suria

Ini kedai mainan, bukan taska! Peniaga panas hati ibu bapa biar anak-anak main tanpa kawalan... Rosak tak mahu ganti!

Siti Suhani (gambar kecil) berkongsi luahan mengenai permainan yang dijualnya rosak disebabkan oleh anak-anak para pengunjung.

SIAPA tak panas hati apabila barang yang dijual mengalami kerosakan dan tiada mana-mana pihak tampil untuk bertanggungjawab.

"Tak ada niat nak beli, jangan bagi anak masuk. Sebab ini kedai, bukan pusat asuhan. Banyak barang aku lingkup pasal anak hangpa (anda)," kata seorang wanita dalam loghat utara, menerusi video yang dimuat naik di laman sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

Namun rungutan peniaga di sebuah gerai menjual permainan itu disalah ertikan oleh segelintir pihak kerana didakwa dia hanya mengalu-alukan pengunjung yang mahu membeli sahaja.

Bercakap kepada mStar, peniaga berkenaan, Siti Suhani Md Daud memberitahu, dia mula membuka gerai permainan di sebuah tapak perniagaan di Pulau Pinang, sejak Mac lalu.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata, luahan tersebut dibuat selepas memendamnya selama dua minggu sejak gerainya bergabung dengan kedai-kedai makan lain di lokasi sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan tak berhati perut 'sidai' peniaga kuih bakar tepi jalan! Mesej dibiar 'blue tick' masih bersangka baik

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh naikkan harga melampau, pelanggan selamba minta nombor pembekal... siap nak tip sebab nak buat sendiri - "Kalau tak reti bahasa, block saja"

"Masalah timbul apabila segelintir mak ayah bersikap lepas tangan membiarkan anak-anak mereka bersendirian di gerai mainan saya, dan mereka beratur beli makanan.

"Mak ayah duduk makan di meja. Apabila selesai makan, mereka sembang atau tengok telefon. Anak-anak hanya dipanggil untuk makan atau balik," katanya ketika dihubungi mStar.

seller mainan 4

Gerai permainan menghadap kawasan pengunjung menjamu selera.

Siti Suhani yang berasal dari Sungai Pinang, Georgetown itu bagaimanapun menjelaskan dia tidak pernah menghalang sesiapa untuk datang ke gerainya.

"Saya tak kisah kalau orang yang datang ke gerai tidak beli apa-apa. Saya faham kadang-kadang mereka ambil masa untuk buat keputusan sebelum belikan untuk anak-anak mereka.

"Tapi saya tak faham sikap mak ayah yang jadikan gerai saya macam taska. Mereka sibuk fokus pada makanan dan telefon, kalau apa-apa yang berlaku di gerai mereka tak akan tahu atau bertanggungjawab," ujarnya yang lebih dikenali sebagai Siti Suhani Online Mall.

seller mainan 3

Siti Suhani membuka gerai mainan sejak Mac 2022.

Dia yang menjual permainan sejak 2017 berkata, keadaan bertambah buruk sekiranya anak-anak pengunjung 'mengamuk' atau tantrum apabila permintaan untuk membeli permainan tidak dipenuhi.

"Apabila mengamuk, habis dihempuk dan dicampak mainan di gerai. Itu belum lagi anak-anak pengunjung yang jenis lasak bermain, sampaikan ada mainan kucing saya rosak dijatuhkan.

"Ada juga mainan buaya yang diusik mulutnya secara kasar berulang kali sampai patah. Apabila jadi macam tu, mak ayah tak akan nak beli sebab mereka sibuk di meja makan.

"Saya tak tergamak nak minta ganti rugi. Macam mainan buaya tu dah patah 10 kali, kalau sebuah harga RM11, jadi saya kerugian RM110 untuk mainan tu sahaja," katanya sambil menambah gerainya menjual permainan pada harga serendah RM2.

seller mainan 2

Antara permainan yang mengalami kerosakan.

Selain itu Siti Suhani yang merupakan ibu kepada empat anak turut terpaksa membaiki permainan yang dirosakkan oleh anak-anak pengunjung, tetapi sebahagiannya tidak boleh dijual semula.

"Mana-mana mainan yang patah atau rosak, saya terpaksa buang dalam tong sampah. Mainan yang dah defect (kecacatan) hanya dijadikan sebagai demo atau display.

Boleh je masuk tak beli apa-apa, tapi mak ayah tolonglah pantau anak-anak.

SITI SUHANI

"Ada mak ayah apabila tahu mainan dah dijahanamkan, mereka cepat-cepat tarik tangan anak mereka dan berlari keluar, atau selamba campak mainan yang tak mahu dibeli.

"Apabila anak mengamuk atau menangis sebab tak dibelikan mainan, mak ayah marah atau pukul anak mereka di hadapan saya. Kasihan saya tengok," katanya dengan nada kesal.

seller mainan 6

Siti Suhani menjual permainan pada harga serendah RM2.

Maka sebab itulah kata Siti Suhani, anak-anak tidak seharusnya dibiarkan bersendirian di gerai mainannya sekiranya tiada pengawasan daripada ibu bapa.

"Paling sedih apabila ada pelanggan tegur kenapa saya buka kedai mainan sebab mereka nak makan pun tak senang. Saya senyum saja sebab saya hanya cari rezeki di situ.

"Itu belum lagi bandingkan harga mainan yang dijual online adalah lebih murah. Mereka kena faham saya buka gerai kena bayar sewa dan tanggung kos lain.

"Dugaan berniaga, kalau mainan yang rosak tu saya reda. Saya anggap ada rezeki yang lain. Boleh je masuk tak beli apa-apa, tapi mak ayah tolonglah pantau anak-anak," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain