suria

Tengah layan kartun, bibik paksa tengok filem ‘wanita menjerit’... gadis baru sedar dulu tonton porno, didera sejak kecil

Irah mendakwa dipaksa menonton filem lucah oleh pembantu rumahnya.

KISAH yang terjadi kepada gadis ini ketika dia kecil memberikan impak mendalam sehingga ke hari ini.

Rosyahirah Rosdi Sham, 22, mendakwa dia pernah menjadi mangsa dera pembantu rumah (bibik) sejak berusia empat hingga lima tahun.

Berkongsi mengenai kenangan pahitnya kepada mStar, dia yang senang disapa Irah mengakui trauma setelah dipukul dan ditampar oleh individu dipanggil 'bibik' di kediamannya ketika ibu dan bapanya berada di tempat kerja.

“Saya kurang pasti kejadian tu bila tapi sekitar 2004 atau 2005 sebab saya masih kecil. Yang saya ingat bibik selalu pukul dan marah saya. Dia pernah letak lipas dalam baju saya.

“Pernah sekali tu dia suruh saya buat susu botol sendiri. Bila saya buat, air panas tumpah terkena tangan. Bibik marah dan tampar saya. Saya takut dan terpaksa mengaku dekat parents saya yang buat sendiri sampai terkena air panas.

“Masa bibik buat semua tu, saya tak faham lagi yang saya sedang didera. Bila dah meningkat dewasa perlahan-lahan baru faham apa bibik lakukan pada saya tu salah,” katanya.

Selain menjadi mangsa dera secara fizikal, dia turut mendakwa diganggu secara mental apabila wanita tersebut memaksanya menonton filem lucah yang dipasang pada televisyen rumah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mangsa dera warga Indonesia munculkan diri, tagih bantuan bekas majikan... Rindu sangat zuriat sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Kena ‘piat telinga’ sampai jadi biru! Ibu dakwa anak autisme jadi mangsa dera, cikgu beri alasan tak cukup staf

Dia yang masih naif ketika itu berasa bingung dan takut dengan adegan ditonton yang mana wanita dalam video tersebut sedang menjerit-jerit.

“Ada satu hari tu saya tengah tengok cerita kartun lepas tu dia tukar. Dia pasang CD (compact disc) tak silap. Masa tu saya budak lagi jadi memang tak tahu video tu fasal apa tapi makin lama makin pelik.

“Masa kena paksa tengok tu saya menangis sebab tak nak. Dia tetap tarik lepas tu saya tak tahan lagi terus lari menyorok dekat karpet bawah kerusi. Dia tak jumpa saya bersembunyi dekat kawasan tu. Saya menyorok sampai tertidur.

"Bila mama dan ayah balik dari kerja pukul lima atau enam petang barulah saya berani nak keluar. Masa tu dia sempat tarik saya dan bagi amaran. Dia cakap jangan beritahu mama dan ayah. Kalau tak... siap kau!. Jadi saya tak beritahu mereka sebab takut kena ugut macam tu. Saya diamkan perkara tu sampailah umur dah masuk 12 tahun baru cerita dekat parents,” ujar Irah.

Menurut Irah, hanya dia seorang yang didera oleh pembantu rumah sewaktu kecil.

Imbas Irah lagi yang pada ketika itu menetap di Gombak, Kuala Lumpur, walaupun memiliki empat adik beradik, hanya dia sahaja yang didera oleh pembantu rumah.

Dia yang kini menetap di Kelantan berkata, ketika didera, dua kakaknya berada di sekolah dan hanya tinggal dia bersama adik berusia satu tahun tetapi adiknya itu terselamat daripada menjadi mangsa dera.

Namun, setelah sekitar lapan bulan berkhidmat sebagai pembantu rumah, bibik yang disifatkan sebagai zalim itu diberhentikan oleh ibu bapanya namun tidak dapat dipastikan atas alasan apa.

Saya ingat lagi dulu setiap kali bibik buka televisyen mesti saya terus lari menyorok sebab takut dia pasang video tu.

ROSYAHIRAH

“Bila masuk umur enam tahun barulah saya cerita dekat famili sebab dah mula faham dan berani cakap pasal tu tapi bibik dah lama berhenti kerja. Bila beritahu, mereka terkejut dan rasa nak cari balik bibik tu tapi dah tak tahu dekat mana dia sekarang.

“Tipulah kalau kata tak rasa trauma. Saya ingat lagi dulu setiap kali bibik buka televisyen mesti saya terus lari menyorok sebab takut dia pasang video tu. Tapi nasib baik saya dah boleh atasi semua ketakutan tu sekarang,” ujarnya lagi.

Berikutan perkongsian video yang tular di TikTok, warga maya turut bersimpati dengan nasib malang menimpa wanita ini.

Tegas Irah, tujuan cerita ini dikongsikan bukanlah untuk mengaibkan sesiapa tetapi sebagai peringatan buat orang lain yang turut mengalami situasi sama.

Irah berani menceritakan perkara sebenar kepada ibu bapa ketika berusia enam tahun.

“Saya tak alami sebarang kesan daripada didera cuma kejadian tu masih dalam ingatan. Saya tak buat laporan polis sebab bagi saya benda dah lama cuma saya baru nak luahkan.

“Saya ceritakan semua ni pun bukan nak tutup periuk nasi mana-mana pihak terutama sekali pembantu rumah.

“Harapan saya agar orang ramai dan ibu bapa di luar sana lebih peka dan buka mata tentang isu serius ni sebab dah terjadi dekat saya. Carilah orang yang sememangnya kita percaya untuk jaga anak-anak atau selalu pantau pergerakan mereka,” kata Irah lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain