IBU bapa haruslah sentiasa berjaga-jaga dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka kerana bahaya ada di mana-mana sahaja. Baru-baru ini tular satu posting yang dibuat oleh seorang bapa, Dr Muiz Murad mengenai seorang anak kecil yang hampir lemas ketika ibunya dipercayai leka dengan telefon. Bagaimanapun anak kecil itu dikatakan telah diselamatkan oleh anaknya, Ali dengan pantas sebaik menyedari situasi mencemaskan itu seterusnya mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku. ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Anak sempat tunjuk gambar mak ayah dekat kucing sebelum lemas dalam tong air ketika dimandikan bapa ARTIKEL BERKAITAN: Hidap asma teruk masa hamil, ibu reda bayi sulung meninggal sehari selepas dilahirkan akibat sesak nafas - "Mirip wajah saya" Menerusi posting di laman Twitternya, Dr Muiz Murad memperincikan semula mengenai tindakan cekap anaknya yang baru berusia 11 tahun. "Anak saya, seorang adiwira. Ali baru saja menyelamatkan seorang anak kecil daripada lemas di kolam sebuah hotel. Bangga sangat dengan dia. "Kanak-kanak kecil itu sedang bermain dengan kakak-kakaknya di atas sebuah pelampung besar. Adik-beradiknya menyangka adik kecilnya ini sudah selamat atas pelampung. Anak kecil itu tergelincir dari pelampung dan jatuh ke dalam air," tulisnya pada satu ciapan. Posting yang tular di Twitter. Dr Muiz Murad berkata kejadian ini disedari oleh Ali yang kemudian bertindak pantas menyelamatkan si kecil berkenaan. Jelasnya lagi, insiden itu cukup mencemaskan apabila anak itu dikatakan tercungap-cungap dan menangis setelah diselamatkan. "Semasa Ali melihat semuanya, anak kecil itu sudah berada di dalam air. "Ali dengan pantas berenang dan menariknya keluar yang dalam keadaan tercungap-cungap dan menangis. "Jika kurang dari 10 saat lagi keadaan itu bakal bertukar menjadi situasi paling teruk," tambah Dr Muiz Murad. Nasihat Dr Muiz Murad kepada ibu bapa secara umum. Sehingga kini, posting itu telah menerima lebih 3,000 jumlah ulang kicau dan lebih 15,000 tanda suka. Rata-rata warganet bangga dengan memuji tindakan anak kanak-kanak tersebut yang telah berjaya menyelamatkan nyawa seorang anak kecil. Komen netizen yang memuji tindakan pantas Ali. Dalam pada itu, Dr Muiz Murad juga turut menitipkan nasihatnya kepada penjaga dan ibu bapa lain di luar sana setelah mengimbas semula mengenai tragedi ini. "Ibu bapa, sila beri perhatian dan pantau anak-anak anda di kolam renang hotel. Kebanyakan kolam tidak mempunyai penyelamat yang bertugas. "Dalam kes ini, ibu kepada kanak-kanak itu sibuk dengan telefonnya. "Saya sebenarnya cukup terkejut dengan semua itu. Ali tetap masih tenang. Ibu kanak-kanak itu tidak menyedari semuanya yang telah berlaku," jelas Dr Muiz Murad lagi. Selepas kejadian itu, ‘mangsa’ lemas dikatakan mahu berkawan dengan Ali tetapi timbul masalah komunikasi kerana Ali dikatakan berbahasa Melayu pelat. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI