suria

Patut la ayam cepat habis, pasar raya jual tanpa kawalan... Wanita ini sakit hati tengok pengguna penting diri borong satu troli penuh!

Seorang lelaki didakwa memborong lebih 40 ekor ayam di sebuah pasar raya.

ISU kenaikan harga ayam dan beberapa barangan keperluan lain di Malaysia terus menjadi kebimbangan masyarakat.

Malah harga ayam segar dijangka mampu naik mencapai RM15 sekilogram (kg) mulai Julai, selepas skim harga maksimum runcit bahan mentah itu tamat akhir bulan ini.

Namun tindakan segelintir pihak memborong ayam dalam jumlah yang banyak di pasar raya menambah derita pengguna lain mendapatkan bahan mentah itu.

Menerusi Twitter, tular satu video memaparkan seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa menyaksikan sendiri seorang pelanggan memborong sehingga lebih 40 ekor ayam.

"Bagus kak, pertahankan hak B40. At least dia dah complaint tapi management pasar raya tak layan lepas tu baru dia viralkan," tulis pengendali akaun tersebut.

Menerusi rakaman berkenaan, wanita tersebut berkata dia kesal apabila kunjungannya pada awal pagi di pasar raya berkenaan untuk membeli ayam hampa kerana semua habis diborong tanpa kawalan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Gilalah sekarang” - Ramai terkejut sejak bila ada upah potong ayam? Kena cincang sendiri di rumah kalau tak mampu

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda bongkar mentaliti golongan B40 menyewa di apartment RM350 sebulan! Ada yang bela ayam, karaoke sampai 2 pagi

"Pukul 8.30 pagi saya pergi nak beli ayam tapi waktu tu tak dapat seekor ayam pun.

"Semua ayam 'disapu' oleh seorang saja customer. Dalam troli ada lebih 40 ekor ayam," katanya dalam video tersebut.

Malah menerusi video berdurasi 1 minit 18 saat, wanita ini turut berkongsi rakaman menunjukkan pelanggan yang tidak bertimbang rasa itu memenuhkan troli dengan ayam.

Dakwanya lagi, kemungkinan bahawa pelanggan lelaki ini memiliki restoran atau kedai runcit sendiri untuk menjual semula ayam dengan harga lebih mahal.

Enggan terus membiarkan perkara sama terus berlaku tanpa kawalan, wanita terbabit membuat aduan kepada pihak pengurusan pasar raya.

Video daripada TikTok wanita ini disiarkan semula di Twitter.

"Kenapa buat macam ni (tidak kawal jumlah pembelian)? Nanti orang lain datang nak beli ayam macam mana?" soalnya kepada kakitangan pasar raya berkenaan.

Kedengaran salah seorang kakitangan tersebut menjawab: "Nanti mereka tahan di kaunter".

Jawapan itu ternyata terus mengundang kemarahan wanita tersebut.

"Dekat kaunter pun mereka tak tahan! Dia dah bayar pun, lepas tu dia dah pergi," katanya dengan penuh rasa marah dan kecewa.

Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi kurang senang netizen kerana menganggap pelanggan itu bersikap pentingkan diri.

Harap supermarket jangan biar orang kurang ajar dan pentingkan diri macam ni beli suka-suka. Lebih sesuai seorang boleh beli maksima dua atau tiga ekor ayam saja.

NETIZEN

Meninjau di ruangan komen, pelayar Twitter bersetuju dengan tindakan wanita berkenaan kerana membuat aduan kepada pihak pengurusan walaupun hampa dengan jawapan diberikan.

"Harap supermarket jangan biar orang kurang ajar dan pentingkan diri macam ni beli suka-suka. Lebih sesuai seorang boleh beli maksimum dua atau tiga ekor ayam saja.

"Yang ni betul! Selalu sangat orang beli ayam penuh troli. Lepas tu sampai dekat kami terkulat-kulat ayam dah tak ada. Kalau boleh hadkan beli minyak, kenapa ayam pun tak limitkan?

"Ayam dekat sini murah berbanding dekat pasar. B40 memang selalu beli di pasar raya sebab lagi murah.

Komen beberapa netizen.

"Betul akak ni... pihak pengurusan tolong hadkan satu orang limit dua atau tiga ekor. Orang lain nak juga rasa ayam murah. Kesian pada pelanggan lain yang balik kerja singgah nak cari barang basah nak masak untuk famili.

"Jangan fikir untung saja. Yang tauke restoran minta tolonglah cari ladang kalau nak borong. Kasihan orang lain," demikian antara komen beberapa netizen.

Video asal dikongsikan oleh pemilik akaun tersebut di TikTok bagaimanapun telah dipadam namun dikongsikan semula di platform Twitter.

Sehingga kini perkongsian video tersebut meraih lebih 20,000 jumlah tontonan serta hampir 1,000 ulang kicau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain