suria

Abang dedah bapa selalu ‘ekori’ anak kesayangan! Sanggup jadi guard di sekolah, setiap tempat kerja adik sebab ‘nak dekat’

Seorang bapa sanggup banyak kali berpindah tempat kerja kerana mahu dekat dengan anak bongsunya.

DALAM sebuah keluarga, pasti ada seorang anak yang dianggap sebagai paling manja dengan mak ayah.

Anak yang paling manja itu kebiasaannya sama ada yang bongsu atau sulung serta anak perempuan atau lelaki tunggal dalam adik beradik.

Menerusi sebuah video dikongsikan Kamarulhisham Kamaruzaman, 31, dia merakam momen adik bongsu, Kamalizzah, 27, memberitahu bapa mereka, Kamaruzaman Mohd Tahir, 62, bahawa dia hamil anak pertama.

Menurut Kamarulhisham yang mesra disapa Kamarul, Kamalizzah merupakan anak kesayangan bapanya berbanding dia dan dua lagi adik beradik lain.

Bercerita kepada mStar, Kamarul mempericikan semula kisah di sebalik video yang dimuat naik sehingga mengundang sebak netizen yang menonton rakaman itu.

"Masa tu kami sekeluarga dalam perjalanan ke rumah adik lelaki saya di Putrajaya sebab dia ada buat majlis rumah terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak manja cabut heels, dah tak ‘control ayu’ meraung nampak mak ayah datang kolej... tapi giginya yang diperhatikan netizen!

ARTIKEL BERKAITAN: Anak manja abah! Bapa dedah sikap pemuda pengsan masa kawad... tak lokek pelukan, cium pipi - “Apalah sangat kaki pedih”

"Adik perempuan saya sengaja beritahu bapa ketika kami dalam perjalanan ke sana sebab risau bila dah sampai sana nanti ramai pula orang.

"Saya hanya suka-suka saja rakam gelagat mereka berdua. Saya pun tak sangka akan berlaku momen spontan macam tu," ujarnya.

Tambah Kamarul, disebabkan hubungan dua beranak ini terlalu rapat, bapanya sentiasa 'mengekori' ke mana sahaja Kamalizzah pergi.

Kamalizzah bersama bapanya.

Malah dia turut mendedahkan bahawa sejak di bangku sekolah sehinggalah ke alam pekerjaan, bapanya akan mendekatkan diri dengan anak manjanya itu dengan cara menjadi pengawal keselamatan.

"Adik saya ni memang manja dengan ayah. Mana-mana dia pergi semua ayah ada. Saya masih ingat lagi dulu ayah kerja Telekom tapi dia bersara awal.

"Lepas berhenti kerja dia terus jadi security dekat sekolah adik. Bila adik habis sekolah, dia buat kerja sambilan dekat The Store jadi ayah berhenti jadi sekuriti dekat sekolah untuk jadi pengawal dekat pasaraya tu pula.

Pernah juga ada satu tempat kerja sambilan adik dulu di pasaraya tapi ayah tak dapat jadi sekuriti, jadi setiap hari dia datang tengok. Bila tanya kenapa dia pergi, alasannya nak beli baranglah, apalah...

KAMARULHISHAM

"Masa adik praktikal dekat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), ayah pun minta kerja dekat situ juga. Pernah juga ada satu tempat kerja sambilan adik dulu di pasaraya tapi ayah tak dapat jadi sekuriti, jadi setiap hari dia datang tengok. Bila tanya kenapa dia pergi, alasannya nak beli baranglah, apalah... padahal semua tahu dia nak tengok adik," katanya.

Kamarul yang mengusahakan perniagaan mi siput, berkata, mujurlah tempat kerja adiknya itu jaraknya hanya 10 minit sahaja dari rumah mereka.

Bagaimanapun kata Kamarul, walau dilihat lebih rapat dengan adik bongsu namun kasih sayang dan tahap keprihatinan Kamaruzaman terhadap empat anaknya tetap sama rata.

Kamarul bersama adik beradiknya.

Tegas lelaki yang menetap di Kuala Pulai, Johor Bahru ini lagi, adik beradiknya yang lain turut memanjakan adik bongsu mereka.

Berikutan perkongsiannya di TikTok yang meraih lebih 500,000 jumlah tontonan dalam masa sehari, netizen seolah-olah dapat merasakan kasih sayang yang ditunjukkan oleh si bapa.

Malah mereka turut berasa rindu terhadap bapa masing-masing setelah melihat video tular tersebut.

"Seperti dalam video tu, reaksi ayah bila dapat tahu adik mengandung dia sebak, seronok, tak sabar... bercampur-campur perasaannya. Ini adalah anak pertama Kamlaizzah selepas hampir setahun berkahwin.

Keluarga Kamarul.

"Saya post dekat TikTok untuk kongsikan kegembiraan kami dengan kawan-kawan. Bila dah ramai yang tengok jadi segan juga sebenarnya. Tapi komen-komen banyak positif dan ada juga yang kongsikan pengalaman masing-masing.

"Ayah saya dah tak berapa kuat lagi macam dulu. Ada sakit buah pinggang, kencing manis, dan darah tinggi. Seminggu tiga kali kena cuci darah (dialisis) sampai bila-bila. Saya nak ambil kesempatan ini memohon doakan semoga ayah saya sihat dan dipermudah urusannya," ujar Kamarul.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain