suria

Isteri sakit teruk, lama ikhtiar tapi belum jumpa penawar... Nekad berhabis duit suruh suami ke Madinah doa mohon kesembuhan

Mohi pernah menetap di Malaysia selama lima tahun sebelum PKP.

SETIAP daripada kita pastinya berdepan dengan pelbagai ujian yang tidak disangka-sangka.

Namun percayalah setiap ujian itu adalah jambatan untuk manusia meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Seperti seorang lelaki dari Pakistan dikenali sebagai Mohi ini, dia diuji dengan isteri dan anaknya berdepan penyakit yang sukar dirawat walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

Enggan mengeluh dengan ujian itu, isteri Mohi bahkan menyuruhnya menunaikan ibadah di Makkah dan Madinah bagi memohon keampunan Allah serta berdoa agar penyakit yang dihidapi ahli keluarga segera sembuh.

Roslan menceritakan semula kisah pertemuannya dengan seorang lelaki Pakistan.

Kisah Mohi diceritakan semula individu dikenali sebagai Abu Hurairah Roslan menerusi Facebook baru-baru ini.

Roslan bertemu Mohi ketika dia berada di Madinah.

"Bila sampai di bumi Makkah dan Madinah, satu sahaja yang saya nak cari. Saya nak cari keajaiban kerana tanah ini adalah Tanah Suci.

"Ada rumah Allah. Ada rumah Rasulullah SAW. Sedang menunggu solat Isyak, tiba-tiba ada seorang Pakistan tegur saya

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai umat Islam tidak rebut peluang masuk syurga! Ikutilah tip saranan nabi

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki! Pemuda ini pernah berdoa nak belajar di Madinah, selepas 4 tahun terkejut dimakbulkan walau result tak berapa bagus

"Dia kata namanya Mohi. Pernah duduk Malaysia lima tahun kemudian balik sebelum PKP dan sangkut tak boleh masuk Malaysia dah," tulisnya di Facebook.

Dek kerana Mohi fasih berbahasa Melayu, Roslan meneruskan perbualan dengan bertanya bagaimana dia boleh sampai ke Madinah.

"Matanya berkaca. Menahan sebak. Rupanya dia datang sini (Madinah) sebab permintaan isterinya. Isteri dan anaknya kena sakit teruk. Bermacam cara dah buat tapi masih begitu juga.

"Jadi isterinya kata pergilah ke Makkah. Bercakaplah dengan Allah di depan Kaabah. Ziarahlah (makam) Rasulullah. Bercakap dan merayulah dengan berkat Nabi SAW, moga sakit mereka di sembuhkan," cerita Roslan lagi.

Apabila melihat Mohi, saya merasakan itulah kehebatan Tuhan yang Maha Agung.

ABU HURAIRAH ROSLAN

Tambah Roslan, Mohi memberitahu bahawa kunjungannya ke Madinah menggunakan wang simpanan isterinya yang sekadar cukup untuk perbelanjaan pengangkutan.

Di sana Mohi tidak mempunyai tempat penginapan malah duit belanja juga sekadar cukup makan.

"Di tepi dia ada satu beg kecil. Ada plastik nak isi baju kotor. Dalam poket ada roti kosong keras. Masa sambil duduk-duduk tu, dia siap koyakkan roti bagi dua, satu untuk saya dan satu untuk dia.

"Saya kunyah, menitis airmata. Kosong, tiada rasa tapi itulah teman yang mengenyangkan perut... kemudian sambung ibadah," katanya.

Menurut Roslan lagi dia cuba untuk membantu Mohi, namun wang yang ditawarkan ditolak.

Mohi sebaliknya memohon agar Roslan sama-sama mendoakan agar Allah memberikan kesembuhan kepada isteri dan anaknya yang tercinta.

"Saya cerita bukan bagi abang kasihan... bukan. Saya nak minta abang doakan isteri dan anak saya boleh? Saya takut kalau nanti Allah ambil dia.

"Saya sayang dia. Saya sayang anak saya," kata Mohi kepada Roslan.

Antara komen netizen di Facebook.

Ujar Roslan, perbualannya dengan Mohi cukup menimbulkan keinsafan dalam dirinya.

"Apabila melihat Mohi, saya merasakan itulah kehebatan Tuhan yang Maha Agung.

"Dia menawarkan cintanya di atas seribu kepahitan. Itu kerana Dia mahu pastikan bahawa cinta hamba tetaplah padaNya walau diuji dengan segala macam bentuk ujian.

"Dia menciptakan kesusahan itu sebagai satu cara untuk kita tetap merasa hamba. Dengan itu kita akan selalu merasa bertuhan," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain