suria

Satu dalam sejuta! Isteri tak kerja, tukang repair alat elektronik dengan 3 anak mohon henti bayaran zakat... alasannya hidup dah stabil

LZS berkongsi kisah seorang individu yang memohon untuk berhenti menerima bantuan zakat kerana sudah mampu meraih pendapatan sendiri.

BOLEH dikatakan tidak semua daripada kita yang mengambil berat atau cakna mengenai kisah penerima zakat yang mampu meneruskan kelangsungan hidup disebabkan bantuan pusat zakat.

Sebaliknya rata-rata daripada masyarakat kita lebih cenderung melontarkan kecaman dan menjadi 'keyboard warrior' mengecam pusat zakat tatkala kisah sesebuah keluarga daif menjadi tular di media sosial kerana menganggap bantuan tidak diberikan.

Tanpa kita ketahui, sebenarnya golongan yang layak bergelar asnaf sentiasa berada dalam radar pemerhatian pusat zakat untuk diberikan bantuan sama ada secara berkala atau berterusan untuk jangka masa tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan senang judge” - Gadis dari keluarga asnaf mampu ‘survive’ dengan bantuan zakat selepas bapa pergi mengejut

ARTIKEL BERKAITAN: “Macam tak ada iman...” - Guru tegur sikap ‘orang susah’ ugut minta bantuan gereja, burukkan pusat zakat demi seciput duit

Malah, ramai juga daripada golongan ini yang berjaya meneruskan hidup dengan bantuan zakat bahkan sudah pun bertukar status daripada asnaf kepada pengeluar zakat, sebagaimana kisah sebuah keluarga yang dikongsikan di Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Apa yang lebih mengkagumkan, asnaf tersebut berlaku jujur dan memohon agar bayaran bantuan zakat ke atasnya dihentikan, atas alasan sudah mampu membiayai keperluan keluarga.

Menurut perkongsian tersebut, asnaf berkenaan pada mulanya berat hati untuk memohon zakat tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.

zakat 1

Tangkap layar (screenshot) surat daripada individu bekas asnaf yang memohon untuk menghentikan bantuan zakat ke atas keluarganya.

"Beliau perlu menjalani pembedahan esofagus yang memerlukannya berehat daripada bekerja atas nasihat doktor.

"Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai pembaiki barangan elektronik berpendapatan sekitar RM1,300 menanggung tiga orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.

"Seperti biasa, Zakat Selangor akan membuat semakan semula setiap tahun untuk setiap asnaf bagi melihat kelayakan, sama ada perlu buat penambahan bantuan terhadap mereka sekeluarga atau tidak.

"Tapi alangkah terkejut kami, apabila dimaklumkan sendiri bahawa beliau ingin keluar daripada Zakat Selangor kerana sudah stabil dan menyatakan ada yang lebih layak menerima zakat berbandingnya," demikian perkongsian LZS.

zakat 2

Golongan yang layak bergelar asnaf sentiasa berada dalam radar pemerhatian pusat zakat untuk diberikan bantuan sama ada secara berkala atau berterusan untuk jangka masa tertentu.

Menerusi hantaran tersebut juga, turut dimuat naik tangkap layar sepucuk surat rasmi yang ditulis oleh individu berkenaan yang bertajuk 'permohonan berhenti bayaran zakat ke atas saya', bertarikh 25 Februari 2022.

"Alhamdulillah sekarang pendapatan harian saya mampu untuk menanggung keluarga," demikian antara isi kandungan surat individu berkenaan yang ditujukan kepada LZS.

Dalam perkongsian tersebut, LZS tidak menyatakan secara spesifik tempoh individu berkenaan menerima bantuan zakat, namun badan itu gembira kerana hasil zakat yang dikeluarkan oleh pengeluar zakat dapat membantu keluarga tersebut sepanjang si suami tidak bekerja dahulu.

Satu dalam sejuta. Ada jenis yang dah mampu tapi malas. Selamanya nak hidup dengan duit zakat.

NETIZEN

"MasyaAllah, melihat dari perwatakan beliau, sangat rendah diri dan jujur orangnya kerana tahu akan haknya ketika bergelar seorang asnaf dahulu.

"Semoga Allah permudahkan dan suburkan rezeki beliau sekeluarga sepanjang zaman atas sifat jujur yang beliau tunjukkan. Moga menjadi teladan buat kita semua," tulis perkongsian itu lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 1,800 shares di Facebook.

KOMEN ASNAF

Sebahagian komen netizen yang menzahirkan rasa kagum dengan kejujuran individu berkenaan.

Menjengah ruangan komen pula, rata-ratanya memuji peranan pusat zakat kerana berjaya dalam misi mengeluarkan asnaf daripada kepompong kemiskinan.

Dalam masa yang sama, netizen turut melahirkan rasa kagum dengan keperibadian yang ditunjukkan individu bekas asnaf berkenaan.

"Tahniah kerana dah mampu berdikari. Susah nak jumpa orang yang jujur macam ni.

"Semoga Allah melimpahkan rahmat dan rezeki kepada hamba Allah ini dan seisi keluarganya atas kejujurannya.

"Satu dalam sejuta. Ada jenis yang dah mampu tapi malas. Selamanya nak hidup dengan duit zakat. Saya doakan saudara ni diberi kemuliaan di dunia dan akhirat," demikian komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain