buat e-book lagi. "Semuanya demi memastikan anak-anak kita terpelihara maruah diri, menjauhi zina, tidak terjebak ke kancah maksiat, pornografi, menjadi mangsa pencabulan dan lain-lain. "Educate anak daripada awal apa itu private part, sentuhan selamat dan tidak selamat, apa perlu buat jika ada individu menyentuh private part," kongsinya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI