suria

‘Wanita jadian’ tinggalkan dunia mak nyah, hidup makin tenang jadi tukang buat keranda... “Orang tengok atas bawah sebab pelik”

Jun sudah lama meninggalkan gaya pemakaian menyerupai perempuan dan kini fokus terhadap kerjanya sebagai tukang keranda serta batu nisan.

DUA hati, dua jiwa, dua watak dalam satu jasad.

Muhammad Asrul Abdul Kadir, 38, menulis kata-kata itu menerusi satu video di aplikasi TikTok untuk menggambarkan kisah lampaunya yang pernah bergelar mak nyah suatu masa lalu.

Namun semua itu tinggal sejarah apabila anak jati Kedah yang mesra disapa Jun itu kini menceburkan diri sebagai tukang keranda, batu nisan dan kepok kubur sejak kira-kira lima tahun lalu.

Kata Jun, laluan hidupnya kini semakin tenang dengan cara tersendiri.

"Dah lima tahun saya buat kerja ni. Masa awal-awal jadi tukang keranda dan batu nisan, saya masih pakai pakaian perempuan. Orang tengok atas bawah sebab pelik.

"Lama-lama saya fikir, macam mana nak berniaga, nak berdepan dengan pelanggan. Kemudian mak saya meninggal pada tahun 2016.

"Sejak itu saya perlahan-lahan tinggalkan pakaian perempuan. Baju-baju lama masih disimpan, tapi saya dah tak pakai," ujar Jun yang kini menetap di Alor Setar.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba baring dalam liang lahad! Pemuda ini tak takut gali kubur, tinggalkan dulu kerja hakiki jika ada kematian

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah bomoh dalam rumah, tiba-tiba keranda terbang mengganas di kampung

Menurut Jun, dia juga tidak kisah berkongsi gambar-gambar lama ketika dia bergelar mak nyah menerusi aplikasi TikTok kerana penat menjawab soalan sama yang diajukan netizen.

Jelas Jun lagi, dia mahu bersikap jujur dan tidak kisah dengan sebarang tanggapan baik atau buruk yang dilemparkan kepada dirinya.

"Dekat TikTok saya tunjukkan cerita sebenar. Saya jujur dengan followers, jadi orang pun faham. Kalau saya tak tunjuk gambar, orang asyik tanya soalan sama. Saya penat nak jawab.

jun2

Jun banyak berkongsi video-video berkaitan kerjanya di aplikasi TikTok.

"Yang mana dah lama ikuti TikTok saya, mereka tahu saya macam ni. Yang kecam tu sikit sangatlah, sebab orang tahu kerja saya walaupun saya macam ni. Lebih ramai yang memberikan sokongan

"Alhamdulillah, ada juga dapat pelanggan melalui TikTok. Ada batu nisan dan keranda yang saya buat dihantar sehingga ke Johor dan Negeri Sembilan, bukan dalam Kedah je," ujarnya lagi.

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, dia mula belajar menghasilkan keranda dan batu nisan sejak kecil lagi sebelum ia mula menjadi sumber rezeki utamanya sejak lima tahun lalu.

Saya dah simpan keranda untuk diri sendiri, kain kafan pun dah siap.

MUHAMMAD ASRUL ABDUL KADIR

"Saya mula buat keranda masa umur 9 tahun. Batu nisan pula saya belajar masa umur 16 tahun. Masa tu tengok orang buat, kemudian saya beli kayu dan sebagainya, saya cuba buat sendiri.

"Buat banyak kali, daripada tak jadi sampailah jadi keranda. Sekarang dah lima tahun saya usahakan kerja ini, saya buat depan rumah je. Ada juga pembantu, berat nak buat sendirian," ujar Jun yang turut terlibat dalam urusan memandikan jenazah.

Dedah Jun, dia juga sudah menyiapkan keranda untuk diri sendiri yang disimpan di dalam rumahnya, malah dia juga ada memaklumkan hal itu kepada ahli keluarga.

jun3

Selain menyiapkan tempahan orang, Jun turut menyediakan keranda untuk dirinya sendiri.

"Saya dah simpan keranda untuk diri sendiri, kain kafan pun dah siap. Saya maklumkan pada waris, jadi mereka boleh standby, batu nisan pun saya dah siapkan. Simpan kat rumah.

"Sekarang ramai juga yang beli kain kafan untuk diri sendiri sebagai persediaan. Tapi belum ada pelanggan yang tempah keranda untuk diri sendiri," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Jun mempunyai dua akaun TikTok dengan jumlah 21,000 dan 31,000 pengikut yang mana dia banyak berkongsi video-video penghasilan keranda serta batu nisan sehingga meraih perhatian netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain