suria

Darah meleleh selama 2 jam! Pemuda hidap kanser hidung kena tangguh belajar... Terpaksa pula kerja demi bayar kos rawatan

Hamri mengalami masalah sakit kepala serta pendarahan dalam hidung yang kerap.

MENANGGUNG derita penyakit yang tiada penawar sudah cukup memeritkan.

Lebih pedih apabila terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang pejuang kanser tanpa ibu bapa di sisi sebagai penguat semangat mahupun tempat bergantung.

Begitulah nasib yang menimpa Hamri Hairol, 21, setelah disahkan menghidap kanser hidung dan leher tahap tiga sejak 20 April lalu.

Ketika dihubungi mStar, Hamri berkata disebabkan penyakitnya itu dia terpaksa menangguhkan pengajian di Politeknik, Kuching, Sarawak.

"Saya merupakan pelajar di tahun akhir Diploma Kejuruteraan Proses Petrokimia dan menjalankan latihan industri di Bentong, Pahang.

"Ikut perancangan saya nak terus bekerja di sana selepas tamat latihan... saya nekad nak ubah hidup dengan bekerja di syarikat yang boleh tawarkan gaji lumayan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan sakit kulit, pelajar tak sangka hidap kanser! Pergi hospital nak ambil keputusan check up, terus diminta buat kemoterapi

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis akur perlu tinggalkan kampus, 2 kali tangguh pengajian hanya kerana satu ‘benjolan tak sakit’ - “Kanser bukan tiket mati’’

"Tapi nasib tak berpihak kepada saya apabila latihan industri terpaksa ditamatkan lebih awal atas faktor kesihatan. Saya diminta pulang ke Sarawak untuk teruskan rawatan sebagai pesakit kanser," katanya.

Tambah Hamri, dia didiagnos menghidap kanser di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang.

Mengulas lanjut mengenai penyakit dihidapinya, Hamri berkata antara tanda-tanda awal ialah dia mula merasakan sakit kepala dan kerap berlaku pendarahan pada hidung.

Malah, telinga kanan pemuda ini tidak dapat berfungsi dengan baik apabila tumor kanser mula merebak ke kawasan saluran telinga.

Hamri ketika menjalani latihan industri di Bentong, Pahang.

Bagaimanapun keperitan hidup Hamri yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik terpaksa ditanggung sendiri kerana ibu dan bapanya berpisah sejak 2017.

"Mula-mula dulu saya kerap alami migrain, cepat letih... hidung selalu berdarah sampai satu hingga dua jam baru berhenti. Telinga belah kanan pun tak dapat nak mendengar dengan jelas sebab tumor kanser tu dah merebak sampai tersumbat.

"Saya dan adik-beradik terpaksa berpisah dan jalani hidup masing-masing saja. Saya dan dua orang adik lelaki lagi tinggal di rumah nenek di Sarawak. Kakak pun terpaksa kahwin dan jalani hidup dengan suaminya.

Sejujurnya bukanlah satu perkara mudah saya nak share kepada umum mengenai kesusahan ini tapi saya nak orang lain rasa terinspirasi.

HAMRI HAIROL

"Jandi untuk tampung bayar bil rawatan, kos belajar dan keperluan... saya terpaksa bekerja jadi tukang masak di sebuah restoran dekat Plaza Merdeka di Sarawak," katanya.

Jelas Hamri kini dia sedang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi bagi sesi pertamanya pada 22 Jun lalu.

Terdahulu, perkongsian Hamri tentang kisahnya sebagai pejuang penyakit kanser mendapat perhatian sehingga dihujani pelbagai soalan oleh netizen.

Berikutan perkongsian yang menjadi tular di TikTok, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati malah mendoakan kesembuhan serta memberi kata-kata semangat kepadanya.

Jejaka ini bekerja sambilan sebagai tukang masak bagi menampung kehidupannya.

"Bila saya post video dekat TikTok, ramai warga maya yang mendoakan kesihatan saya. Dalam tempoh keadaan kesihatan sekarang, orang di sekeliling saya banyak beri sokongan moral.

"Sebaik saja pulih nanti saya nak kejar semula impian dan cita-cita yang tergendala. Saya akui banyak down dan sedih apabila tengok orang lain boleh jalani hidup macam biasa tapi saya anggap ni ujian untuk saya.

"Saya harap dengan perkongsian cerita perjalanan saya sebagai pesakit kanser, mereka yang turut sama berdepan penyakit ini dapat rasakan bahawa mereka tidak berseorangan.

"Sejujurnya bukanlah satu perkara mudah saya nak share kepada umum mengenai kesusahan saya harungi tapi saya nak orang lain rasa terinspirasi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain