suria

Tumpang kasih sayang anak buah, tatang macam zuriat sendiri... Pasangan TTC 9 tahun lali hadap ‘mulut puaka’

Nur Zawani dan suami menatang anak saudara dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri.

TEMPOH sembilan tahun bukanlah jangka masa yang pendek bagi mana-mana pasangan suami isteri yang menantikan kehadiran zuriat.

Bagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Zawani, pelbagai cabaran dan ranjau sudah dilaluinya bersama suami sepanjang sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan.

Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi juga masih diraikan berdua tanpa kehadiran si kecil sebagai penyeri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak kan semua nak beritahu orang?” - Selepas 7 tahun menunggu, sabar ‘hadap’ soalan sensitif... pasangan TTC masih harap timang zuriat tahun 2022

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 8 tahun menunggu, wanita ini menggigil tengok ‘dua line’... segera tutup tawaran untuk suami kahwin lain! - “Sebelum ni saya buang je kit ujian tu”

Bagaimanapun, dia dan suami mengambil pendekatan positif dan menyerahkan urusan rezeki dikurniakan cahaya mata kepada Yang Maha Esa.

Berkongsi pengalamannya sebagai pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat atau 'trying to conceive' (TTC), Nur Zawani, 33, berkata pelbagai ikhtiar sudah pun dilakukan sama ada kaedah moden mahupun tradisional.

"Fasa pertama iaitu lima tahun pertama memang banyak air mata yang keluar. Selepas empat tahun berkahwin, kami cuba rawatan IUI (Intrauterine Insemination). Doktor cadangkan buat IUI sebelum buat IVF (In-vitro fertilisation).

"Prosesnya membuatkan berat badan saya naik hampir sekali ganda, daripada 46 kilogram kepada lebih 80 kilogram. Kos rawatan juga bukan sikit sebab buat di hospital swasta.

"Disebabkan beberapa faktor termasuk kewangan, saya sempat buat IUI dua kali sahaja. Selepas berhenti, berat badan saya turun semula. Doktor mengatakan kami berdua tiada masalah kesuburan kerana dua-dua okey.

ttc 2

Berat badan Nur Zawani sebelum (kiri) dan selepas (kanan) melakukan rawatan IUI.

"Kemudian kami cuba kaedah tradisional seperti berurut. Apa saja yang dicadangkan, kami tak menolak untuk mencuba. Namun mungkin tertulis belum ada rezeki lagi," ujarnya yang menetap di Damansara.

Nur Zawani dalam pada itu mengakui, dia pernah mengalami kemurungan gara-gara terkesan dengan tindakan segelintir pihak yang tidak sensitif apabila membicarakan isu zuriat.

"Pernah saya pergi bazar Ramadan dekat kampung, terjumpa pula rakan lama. Berbanding bertanya khabar, dia boleh pula tanya pasal anak dan beritahu anak-anaknya dah besar. Tak tahu nak cerita perasaan ketika itu.

"Orang sekeliling juga ada yang tak sensitif, bergurau fasal berat badan saya dulu dan lain-lain. Kalau musim raya atau kenduri, memang ada saja soalan.

ttc 3

Sembilan tahun berumah tangga, Nur Zawani dan suami masih bersabar menanti kehadiran zuriat sendiri.

"Benda ini memang buat kita depress. Saya juga tak terkecuali tapi syukur tidak sampai kena rujuk pakar. Saya overcome masalah depress itu sendiri," katanya.

Bagaimanapun Nur Zawani berkata, memasuki fasa kedua perkahwinan, dia sudah lali dengan pertanyaan mengenai zuriat dan bersikap lebih positif.

"Kadang-kadang apabila ada yang bertanya, saya jujur saja jawab. Kalau ada kata-kata kurang senang, saya buat seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Pekakkan saja.

"Namun saya bersyukur kerana suami, ibu dan dan ibu mentua sangat memahami. Mereka paling banyak beri kata-kata sokongan.

"Kami juga suka melayan anak-anak buah. Anak buah saya seramai tiga orang tu dah macam anak-anak sendiri. Tumpang kasih mereka dulu.

Kadang-kadang apabila ada yang bertanya, saya jujur saja jawab. Kalau ada kata-kata kurang senang, saya buat seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

NUR ZAWANI

"Selain itu, cara untuk tangani situasi yang begini, saya dan suami lebih gemar spend masa bersama. Ada bajet lebih, kami bercuti. Suami ibarat satu dalam sejuta. Tak boleh bayangkan hidup tanpa dia," ceritanya.

Tidak menyangka videonya di aplikasi TikTok meraih perhatian, Nur Zawani berkata ia adalah sekadar perkongsian kisahnya untuk dijadikan kenangan buat diri sendiri.

"Sebenarnya dalam video saya silap tulis 14 tahun TTC. Tapi sebenarnya kami dah mengenali 14 tahun, berkahwin pula sembilan tahun.

"Alhamdulillah banyak sangat komen yang doakan kami, kongsi pengalaman, dan bagi kata-kata semangat. Ada yang kongsi sampai 20 tahun tunggu zuriat.

ttc 1

Anak-anak saudara yang sudah dianggap seperti anak kandung sendiri.

"Saya kagum sangat... bukan senang seorang suami nak setia sampai berbelas dan berpuluh tahun tanpa meninggalkan dan menyalahkan isterinya. Dugaan saya yang sembilan tahun ini tak sehebat mereka.

"Namun sebagai seorang wanita, tak pernah saya lupa untuk titipkan doa setiap kali solat agar dikurniakan juga rezeki satu hari nanti.

"Buat orang di luar sana yang tak alami nasib sama, jagalah lisan masing-masing... benda tu anda tak rasai. Usahlah sibuk berkata itu ini. Kalau tak ada benda baik nak dikata, elok diam saja," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain