suria

Guna pelekat je, anak berjaya tukar langsir rumah mak walau tak sempat jahit! Sejak ‘raya terkejut’ sampai sekarang masih utuh

Jangkaan raya Eyda meleset menyebabkan dia tidak sempat menjahit langsir.

'TIBA-TIBA raya' menyebabkan perancangan segelintir rakyat Malaysia terbantut malah ada yang terpaksa meraikan hari pertama lebaran tanpa juadah istimewa seperti ketupat dan lemang.

Mana tidaknya, ramai yang menyangka sambutan raya pertama jatuh pada 3 Mei lalu sebaliknya ia disambut sehari lebih awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Raya terkejut, lagi mengejutkan terima ‘baju raya Badang’ malam raya... terus terbayang pak imam pandang atas bawah

ARTIKEL BERKAITAN: Sambut raya dalam bas, pemuda sebak kejutan adik-beradik... reda Aidilfitri tanpa mak ayah

Selain baju raya yang tidak lengkap dan terpaksa beraya dalam bas, ada yang menggunakan kaedah segera dalam menyiapkan langsir.

Bercerita kepada mStar, Noridawati Mohd Yusof berkata, disebabkan Hari Raya Aidilfitri diumumkan 'lebih awal' daripada jangkaannya, dia tidak sempat menyiapkan langsir untuk rumah ibu dan bapanya di Rompin, Negeri Sembilan.

Menurutnya yang kini menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hasrat hati untuk menjahit sendiri langsir tersebut terbantut kerana pada masa sama juadah raya masih belum dimasak.

"Ikutkan langsir tu saya jahit tangan saja sebab kedai dah tak ambil tempahan. Tapi bila raya jatuh pada hari Isnin, 2 Mei... saya jadi kelam kabut sebab kain langsir pun dibeli pada petang hari Ahad.

"Jadi segala perancangan tergendala, sudah la kelam kabut nak masak untuk berbuka puasa lagi. Hati pun dah tak tenang sebab fikir nak buat rendang dan ketupat.

Langsir yang dilekatkat dengan double-sided tape masih utuh.

Langsir yang dilekatkat dengan double-sided tape masih utuh.

"Kalau teruskan menjahit langsir, kemungkinan saya kemurungan pada 1 Syawal nanti sebab tak sempat masak," imbaunya kembali sambil ketawa.

Disebabkan masa yang terlalu singkat, dia mengambil keputusan untuk menggunakan pelekat dua sisi (double sided tape) pada langsir.

"Idea tu tiba-tiba muncul di fikiran sebab pernah tengok orang lekatkan lencana sekolah pada baju, saya terus suruh suami belikan double tape berkenaan.

Eyda bersama suami. Kanan gambar tiga cahaya matanya.

Eyda bersama suami. Kanan gambar tiga cahaya matanya.

"Mujur langsir rumah ayah guna rod jadi mudah la apabila guna pelekat tu... mulanya saya buat lipatan seperti nak jahit tapi jahitan tu tukar kepada double tape. Alhamdulillah menjadi juga langsir kat rumah mak dan ayah walaupun tidak dijahit kemas.

"Sejak 1 Mei sehingga sekarang masih lagi utuh tersangkut. Mungkin kalau basuh nanti, gamnya akan berkurangan," katanya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, memang sudah menjadi hasratnya pada tahun ini untuk menukar langsir di rumah ibu dan bapanya.

Eyda akan memasak di rumah ayahnya jika ada tetamu yang hadir.

Eyda akan memasak di rumah ayahnya jika ada tetamu yang hadir.

Tambahan pula, sudah dua tahun dia tidak dapat berjumpa keluarga di kampung halaman kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Niat memang nak tukar langsir baru kat rumah mak... sebab itu gigih cari langsir. Lagipun memang saya jahit sendiri langsir, kalau raya jatuh pada hari Selasa, saya sempat siapkan tapi tak sangka awal daripada jangkaan," luahnya.

Tapi saya nak juga tukar sebab langsir yang ada tu pun dah berusia lebih sembilan tahun dan tak pernah berganti.

NORIDAWATI

Menurutnya yang mesra dipanggil Eyda, pada awalnya ayah menghalang rancangan tersebut kerana dikatakan membazir.

"Tapi saya nak juga tukar sebab langsir yang ada tu pun dah berusia lebih sembilan tahun dan tak pernah berganti. Kalau mak biasanya tidak akan bantah apa yang anak nak buat, tapi ayah lain sikit.

Sebahagian saudara mara sebelah ayahnya yang datang beraya.

Sebahagian saudara mara sebelah ayahnya yang datang beraya.

"Ayah cakap 'tak payah membazir beli langsir baru, ayah pakai apa yang ada saja... rumah bukan orang datang pun'. Saya tetap buatkan juga," ujar pengasuh dan peniaga dalam talian itu lagi.

Katanya lagi, keadaan rumah ibu bapanya juga agak ringkas kerana ayahnya pernah menolak apabila mahu dibelikan perabot.

Malah ayahnya bimbang jika penambahan perabot akan membuatkan ruangan rumahnya menjadi sempit.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain