suria

“Baca review di Telegram macam wow” - Wanita geram! Walau was-was, terpedaya juga dengan scammer emas murah

Taktik scammer yang meminta pembeli emas untuk membuat bayaran kali kedua sebagai jaminan, sebagaimana perkongsian Nana. Gambar hiasan

WANITA dan barang kemas sememangnya sukar dipisahkan.

Memandangkan emas dianggap sebagai satu pelaburan jangka panjang yang berbaloi, kebanyakan wanita tidak mahu melepaskan peluang untuk membelinya lebih-lebih lagi apabila ia dijual pada harga yang rendah daripada harga di pasaran.

Menyedari emas menjadi salah satu 'kelemahan' wanita, ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan penipuan kononnya menjual emas pada harga rendah menerusi perniagaan dalam talian (online).

Wanita yang dikenali sebagai Nana merupakan salah seorang mangsa 'scammer' yang menjual emas sehingga mengalami kerugian sebanyak RM3,711.

emas baru 2

Tangkap layar akaun Instagram kedai emas yang memperdaya Nana.

Menerusi satu bebenang di Twitter, Nana berkongsi pengalamannya dan modus operandi kedai emas online tersebut agar dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyaris hangus RM10,000! Wanita ini hampir gadai barang kemas gara-gara taktik baru scammer... data peribadi tepat, confident level penipu sampai ke langit

ARTIKEL BERKAITAN: Juruwang sarat hamil nyaris ditipu warga asing, selamba ‘sound’ scammer... pernah melayang RM100 sebab trick sama - “Saya bukan malas...”

"Meh saya share satu scam ni dekat korang. Nampak menarik tapi saya je yang tertarik.

"Kalau korang nak tahu scammer ni dia memang iklankan pasal benda-benda yang murah tak kisah la murah atau mahal supaya kita mudah percaya. Siap tunjuk dekat Telegram ramai orang review. Jadi memang menariklah iklan mereka tu.

"Nak jadikan cerita, saya beli barang dengan account Instagram ni (Emas Lelong Far***). Saya tanya dia betul ke barang emas tu murah sampai gram dengan harga jauh beza," kongsinya di laman sosial itu.

Nana turut memaparkan perbualannya bersama penjual emas berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

Walaupun mengakui agak was-was, Nana sempat bertanya beberapa soalan selain meminta bukti ulasan (review) daripada pembeli-pembeli sebelum ini, sebelum akhirnya terpedaya dan membuat keputusan untuk meneruskan urusan jual beli.

Paling kelakar yang dia bagi link Telegram tu semua dalam contact dia scammer, mungkin dia beli number banyak lepas tu post acah-acah customer review. Eh geram!

NANA

MANGSA

"Saya pun percaya tapi ada juga perasaan was-was sebab terlalu murah berbanding beli walk-in. Jadi saya pun tanya macam-macam dekat dia pasal bangle.

"Nak walk-in tak boleh, dia cakap online saja dapat harga murah. Dia memang balas gaya macam dia betul-betul jual barang tu siap bagi Telegram (link) suruh saya tengok orang review.

"Saya bacalah review dekat Telegram macam wow ramai juga beli dan review dia punya emas. Then saya lock barang emas tu screenshot bagi dekat dia yang saya nak dan saya bank-in RM3,711," kongsinya lagi.

Menurut Nana, dia mula menghidu sesuatu yang tidak kena apabila penjual berkenaan memintanya melakukan pemindahan wang kali kedua dengan jumlah RM3,500 sebagai jaminan.

Berasa curiga, Nana bertanya keperluan untuk dia membayar jumlah 'jaminan' berkenaan namun jawapan yang diberi makin mengelirukan, membuatkan wanita ini meminta dia memulangkan wang yang sudah dipindahkan.

Namun bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur namun wanita ini reda meskipun geram kerana terpedaya dengan penipuan berkenaan.

"Saya tahu duit tu takkan dapat balik. Lapor polis pun dah. Saya cuma nak kongsi macam mana boleh kena scam.

"Paling kelakar yang dia bagi link Telegram tu semua dalam contact dia scammer, mungkin dia beli number banyak lepas tu post acah-acah customer review. Eh geram!" kongsinya lagi.

emas baru 1

Tangkap layar perbualan Nana dengan pihak kedai emas.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen saling memberi peringatan agar sentiasa berwaspada ketika membuat sebarang pembelian barang berharga secara dalam talian kerana dibimbangi menjadi mangsa penipuan.

Malah ada juga yang berkongsi pengalaman menjadi mangsa penipuan urusan jual beli secara online kerana seperti 'dipukau'.

"Sebagai someone yang pernah kena scam dulu, saya just nak kongsi masa tu memang rasa macam kena pukau... kita turutkan je scammer minta tambah duit, memang tak fikir apa-apa, lebih kepada risau takut tak dapat refund, padahal tanpa sedar kita tengah tambah jumlah duit yang kena scam.

"Pernah kena juga suruh bayar RM500 untuk jaminan, masa tu dah tahu kena scam. Katanya nanti dipulangkan balik, berapa ramai entah lagi dia scam, jahat!

"Instagram lubuk scam, jangan katakan emas, vehicle dengan barang-barang bundle pun ada siap buat paid ads," demikian antara komen netizen.

Sehingga kini perkongsian Nana di Twitter meraih lebih 1,400 ulang kicau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain