suria

Tragedi Ladang Bikam! Cermin kereta pecah ketika memandu, isteri parah... suami bingung dari mana muncul ‘bearing’ lori

Adi terkejut cermin keretanya tiba-tiba pecah semasa memandu ke Ipoh, Perak.

MALANG tidak berbau.

Begitulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan tragedi menimpa Siti Izza Nurul Azura Zakaria, 37, apabila terlibat dalam satu insiden ketika lalu di kawasan Ladang Bikam, Perak, pada 7 Julai lalu.

Bercerita kepada mStar, suaminya, Mohd Azuardi Mohd Radzi berkata kejadian tersebut telah menyebabkan isterinya mengalami kecederaan pada bahagian muka serta mengalami patah tulang bahu.

“Saya, isteri dan adik ipar bertolak dari rumah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada jam 10 malam. Kami melalui Plus arah utara untuk ke Ipoh, Perak.

“Keadaan jalan malam tu okay saja langsung tak sesak. Pukul 11.35 malam kami dah sampai di kawasan berhampiran hentian sebelah Ladang Bikam. Tiba-tiba cermin bahagian hadapan kereta pecah. Bunyinya seolah-olah macam satu letupan.

“Saya terus perlahankan kenderaan dan berhenti di lorong kecemasan dan dapati cermin depan kereta telah pecah. Saya panggil isteri tetapi tiada respons. Bila saya selak tudung dia saya dapati muka isteri penuh dengan darah,” jelasnya yang senang disapa Adi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita menangis dimaklumkan suami kemalangan, sukar percaya ada seorang manusia baik sanggup bantu dari A-Z tanpa diminta

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin 22 hari saksi suami dilanggar depan mata, melambung 2 kali sebelum maut... Seminggu kemudian UPT naik ‘double line’

Tanpa berlengah lagi, Adi yang cemas melihat keadaan isteri meneruskan perjalanan untuk mencari hospital berdekatan.

Ketika dalam perjalanan, dia sempat menghubungi Pusat Kawalan Trafik Plus untuk mendapatkan maklumat mengenai pusat rawatan terdekat.

Enggan mendapatkan bantuan ambulans kerana bimbang lewat, Adi meneruskan perjalanan ke Hospital Tapah, Perak.

Isteri Adi dimasukkan ke Hospital Tapah, Perak pada malam kejadian.

“Sebelum sampai ke hospital, isteri saya sedar dan mengerang kesakitan. Dia capai beg dan cari pam inhaler asma. Mungkin terkena serangan asma. Adik ipar saya di belakang bantu menahan pendarahan di muka isteri dengan tisu.

“Isteri juga beritahu dia sakit di bahagian belakang dan bahu kanan. Ketika sampai di hospital, dia terus dimasukkan ke unit kecemasan. Doktor sahkan dia patah tulang bahu kanan dan rusuk kanan. Luka di bahagian muka tidak dijahit sebab kecederaan tak serius.

“Malam kejadian tu saya cari semula objek yang menyebabkan pecah cermin kereta sementara tunggu isteri dapatkan rawatan. Tapi tetap tak jumpa juga.

"Saya terus ke Balai Polis Trafik Tapah pada pagi 8 Julai 2022. Pihak polis ambil keterangan saya dan pegawai penyiasat yang jumpa objek tu dalam kereta,” jelasnya lagi.

Sekarang tangan kanan masih tak boleh pegang, angkat atau bergerak. Bengkak di dada, muka dan tangan pun masih ada hingga hari ni.

MOHD AZUARDI

Jelas Adi yang merupakan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di sebuah syarikat, objek tersebut merupakan ‘center bearing’ dipercayai dari sebuah lori.

Setelah mendapatkan rawatan di hospital selama dua hari, Izza dibenarkan pulang dengan keaadan muka berparut dan bengkak pada bahagian pipi kanan.

Menurut Adi yang sudah berumah tangga lebih 13 tahun, setelah membuat pemeriksaan susulan di KPJ Ipoh, isterinya diminta untuk melakukan pembedahan memasukkan plat besi pada bahagian tulang bahu yang patah pada 10 Julai 2022.

“Selepas dapat kelulusan insurans, pembedahan ke atas isteri dapat dijalankan. Saya bersyukur pembedahan selama tiga jam berjalan lancar dan dia boleh balik dua hari kemudian.

Izza dipindahkan ke KPJ Ipoh untuk jalani pembedahan.

“Sekarang tangan kanan masih tak boleh pegang, angkat atau bergerak. Bengkak di dada, muka dan tangan pun masih ada hingga hari ni. Masa pergi dapatkan rawatan susulan 20 Ogos lalu, doktor belum benarkan dia buka anduh dan minta dia jangan banyak bergerak.

“Mengenai kemalangan tu, polis pun tak ada penjelasan sebab bila rujuk dashcam (kamera papan pemuka) bukti video dah tak ada sebab tak cukup memori. Polis beritahu kalau kamera dapat rakam kejadian, boleh cari pemandu lori menggunakan nombor plat,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Adi, berdasarkan apa yang diingatinya, dia tidak melihat atau sedar jika terdapat sebuah lori di hadapannya pada masa kejadian kerana insiden berlaku begitu pantas.

Izza menjalani pembedahan untuk memasang plat besi pada tulang bahu yang patah.

Perkongsian video mengenai kemalangan ini mendapat perhatian warga maya yang rata-rata menceritakan pengalaman hampir sama terjadi kepada mereka.

Bagaimanapun, tegas Adi, tujuannya berkongsi video tersebut hanyalah untuk tatapan umum agar lebih berwaspada ketika memandu di jalan raya dan tiada niat untuk memburukkan mana-mana pihak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain