suria

Ramai merungut raya ‘single’ tiada pasangan, nasib wanita ini lebih pedih sambut Aidilfitri sebatang kara tanpa ibu bapa

Aidilfitri tahun ini tidak bermakna selepas Nur Ain kehilangan ibu tercinta.

BAGI sesetengah orang, Aidilfitri pada kali ini begitu dinanti-nantikan untuk diraikan bersama keluarga selepas dua tahun tidak berpeluang berbuat demikian.

Namun tidak bagi wanita ini yang baharu sahaja kehilangan ibu tersayang pada November tahun lalu akibat strok.

Sungguhpun lima bulan sudah berlalu, namun pemergian si ibu ibarat merentap seluruh semangat lebih-lebih lagi dia merupakan anak tunggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak bongsu setia jaga ibu bapa sampai hujung usia, tinggal kerjaya demi kasih hingga ke syurga... Bakal tunang setia di sisi

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja, balik kampung jaga mak sakit! Video ibu menangis anak nak tinggalkan wad undang air mata - “Pukul 5 pagi saya kena halau”

"Tak teruja pun untuk menyambut Aidilfitri... rasa kosong sekosongnya. Tak ada feel nak beraya. Persiapan pun saya tak buat lagi, semuanya guna yang lama sahaja. Tiada istilah baju raya, saya pakai baju lama saja.

"Namun sebagaimana pesan arwah umi, saya terus mengemas rumahnya seperi biasa agar tetap berseri sebagaimana arwah masih ada," demikian kata Nur Ain Azman kepada mStar.

Berkongsi kisah pemergian ibu tercinta, Zainun Surip, yang menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 5 November 2021, Nur Ain berkata ibunya jatuh sakit pada 2017 selepas diserang strok.

"Saya masih ingat, Oktober 2017 umi diserang strok kali pertama. Ketika itu dia masih boleh bercakap, berjalan dan masih kenal saya. Selang tiga hari, umi diserang strok kali kedua.

"Ia menyebabkan umi terus terlantar dan memerlukan bantuan saya sepenuhnya. Ketika itu saya bekerja di sebuah agensi pelancongan di Kuala Lumpur dan terus nekad pulang ke kampung di Sungai Rambai, Melaka untuk jaga umi.

raya 3

Nur Ain tekad berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang diserang strok pada 2017.

"Saya anak tunggal, umi dan ayah dah lama berpisah tapi saya membesar dengan umi. Ayah masih ada dan menetap di Semenyih.

"Syarikat tak benarkan saya resign. Majikan beri cuti selama dua tahun dengan gaji. Saya terharu majikan sangat memahami, saya tak sangka sebab memang terfikir nak berhenti kerja," ujar wanita berusia 34 tahun ini.

Menurut Nur Ain, keadaan kesihatan ibunya makin merosot selepas diserang strok buat kali ketiga pada 2018.

"Memang doktor beritahu keadaan umi akan terus merosot dari semasa ke semasa, umpama kembali jadi budak kecil. Namun saya tak berputus asa.

raya 2

Gambar kenangan ibu Nur Ain ketika mereka bercuti bersama-sama.

"Saya cuba apa saja kaedah perubatan alternatif dan perubatan Islam yang berkaitan dengan strok di samping kaedah moden. Memang saya struggle seorang diri dari A sampai Z.

"Rutin setiap hari membersihkan ibu, suapkan makanan. Saya bersembang macam biasa walaupun tiada respon. Rindu sangat momen bercerita dengan umi sebab saya selalu mengadu masalah padanya.

"Sambil menjaga umi, saya buat bisnes kecil-kecilan di rumah seperti printing dan top-up kredit telefon bimbit, sambil jadi personal shopper untuk orang kampung yang nak beli barang online," ujarnya lagi.

Lebih empat tahun berdua dengan umi, saya rasa keberatan untuk tinggalkan rumah ini.

NUR AIN AZMAN

Bercerita lebih lanjut, Nur Ain berkata meskipun ibunya sudah menghadap Ilahi, namun dia tetap menetap di rumah pusaka milik arwah sehingga kini.

"Saya berada di samping umi sejak dia jatuh sakit pada 2017 sehinggalah umi hembuskan nafas terakhir. Lebih empat tahun berdua dengan umi, saya rasa keberatan untuk tinggalkan rumah ini.

"Syarikat lama ada tawarkan bekerja semula tapi saya masih menimbangkannya. Segala-galanya di rumah ini membuatkan rindu saya pada umi terubat, selain menziarahi pusaranya setiap hari," katanya lagi.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di aplikasi TikTok meraih sehingga lebih 282,000 jumlah tontonan, Nur Ain berkata perkongsian tersebut dilakukan sekadar untuk dijadikan kenangan selain mahu mengubati rindu pada arwah ibunya.

raya 1

Nur Ain tidak pernah gagal menziarahi pusara ibunya setiap hari, sejak wanita itu meninggal dunia November tahun lalu.

"Masa umi masih sakit, pernah terlintas di minda, mungkin 2022 saya akan raya keseorangan. Waktu tu terfikir-fikir macam manalah nasib aku nanti raya seorang diri.

"Selalu kita tengok orang share, raya single tanpa pasangan tapi sebenarnya yang paling terasa beraya single adalah mereka yang beraya tanpa ibu ayah.

"Sedikit sebanyak saya nak sampaikan mesej kepada mereka di luar sana agar hargailah ibu bapa selagi mereka masih ada. Ada yang komen, dia masih ada ibu ayah dan adik beradik tapi tetap rasa sunyi. Pada saya, mungkin kena perbaiki 'bonding' keluarga.

"Walaupun masih tak puas bersama umi sebab sebelum ini belajar jauh dan bekerja namun saya bersyukur Allah beri kesempatan selama lebih empat tahun untuk jaga dan berada di samping umi 24 jam sampai dia hembuskan nafas terakhir," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain