IBU bapa mana yang tidak risau setiap kali anak mereka jatuh sakit. Namun di sebalik kebimbangan itu, ada banyak lagi dugaan berat yang perlu dilalui tanpa siapa yang tahu. Ini termasuklah sikap anak-anak sendiri yang sukar atau langsung tidak mengetahui bagaimana mendalam kasih sayang ibu bapa terhadap mereka. Guru menyarankan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan cuti sakit. -gambar hiasan Menerusi satu perkongsian seorang warden asrama di laman sosial, minggu lalu giliran pelajar-pelajarnya dibenarkan pulang bermalam di rumah keluarga masing-masing. Bagaimanapun, guru berkenaan, Mohamad Yusof Sulehin berkata, salah seorang pelajarnya tidak dapat kembali ke asrama selepas pulang bercuti. "Kebetulan minggu ni budak asrama saya pulang bermalam dan hari ni sepatutnya mereka kena pulang ke asrama tapi ada parent budak asrama mesej saya, 'Cikgu, anak saya demam'. "Saya balas beritahu prosedur supaya kalau boleh anaknya dapatkan rawatan dan dapatkan surat MC (cuti sakit)," tulisnya di halaman Facebook Muhammad Yusof. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup tak makan KFC ketika jamuan, alasannya buat warden asrama nak menitik air mata ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan - "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo" Bagaimanapun, mesej yang dihantar oleh guru yang berkhidmat di Pasir Gudang, Johor itu tidak dibalas segera dan hanya dijawab ibu pelajar itu selepas sejam. "Lama dia seen mesej saya. 'Cikgu, boleh tak saya tulis surat rasmi je cikgu sebab gaji saya lambat lagi. Saya cuba korek sana sini, tapi tinggal cukup nak makan je cikgu'," katanya yang mengimbas kembali kandungan mesej daripada ibu pelajar tersebut. Ternyata jawapan yang diberikan oleh wanita itu cukup menyayat hati sehingga menyentuh emosi Mohamad Yusof. "Bila dapat mesej macam tu terus saya rasa bersalah. Kebetulan saya baru gaji, terus saya mesej minta akaun bank untuk dia hantar anaknya ke klinik. "Dia balas 'Terima kasih banyak cikgu, malu sebenarnya nak cerita kat cikgu tapi sebab nak bagi anak sihat je ni. Nanti dah gaji cikgu bagi nombor akaun cikgu ya, saya bayar'. "Saya jawab tak apa puan, moga anak puan cepat sembuh," katanya, memetik perbualannya yang bersimpati dengan nasib keluarga pelajar itu. Sebahagian posting Mohamad Yusof di Facebook. Berkongsi pengalamannya, Mohamad Yusof sering berpesan kepada pelajar-pelajar di sekolah supaya sentiasa mengenang jasa ibu bapa mereka. Justeru, penerima Anugerah Kebangsaan Ikon Warden Asrama Harian Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Simposium Hal Ehwal Murid Peringkat Kebangsaan 2021 ini menasihati pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan. Pesan arwah mak saya 'Kalau kita jaga anak orang baik-baik, nanti satu hari nanti orang akan jaga anak kita baik-baik'. MOHAMAD YUSOF "Belajar sungguh-sungguh. Jangan buat benda pelik-pelik yang boleh malukan mak ayah. Kalaulah anak-anak ini tahu macam mana susahnya mak ayah mereka cari duit, rasanya tak ada yang akan keluarkan konten pelik-pelik contohnya dapat 9G dalam SPM pun bangga nak viral satu Malaysia. "Pada saya, kegagalan bukanlah sesuatu untuk dibanggakan. Balaslah jasa mak ayah dengan sesuatu yang betul-betul 'membanggakan' kedua-dua ibu bapa," katanya. Antara komen-komen netizen. Menurut guru itu lagi, membanggakan ibu bapa bermaksud membahagiakan kedua-dua mereka di dunia dan juga di akhirat. "Bahagiakan perasaan mereka. Bahagiakan kehidupan mereka sebaik mungkin bila kita sebagai anak dah ada sedikit kemampuan. Saya rasa pesanan ni relevan untuk semua anak-anak. "Kadang-kadang mereka nampak senang je mak ayah hulur duit kat mereka setiap hari, tapi dalam sedar tak sedar mereka tak tahu macam mana peritnya mak ayah kerja pagi sampai malam nak dapatkan sesuap nasi tu, hanya Tuhan yang tahu," ujarnya. Berdasarkan perkongsian yang ditulisnya, Mohamad Yusof menegaskan bantuan yang dilakukannya itu berpegang kepada pesanan arwah ibunya. "Saya hanya insan yang banyak dosa cuma saya ingin berkongsi pesan arwah mak saya 'Kalau kita jaga anak orang baik-baik, nanti satu hari nanti orang akan jaga anak kita baik-baik'. Pesan arwah mak ni saya pegang betul-betul," tulisnya di Facebook Muhammad Yusof. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI