suria

Tahanan Rohingya lolos tumpang tidur depan rumah, pemuda kampung layan baik... Beri makan, tolong buat video call dengan anak isteri

Fiey dan rakan-rakannya melayani seorang tahanan Rohingya dengan baik sebelum menyerahkan kepada polis.

BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan insiden lebih 500 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Setakat ini polis memaklumkan pihaknya sudah berjaya menahan semula 448 orang daripada keseluruhan 528 tahanan, hasil bantuan pelbagai agensi berkaitan dan orang ramai.

Menerusi satu video yang tular di laman sosial, sekumpulan pemuda turut tidak ketinggalan membantu pihak berkuasa mengesan saki baki tahanan yang lolos dan bersembunyi di kampung mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 432 tahanan Rohingya berjaya diberkas semula, 96 masih melarikan diri

ARTIKEL BERKAITAN: 362 tahanan Rohingya lari dari depot Imigresen ditangkap semula

Apa yang menarik perhatian warganet, mereka memberi layanan yang baik kepada seorang tahanan lelaki sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Salah seorang daripada pemuda berkenaan, Fiey Zulkifli ketika berkongsi cerita dengan mStar berkata, mereka terpanggil membantu pihak berkuasa atas dasar rasa tanggungjawab untuk menjaga keselamatan penduduk sekitar.

"Pada hari kejadian iaitu Rabu (20 April) sekitar pukul 6 pagi, saya hairan juga melihat orang ramai berjalan depan rumah seperti ada perarakan. Dalam gelap dan kurang jelas, saya tak terfikir apa-apa... hanya ingat mungkin ada penganut agama lain tengah berarak.

"Sekitar pukul 9 pagi, dengar khabar ada kemalangan dekat highway Plus. Kampung kami memang bersebelahan saja. Masa tu baru saya tahu tentang ratusan tahanan Rohingya lolos.

lolos 1

Tahanan Rohingya yang lolos Rabu lalu berjaya ditahan semula oleh Fiey dan rakan-rakannya.

"Sebagai penduduk semestinya kami bimbang sebab mereka lolos dalam kampung sendiri. Risau apa-apa berlaku jadi kami sertai membantu. Pada hari pertama kami berjaya bantu tahan semula lapan orang tahanan," cerita pemuda yang merupakan anak jati Kampung Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang ini.

Menurut Fiey, 25, lelaki Rohingya di dalam video yang dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya berjaya ditahan semula pada Khamis lalu, iaitu hari kedua selepas insiden kekecohan berkenaan.

"Pada mulanya ada lima orang, tetapi empat orang berjaya melarikan diri. Ketika itu dia tertidur kerana kepenatan di depan rumah rakan saya. Apabila saya dan yang lain datang, dia tak agresif pun.

"Dia pun kata tak mahu lari. Disebabkan ketika itu awal pagi, kami beri dia makanan sahur dahulu atas dasar ihsan sesama manusia. Sempat juga kami bertanya macam-macam.

lolos 2

Fiey menghantar Firdaus ke Balai Polis Sungai Bakap.

"Firdaus (lelaki Rohingya) ni sebenarnya ikut kawan-kawan. Dia sendiri pun tak tahu ada antara rakannya yang meninggal dunia kerana kemalangan. Katanya, sepanjang melarikan diri, dia hanya makan daun. Dia dah berkahwin dan ada dua anak di Melaka.

"Sudah lapan tahun di Malaysia dan bekerja jaga kebun, dan dua tahun di depot. Dia luah rindu pada anak isteri, kami beri peluang dan bantu dia buat video call. Dia menangis ketika tatap muka keluarga," ceritanya yang bekerja dengan sebuah syarikat penapis air.

Bukan setakat makanan, malah lelaki Rohingya itu turut diberi sehelai baju dan sepasang selipar oleh rakan Fiey yang simpati dengan nasibnya.

Takkan kita nak belasah pula... hukuman bukan di tangan kita. Kita serahkan perkara itu kepada polis.

FIEY ZULKIFLI

Menurut Fiey, dia dan rakan-rakannya kemudian menghantar Firdaus ke Balai Polis Sungai Bakap untuk tindakan lanjut.

Memuat naik video di aplikasi TikTok bertujuan sekadar untuk berkongsi pengalaman dan bercerita apa yang berlaku, Fiey berkata dia sedar kebanyakan netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan dia dan rakan-rakannya.

"Yang puji tu Alhamdulillah, terima kasih. Tapi saya sedar ramai yang tak puas hati sebab kami layan lelaki Rohingya itu dengan baik. Ada yang cakap, sebab itulah Rohingya pijak kepala kita dan macam-macam lagi.

"Pertamanya, kami buat atas dasar ihsan sesama manusia lebih-lebih lagi dia Islam. Takkan kita nak belasah pula... hukuman bukan di tangan kita. Kita serahkan perkara itu kepada polis.

rohingya 1

Lebih 500 tahanan Rohingya lolos dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Rabu lalu.

"Keduanya, kita tak boleh judge mereka semua sama. Kita tak tahu struggle mereka di negara orang. Saya sendiri dulu merantau ke ibu kota cari rezeki. Jadi kita faham bagaimana mereka rasa.

"Apapun sekarang ni penduduk kampung memang berwaspada sebab masih ada lagi yang lolos. Risau pula mereka masuk rumah orang nak mencuri... Iyalah, dah lama lari, mesti lapar.

"Kami berharap apa yang berlaku ini segera berakhir... lagipun tak lama lagi nak raya dah. Moga-moga kita dapat beraya dengan aman," katanya lagi.

Sehingga kini video yang dimuat naik oleh Fiey di aplikasi TikTok melebihi 446,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain