suria

Diberi RM2 ke sekolah bersama bekal, bapa pelik anak berkeras nak bawa RM5! Keliru antara kawan ‘paw’ atau memang tak cukup

RM2 tidak mencukupi untuk murid sekolah rendah walaupun mereka membawa bekal.

TINDAKAN seorang kanak-kanak lelaki meminta duit belanja lebih bukan hanya mengejutkan bapanya, malah membuatkan para netizen bimbang jika terdapat unsur buli di sekolah.

Mana tidaknya, selain kelihatan ketakutan kanak-kanak tersebut juga enggan menerima dua keping duit kertas RM1 yang diberikan bapanya sebelum mencampakkannya ke atas katil.

Dia kemudian berlari keluar dari bilik dan bersembunyi di sebalik sofa.

Apabila ditanya, dia menjawab bahawa duit belanja yang diingini adalah RM5.

Bagaimanapun, bapanya bertegas bahawa jumlah yang diminta itu adalah banyak kerana dia telah diberikan bekal makanan.

Murid darjah 1 enggan menerima duit belanja RM2 daripada ayahnya.

Murid darjah 1 enggan menerima duit belanja RM2 daripada ayahnya.

Rakaman video tersebut kemudian dikongsikan di media sosial dengan kapsyen, ‘RM 2 tak nak, bekal semua sudah ada’.

Malah pemilik video bernama Munshi itu juga mempersoalkan adakah normal bagi tahun 2022 jika anak darjah 1 perlu membawa duit yang banyak ke sekolah.

Terdahulu video berdurasi 1 minit 5 saat itu ditonton lebih 420,000 pelayar TikTok.

Rata-rata netizen menzahirkan kebimbangan jika anaknya dibuli rakan sekolah yang suka meminta duit.

“Risau pula bang, siasat betul-betul risau ada budak minta duit buli dia, kadang budak sekarang bukan boleh percaya kaki buli berlambak.

“Bahaya tu takut ada orang ‘paw’ dia.

“Takut kena buli ni.

“Bawa bekal duit tak payah bagi, anak kawan saya mak dia bagi RM10 tu pun kena paw dengan kawan dia RM7, baki pada dia cuma RM3,” ujar beberapa netizen yang bimbang terdapat unsur buli di sekolah.

Makanan yang dijual di kantin sekolah dikatakan mahal. - Gambar hiasan

Makanan yang dijual di kantin sekolah dikatakan mahal. - Gambar hiasan

Dalam pada itu, Munshi turut mengakui bahawa terdapat seorang murid yang pernah meminta duit daripada anaknya dan perkara tersebut terjadi di hadapan isterinya.

Ujarnya, ia turut diketahui selepas pemantauan dilakukan selama seminggu di sekolah anaknya.

“Memang pun. Depan mak dia (isteri) hari tu budak minta duit. Mengadu bekal kena ambil orang,” ujarnya membalas komentar netizen.

Tambahnya, susulan kejadian tersebut dia terpaksa mengehadkan duit belanja anaknya.

“Sebelum ni dia diberikan RM5 dan masa tu perbelanjaan harian adalah RM2 hingga RM3 sahaja... selebihnya dia dah janji nak simpan dalam tabung.

“Tapi sejak kebelakangan ini, duit belanja yang diberikan tidak berbaki. Apabila ditanya, dia jawab beli barang tapi tak tahu apa yang dibeli.

Siasat betul-betul risau ada budak minta duit buli dia, kadang budak sekarang bukan boleh percaya kaki buli berlambak.

NETIZEN

“Jadi saya perlu mengajarnya supaya berjimat sekali gus menghalang kejadian buli dan paw daripada terus berlaku. Lagi pula, anak memang bawa bekal ke sekolah dan dia suka meminta pelbagai jenis menu setiap hari di samping makanan kegemaran ayam goreng,” luahnya lagi.

Pendedahannya itu menyebabkan warganet meminta dia menegur dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada ibu bapa murid tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ‘pergi’ selepas bank in duit belanja RM100, anak lega arwah ‘fikir jauh’... tinggalkan hibah setengah juta cukup untuk keluarga teruskan hidup!

ARTIKEL BERKAITAN: Baru seminggu masuk darjah satu, anak balik sekolah menangis teresak-esak... rupa-rupanya ada kisah sedih di sebalik baki duit belanja RM3

Namun Munshi menyatakan bahawa perkara itu telah mendapat perhatian guru serta diberi peringatan di dalam grup WhatsApp antara ibu bapa.

Kanak-kanak gemar membeli keropok selepas habis waktu persekolahan.

Kanak-kanak gemar membeli keropok selepas habis waktu persekolahan.

Bagaimanapun, sekumpulan netizen tampil menyatakan wang saku berjumlah RM2 tidak mencukupi walaupun sudah membawa bekal.

Mereka turut menyifatkan bahawa kanak-kanak gemar membeli makanan ringan (jajan) selepas balik sekolah dan harga bagi barangan tersebut adalah mahal.

“Belanja RM5 sehari, tu pun tak cukup.

“Bagi je bang RM5... kadang-kadang dia nak belanja kawan sekolah yang susah tak ada duit. Budak-budak selalu dia tak nak cakap dengan mak ayah.

“Kalau semua bekal dah dibawa, RM2 tu sebenarnya cukup sangat... tapi budak-budak ni memang jenis suka membeli bukan jenis makan sangat, sama macam anak-anak akak juga.

“Makanan kantin sekarang mahal bang, air segelas RM1.50.

“Bang makanan kantin sekarang mahal-mahal. RM2 tu boleh beli air atau kuih saja,” ujar beberapa netizen lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain