suria

Arwah ‘muncul’ sebulan sebelum majlis nikah, tunang lega petunjuk dalam mimpi terjawab... Penantian setiap 26 hari bulan berakhir

Kereta dan jasad Muhammad Iman ditemui pada 23 Julai lalu.

KISAH tragis seorang pemuda yang hilang hampir sembilan bulan sebelum rangka jasadnya ditemui bersama kereta dalam sebatang sungai di Nenasi dekat Pekan, Pahang minggu lalu cukup membuatkan rata-rata rakyat negara ini sebak hingga mengalirkan air mata.

Selain keluarga, sudah semestinya insan yang paling terkesan dengan pemergian pemuda bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 25, adalah tunangnya, Nurfaizah Mahadi.

Luahan menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok baru-baru ini, cukup untuk memberi gambaran tentang isi hatinya terhadap arwah.

"Terima kasih untuk kenangan yang indah, Iman. Terima kasih sayang saya sampai akhir hayat awak. Semoga kita jumpa di taman syurga," demikian antara kapsyen yang ditulis pada video tersebut.

Video yang dimuat naik memaparkan kompilasi gambar-gambar kenangan manisnya bersama arwah tunang sehinggalah gambar detik-detik ketika kereta serta jasad lelaki itu ditemui, benar-benar membuatkan warga maya turut sama tersentuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Kurangkan risiko orang hilang tanpa kesan, doktor ini ajar aktifkan fungsi ‘live location’ WhatsApp

ARTIKEL BERKAITAN: “Balik la along, jangan sampai kau menyesal” - Adik jejak abang kandung 20 tahun bawa diri, ibu hilang sebelah kaki derita merindu

Menyelami hati wanita berusia 25 tahun ini, jelas sekali dia begitu terkesan dan masih bersedih apatah lagi dia dan Allahyarham Muhammad Iman sepatutnya bernikah pada 31 Ogos ini.

"Saya mula kenal dengan arwah sejak di bangku sekolah. Kami mulai rapat pada Julai 2018 dan pada 2019, arwah berhasrat untuk mengahwini saya.

"Tanggal 22 Februari 2020 kami bertunang. Pada awalnya kami merancang untuk berkahwin pada 25 Disember 2021 iaitu hari lahir arwah.

tunang 2

Kereta jenis Nissan Grand Livina yang dipandu Muhammad Iman dibawa naik dari dasar Sungai Api-Api.

"Tetapi disebabkan ayah saya meninggal dunia pada akhir bulan Ogos 2021, kami menangguhkan majlis perkahwinan tersebut dan berbincang untuk melangsungkan pada 31 Ogos 2022," ceritanya kepada mStar.

Mengimbas kembali detik kehilangan Muhammad Iman pada 29 Oktober lalu, Nurfaizah berkata dia pada mulanya menyangka telefon bimbit tunangnya kehabisan bateri atau taliannya disekat, selepas dia tidak berjaya menghubungi lelaki tersebut pada waktu pagi.

"Saya sabar tunggu waktu makan tengahari tapi masih gagal dihubungi. Saya dah mula tak sedap hati sebab arwah takkan biarkan saya dan keluarganya risau. Petang tu saya cuba tanya adik arwah, sama ada mereka dihubungi tapi tak ada.

"Sehingga pukul 8 malam, arwah masih gagal dihubungi. Saya cuba cari kawan-kawan sekerjanya tetapi gagal. Saya cari nombor telefon company arwah di Google, Alhamdulillah saya dapat hubunginya.

tunang 4

Nurfaizah dan Muhammad Iman mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah.

"Tidak lama kemudian pihak company menghubungi ibu arwah mengatakan arwah tidak masuk kerja pada 29 Oktober 2021 iaitu hari sepatutnya arwah sampai di Terengganu," ujarnya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Pasir Gudang, Johor.

Pada bulan pertama Muhammad Iman hilang tanpa dapat dikesan, Nurfaizah berkata dia hilang selera makan dan menjadi murung kerana terlalu risau tentang keberadaan tunangnya itu.

Pelbagai ikhtiar dilakukan bersama keluarga kedua-dua belah pihak untuk mengesan lelaki tersebut termasuk mencari di sepanjang jalan yang dilaluinya tetapi tidak menjumpai apa-apa kesan kemalangan.

Bulan berganti bulan, masih tiada khabar yang menjengah namun Nurfaizah tidak pernah putus berharap agar tunangnya ditemui.

Bagaimanapun, sepanjang sembilan bulan sebelum tunangnya ditemui, wanita ini mendedahkan dia didatangi lelaki tersebut menerusi mimpi sebanyak dua kali, seolah-olah mahu memberi petanda.

Arwah tak pernah kata tidak kalau saya mahukan apa-apa. Selalunya dia akan sejukkan hati saya dengan perkataan 'nanti saya balik kita pergi ya'.

NURFAIZAH MAHADI

TUNANG

"Dalam mimpi tu dia tidak bercakap dan hanya tersenyum, terlintas di kepala, adakah dia sudah tidak ada. Dan sewaktu mimpi dia berkata dia akan pulang pada 26 hari bulan, saya percaya antara tidak percaya.

"Sebab orang kata kalau mimpi orang yang dah tidak bercakap, itu hanyalah mainan tidur. Tapi setiap bulan bila tiba 26 hari bulan, saya ternanti-nantikan sebuah jawapan tentang arwah," luahnya.

Penantian Nurfaizah akhirnya terjawab pada 23 Julai lalu, berikutan penemuan rangka manusia dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang terbenam di dasar Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan.

Mengakui sedih dengan berita tidak terduga itu, Nurfaizah bagaimanapun tetap bersyukur kerana jasad tunangnya ditemui akhirnya.

tunang 3

Nurfaizah sedih penantiannya selama hampir sembilan bulan berakhir dengan berita kematian Muhammad Iman.

"Saya amat bersyukur kerana dia telah ditemui sebab saya dah mula reda tentang apa jua keadaannya asalkan jasadnya ditemui. Tipulah saya tidak sedih kerana Allah pinjamkan arwah hanya sekejap. Namun saya reda tentang ketentuan-Nya.

"Arwah tak pernah kata tidak kalau saya mahukan apa-apa. Selalunya dia akan sejukkan hati saya dengan perkataan 'nanti saya balik kita pergi ya'.

"Sewaktu dia hilang, saya susah untuk lena kerana berasa ada sesuatu yang hilang," ujarnya dan menyifatkan Muhammad Iman seorang lelaki yang penyayang dan mesra dengan keluarganya.

Menghargai keprihatinan ramai yang turut berikhtiar dan mendoakan arwah tunangnya, Nurfaizah melahirkan rasa terharu dan memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur.

"Saya berterima kasih atas keperihatinan dan doa-doa dari semua orang walaupun mereka tidak mengenali arwah. Ada juga yang mengikuti perkembangan arwah dari hari pertama hilang sehingga dia ditemui.

"Dan tidak lupa kepada mereka yang tolong dirikan solat sunat dengan harapan Allah mengangkat doa-doa antara kita.

"Alhamdulillah segala teka-teki kita semua telah terjawab dan kami reda dengan ketentuan-Nya," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain