suria

Duit ‘wakaf’ dalam bekas tak pernah kurang, cikgu kagum pelajar susah tapi tak tamak... “Ingat kat kawan-kawan saya juga”

Mohamad Yusof mewujudkan 'dana wakaf' untuk pelajar asramanya yang susah.

BUKAN semua orang bernasib baik dilahirkan dengan kehidupan yang senang.

Sungguhpun demikian mereka juga mempunyai keinginan untuk belajar dan hidup berdikari seperti orang lain.

Menerusi satu perkongsian seorang guru yang juga warden asrama bernama Mohamad Yusof Sulehin di laman sosial, dia mengakui tidak semua pelajarnya dalam kalangan keluarga yang senang.

dana wakaf pelakar asrama 4

Selain wang kertas RM1, Mohamad Yusof turut meletakkan duit syiling dalam bekas. -gambar hiasan

"Duduk asrama ni makan bayar RM1 je sehari untuk lima kali makan. Ya, lima kali makan hanya bayar RM1 je sehari.

"Mana nak dapat kalau makan kat luar kan?" tulisnya di halaman Facebook Muhammad Yusof.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup tak makan KFC ketika jamuan, alasannya buat warden asrama nak menitik air mata

ARTIKEL BERKAITAN: Lama 'seen' mesej tapi tak jawab petanda tengah sesak! Guru terkejut, rupanya ibu sedang korek duit nak bawa anak ke klinik ambil MC

Tambah Mohamad Yusof, walaupun pihak asrama menitikberatkan soal kebajikan, guru yang berkhidmat di Pasir Gudang itu tetap mengambil inisiatif tambahan dalam membantu pelajar di bawah jagaannya.

"Kadang-kadang ada dalam kalangan mereka yang tak ada duit syiling nak telefon atau kadang-kadang ada antara mereka yang 'terputus' duit.

"Yelah, tengok kawan makan kat kantin sekolah, mereka pun teringin nak makan tapi duit tak ada," ujarnya mengimbas realiti yang berlaku.

dana wakaf pelakar asrama 2

Perkongsian Mohamad Yusof di Facebook.

Prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh segelintir pelajarnya, Mohamad Yusof mewujudkan dana 'dana wakaf' untuk mereka yang memerlukan.

"Saya ada buat 'dana wakaf' untuk mereka. Caranya saya masukkan duit RM1 dan syiling dalam bekas.

Yang bagusnya budak-budak saya ni, mereka ambil berapa yang mereka rasa perlu je.

MOHAMAD YUSOF

"Mana-mana pelajar yang nak ambil, saya bagi ambil je berapa banyak yang mereka nak. Saya cukup risau kalau pelajar asrama kelaparan," kata guru yang menerima Anugerah Kebangsaan Ikon Warden Asrama Harian Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Simposium Hal Ehwal Murid Peringkat Kebangsaan 2021.

Namun, apa yang membanggakan Mohamad Yusof adalah sikap para pelajarnya yang jujur dan bertanggungjawab serta bertimbang rasa sesama mereka.

mohamad yusof

Mohamad Yusof sering berkongsi kisah kemasyarakatan di media sosial. foto FB Muhammad Yusof

Kata Mohamad Yusof walaupun bekas yang disediakan penuh berisi wang kertas RM1 dan selonggok duit syiling, tetapi 'dana wakaf' itu tidak dibelanjakan para pelajar sesuka hati.

"Yang bagusnya budak-budak saya ni, mereka ambil berapa yang mereka rasa perlu je, walaupun saya tak pernah pesan apa-apa kat mereka.

"Pernah saya tanya, kenapa awak tak ambil lebih. Pelajar tu jawab 'saya ingat kat kawan-kawan saya juga cikgu, biar sama-sama rasa'.

"Alhamdulillah. Perkara yang saya suka apabila jadi warden ni ialah tentang kemenjadian murid. Syukur budak-budak asrama saya semuanya baik-baik... Moga mereka jadi anak soleh, anak solehah yang membahagiakan ibu bapa mereka dunia akhirat," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Yusof tampil menjelaskan bahawa hantarannya di laman sosial berhubung perkara itu sekadar untuk berkongsi tentang bagaimana guru-guru boleh membantu murid yang susah.

"Kesusahan is real. Kalau ada manfaatnya kita sama-sama berkongsilah ya, moga idea untuk membantu sesama manusia ni kita suburkan tak kira siapa pun kita," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain