suria

“Bukan nak gaduh, cuma nak betulkan...” - Aktivis Wan Cai cabar Uncle Kentang buat laporan audit, sedia tanggung semua kos

Wan Cai mencabar Uncle Kentang membuat laporan audit di Facebook.

"SAYA cabar dia untuk buat audit terhadap akaun peribadinya."

Demikian tegas Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Cai ketika mengulas tentang 'perang' membabitkan dirinya dengan aktivis masyarakat terkenal, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Kontroversi antara kedua-dua aktivis tersebut kini hangat diperkatakan di media sosial selepas Wan Cai menerusi beberapa hantaran di Facebook mendakwa Uncle Kentang tidak telus dalam menguruskan dana awam hasil kutipan daripada orang ramai.

wan cai 1

Wan Cai membuat hantaran di Facebook bagi membangkitkan beberapa persoalan kepada Uncle Kentang.

Menurut Wan Cai, tidak timbul sama sekali soal iri hati atau mahu berlumba-lumba bersaing dalam lapangan kebajikan.

Sebaliknya dia terpanggil untuk membuat pendedahan kerana merasakan ada 'sesuatu yang tidak kena' dalam pengurusan dana awam yang dikendalikan aktivis yang terkenal dengan inisiatif RM1 itu.

"Saya tegur kerana dia banyak mainkan sentimen orang Islam ditambah pula dengan kisah-kisah sedih untuk memancing simpati. Dia tahu orang Islam suka bersedekah jadi dia mainkan sentimen ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh curi dana awam, Uncle Kentang ingatkan rakan aktivis ‘dosa fitnah lebih besar dari bunuh’! Tak akan saman walau ada bukti chat

ARTIKEL BERKAITAN: Nak bantu urus jenazah tapi rayu dana RM1,500 siap ada kos sewa hotel, token... Uncle Kentang akui ‘budak baru belajar’, perjelas hal sebenar

"Banyak persoalan yang timbul bersabit dengan kutipan dana awam yang dihebahkannya di media sosial. Yang kita tak faham, NGO buat secara percuma, persoalannya kenapa dia buat kutipan yang terus masuk ke akaun peribadi?

"Dia beli ambulans menggunakan dana awam, dan canang buat ambulans RM1. Tapi bila orang nak guna ambulans, siap ada soal selidik latar belakang pula dan kenakan caj. Ini mengelirukan penyumbang dan waris pesakit.

"Macam NGO kami, kita tak pilih kategori. Percuma. Kita sakit hati, dia canang kata caj RM1 tapi dalam masa yang sama dia buka kutipan dana di media sosial," ujarnya panjang lebar.

Dalam pada itu, persoalan lain yang dibangkitkan Wan Cai adalah aktivis tersebunt mungkin tidak berlaku telus kerana tidak pernah mengsiytiharkan kegunaan dan hala tuju dana kutipan.

wan cai 3

Selain van jenazah, NGO Uncle Kentang menyediakan perkhidmatan ambulans.

"Dan dia tak pernah declare berapa dapat daripada hasil kutipan. Kalau guna akaun atas nama NGO kendaliannya, itu kita boleh faham.

"Kalau ikut akta Bank Negara, tak ada seorang pun boleh kumpul dana awam menggunakan akaun bank sendiri. Hanya NGO saja boleh kemuka bukti dokumentasi teliti dan akaun pertubuhan NGO tersebut.

"Lebih menghairankan, setiap kali buka kutipan mesti ada balance sebab ramai yang sumbang. Pergi ke mana duit lebihan kutipan itu? Adakah pergi kepada waris si mati atau pesakit?

"Atau adakah digunakan untuk kes-kes seterusnya? Itu yang menjadi tanda tanya," katanya lagi.

Tambah Wan Cai, Uncle Kentang bukanlah sosok asing dalam lapangan kebajikan dan kemasyarakatan kerana masing-masing sentiasa berhubung dan bekerjasama apabila melibatkan kes kematian mahupun pesakit yang memerlukan bantuan.

"Dia tahu mana tempat nak rujuk sebenarnya, sebab dia rapat dengan NGO lain.

"Saya mula 'tembak' dia bermula Februari 2022. Kita nak betulkan apa yang tak betul. Dia call saya, saya explain dan dia minta maaf.

Usahlah 'play victim'. Kalau berani dan betul, saya cabar dia buat laporan audit.

WAN CAI

PENGASAS UKVJ

"Pada 22 Februari, saya dan wakil NGO lain adakan pertemuan dengan dia. Bukan nak gaduh tapi nak betulkan apa yang tak betul.

"Dalam pertemuan itu, kami sepakat, kalau dia ada maklumat kematian Islam, dia kena salurkan kepada NGO Islam. Kita yang akan uruskan A hingga Z dan kita tak bagi dia buat kutipan.

"Namun dia melanggari syarat yang disepakati. Kita dah lama dalam bidang pengurusan jenazah dan kalau nak tahu, kos untuk seorang jenazah tak lebih RM100.

"Ada yang tak tahu kos pengurusan sebenar, tapi kita dalam bidang ni, kita tahu berapa kos. Bila dia buat kutipan dalam jumlah besar, tak betul. Ini satu penipuan," terangnya.

Bukan sekadar ingin mengelakkan penipuan, syarat yang ditetapkan tersebut juga adalah untuk NGO Islam memikul tanggungjawab apabila melibatkan kematian umat seagama.

wan cai 2

UKVJ kendalian Wan Cai membantu meguruskan jenazah bagi pihak waris.

"Bila dia sibuk campur pengurusan jenazah Islam, secara tak langsung juga buat orang lain fikir NGO Islam ni tak capable ke? Kenapa Uncle Kentang tak buka kutipan untuk bangsanya sendiri?" soal Wan Cai lagi.

Tambah Wan Cai lagi, teguran yang disuarakan kepada aktivis tersebut langsung tidak berniat untuk menjatuhkannya sebaliknya hanya mahu isu kebajikan dikendalikan dengan telus.

"Jangan main sentimen agama Islam, jangan guna ayat Al-Quran, jangan perbodohkan lagi orang Islam, jangan campur pengurusan jenazah.

"Usahlah 'play victim'. Kalau berani dan betul, saya cabar dia buat laporan audit.

"Biar kami lantik juruaudit dan saya tidak kisah untuk tanggung kosnya," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain