suria

Wanita reda bergelar ‘pengantin tak jadi’! Bakal suami mesej tak mahu nikah 3 hari sebelum majlis, pujuk pun ‘tak jalan’

Khemah sudah siap dipasang dan cincin sudah disediakan namun majlis pernikahan Nur Ain terpaksa dibatalkan.

PELAMIN anganku musnah!

Itulah bait yang sesuai bagi menggambarkan situasi yang dilalui oleh wanita ini apabila majlis pernikahannya terpaksa dibatalkan kerana bakal pengantin lelaki menarik diri.

Lebih perit, wanita ini menerima mesej daripada bakal suami memaklumkan hasratnya untuk tidak meneruskan pernikahan tiga hari sebelum majlis berlangsung.

"Dukacita memaklumkan akad nikah saya yang sepatutnya berlangsung pada 24 Julai 2022 dibatalkan," demikian tulis wanita itu pada perkongsian di laman sosialnya.

Tidak keberatan berkongsi cerita bersama mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Ain berkata, lelaki tersebut memaklumkan 'enggan meneruskan perhubungan' mereka menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

"Saya dapat tahu pukul 11.51 malam, pada 20 Julai. Terduduk... mampu sebut Allahu sahaja, menangis sorang-sorang, masih tak percaya dan rasa masih boleh menyelamatkan apa yang sudah dirancang.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal suami tarik diri beberapa jam sebelum nikah kerana tak boleh lupa ex, wanita ini masuk hospital sebab ‘overdose’

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis nikah batal, wanita tetap ambil baju kahwin idaman harga 8K... menangis di fitting room sampai designer pun kesian!

"Waktu itu saya tengah kemas-kemas baju sebab bakal berangkat dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kedah pada pagi 21 Julai.

"Dah selesai kemas, saya terus ke Shah Alam untuk jumpa dia (bakal suami) dari Hulu Langat sebab saya rasa bila face to face boleh bincang dengan elok.

"Pukul 3 pagi saya sampai Shah Alam tunggu dia habis kerja pukul 5 pagi, saya pujuk dia balik Kedah sama-sama, tarik tangan dia tapi dia tetap cakap tak boleh... sebab kerja, tak cuti.

kahwin 1

Cincin yang sudah disediakan untuk majlis pernikahan.

"Bila tanya kenapa tak ambil cuti, dia cakap sebab tak boleh... berterusan ulang-ulang kata tak boleh," kongsi wanita berusia 22 tahun ini.

Menurut Nur Ain, lelaki yang dikenalinya sejak Mac tahun lalu itu langsung tidak menunjukkan perubahan atau sikap yang aneh sebelum membuat keputusan drastik mahu membatalkan pernikahan.

"Tidak pernah ada keraguan. Dia baik, tidak berkira dan pendiam orangnya," ujarnya yang bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah syarikat.

kahwin 3

Rumah keluarga Nur Ain sedang dicat sempena majlis pernikahannya.

Nur Ain berkata, disebabkan pembatalan tersebut, perbelanjaan yang sudah diperuntukkan untuk majlis seperti kos persalinan, makanan, hantaran serta cenderahati untuk tetamu 'hangus' begitu sahaja.

Sementara itu bayaran untuk jurusolek dan jurugambar dapat diperolehi semula tanpa deposit yang sudah didahulukan.

"Bagi saya, kalau dah tak nak teruskan, boleh beritahu elok-elok dan awal-awal lagi.

"Call parents kita cakap tak boleh teruskan. Sakit masa awal tu tak sesakit waktu semua persiapan dah settle," luahnya lagi.

Bagi saya, kalau dah tak nak teruskan, boleh beritahu elok-elok dan awal-awal lagi.

NUR AIN

Masih bersedih dengan apa yang sudah berlaku, Nur Ain berkata dia memilih untuk reda dan paksa diri untuk kuat menghadapi ujian yang sama sekali tidak dibayangkan.

"Saya merasakan jikalau saya teruskan bersedih untuk orang yang tidak memberi manfaat untuk saya adalah perkara yang sia-sia, saya perlu paksa diri saya untuk kuat," ujarnya.

Sukar untuk membayangkan bagaimana melalui detik yang sepatutnya menjadi hari bahagianya, Nur Ain berkata dia hanya menghabiskan masa bersama keluarga di kampungnya di Sungai Petani, Kedah.

kahwin 2

Tangkap layar perbincangan bersama jurufoto.

"Saya habiskan cuti saya di kampung. Saya akan berhenti kerja di Hulu Langat dan akan balik ke pangkuan baba (bapa) di kampung," ujarnya lagi.

Sekadar mahu berkongsi kisah sedih yang dialaminya, Ain tidak menyangka perkongsiannya itu mengundang perhatian ramai.

"Apa yang boleh saya sampaikan, adat kita cantik, persediaan untuk perkara-perkara begini kena ada seperti hantaran, merisik dahulu, bertunang dahulu, perbincangan tu kena detail, surat hitam putih perjanjian kena ada.

kahwin 4

Antara komen netizen yang turut bersimpati dengan Nur Ain.

"Namun saya mengaku ada juga salah dari diri saya dan saya sudah meminta maaf ketika memberitahu dia," akhirnya.

Sehingga kini perkongsian Nur Ain di aplikasi TikTok meraih lebih 1.3 juta jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain