suria

Orang asyik pandang serong, siap label macam patung seram Annabelle! Gadis ini bangga gayakan fesyen ‘Lolita muslimah’

Bibi mula menggayakan fesyen Lolita sejak tahun 2017.

FESYEN Lolita mungkin agak asing dalam kalangan masyarakat kita, namun jangan terkejut sekiranya ia mempunyai pengikut tersendiri di Malaysia.

Tidak terkecuali tentunya gadis berusia 26 tahun ini yang mula memperagakan fesyen Lolita sejak tahun 2017.

Hanya mahu dikenali sebagai Bibi, dia jatuh cinta dengan fesyen popular Jepun itu kerana banyak menonton siri anime ketika zaman sekolah suatu masa lalu.

"Lolita merupakan fesyen dari Jepun. Ia sebenarnya berbeza dengan cosplay. Kalau cosplay, kita akan pakai baju untuk jadi sesuatu watak yang kita nak. Contohnya pakai baju Naruto, maksudnya kita cosplay sebagai Naruto.

"Kalau Lolita ni pula, kita tak ikut watak sesiapa. Ia merupakan sejenis fesyen. Macam saya, saya gayakan fesyen Lolita dengan hijab. Saya minat Lolita sejak zaman sekolah sebab suka tengok anime.

"Masa tu saya buat carian di Google dan YouTube. Tapi saya mula berpakaian Lolita ketika tahun 2017. Antara ciri-ciri fesyen Lolita adalah skirt kembang. Kalau pakai comel-comel, skirt kembang... biasanya orang tahu bahawa kita ikut fesyen Lolita," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaya atau geli? Jejaka ini yakin pakai ‘crop top’, fesyen baju tayang pusat... Kalau cara lembut-lembut memang nampak macam perempuan

ARTIKEL BERKAITAN: Fesyen ke ofis jadi rujukan, video catwalk raih jutaan tontonan! Ibu 3 anak gembira beri inspirasi, tapi enggan jawab ‘soalan paling ramai orang tanya’

Menurut pegawai kendali penumpang yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, dia juga sering menerima reaksi masyarakat yang berbeza-beza setiap kali menggayakan fesyen Lolita.

Selain reaksi yang diterima secara langsung di tempat terbuka, dia juga menerima pelbagai komen netizen menerusi media sosial termasuklah yang mengecam.

"Apabila keluar, biasalah orang akan pandang. Ada penerimaan positif, ada juga yang negatif. Biasanya ada orang akan tanya baju beli di mana, mereka juga puji pemakaian saya. Mereka siap ajak bergambar.

bibi2

Bibi minat anime sejak zaman sekolah.

"Selain itu, ada juga yang rakam gambar saya senyap-senyap dan mereka ketawakan saya. Begitu juga di TikTok. Ada yang komen, cakap saya macam patung Annabelle. Mereka kata nampak saya macam orang terencat.

"Saya juga pernah dilabel tak matang sebab pakai gaya Lolita. Mereka kata pakaian saya berlebihan dan tidak Islamik. Biasanya saya buat tak tahu dengan komen begini, saya tak layan kerana tak mahu ia berpanjangan," ujarnya.

Kata Bibi, ramai yang turut menghubunginya demi mendapatkan panduan serta tunjuk ajar berkaitan penggayaan fesyen lolita.

Ada juga yang rakam gambar saya senyap-senyap dan mereka ketawakan saya.

BIBI

"Saya ada kenal dalam 50 individu yang aktif berfesyen Lolita di Malaysia. Kalau ada sesiapa yang berminat, mereka boleh hubungi saya. Nanti saya masukkan dalam group WhatsApp. Biasanya mereka akan tanya mengenai baju, aksesori, penggayaan, mekap dan sebagainya.

"Kalau dulu, fesyen Lolita agak mahal. Paling murah pun RM300. Tapi sekarang dah boleh dapat baju lolita serendah RM100. Biasanya saya akan beli menerusi laman web di China, dari Jepun pun ada. Saya juga ada jahit sendiri secara D.I.Y," ujar Bibi yang pernah ke Jepun pada tahun 2018.

Dalam salah satu video di TikTok, Bibi turut berkongsi kisahnya yang menyertai satu acara untuk komuniti cosplay di Malaysia, baru-baru ini.

bibi3

Kata Bibi, fesyen Lolita dan cosplay merupakan dua benda berbeza.

Dalam video itu, Bibi akui terkilan apabila segala usahanya terkubur begitu sahaja apabila acara berkenaan dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Acara itu dibuat di Sunway pada 25 dan 26 Jun lalu. Saya sepatutnya ada fashion walk pada hari kedua. Seawal lima pagi saya dah bangun untuk mekap dan buat persiapan. Saya habiskan RM500 untuk acara itu.

bibi4

Bibi sedia memberi tunjuk ajar kepada mana-mana individu yang berminat menyertai komuniti fesyen itu.

"Ketika dalam perjalanan ke acara, saya dapat tahu pada pukul 9 pagi bahawa ia dibatalkan atas sebab teknikal. Sedih tak dapat nak tunjuk apa yang telah saya siapkan. Saya harap ada lagi peluang lain kali," ujarnya.

Untuk rekod, fesyen Lolita merupakan sub-budaya dari Jepun yang banyak dipengaruhi oleh pakaian dan gaya Victoria dari zaman Rococo.

Ciri khas fesyen Lolita ialah estetik kecomelan (cuteness) yang mana ia terdiri daripada kategori gothic, klasik, dan banyak lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain