suria

“Saya sambut dia seorang diri dalam tandas” - Hari ni didiagnos kanser tahap 3, esok dapat tahu hamil... wanita akur terpaksa gugur kandungan

Syawani menghidap kanser usus sehingga terpaksa menggugurkan kandungannya yang berusia 14 minggu.

BUKAN sahaja terpaksa menanggung derita penyakit kanser, wanita ini juga terpaksa menggugurkan kandungannya.

Berkongsi kisah dukanya kepada mStar, Syawani Khalid, 39, menceritakan semula bagaimana perjalanan hidupnya selepas didiagnos menghidap penyakit kanser usus tahap tiga pada 5 Julai 2020.

Menurut Syawani, dia pada mulanya kerap sakit perut sehingga terpaksa tidur dalam keadaan membongkokkan badan.

“Dulu saya sakit perut tapi tak selalu datang. Kadang sakit tu sampai badan kena tidur macam udang.

“Sampailah satu tahap saya berak keluar darah... banyak juga. Suami terpaksa bawa ke hospital swasta di Shah Alam.

“Doktor ada beri ubat rehatkan usus. Masa tu doktor sempat pesan supaya kurangkan makan pedas dan berminyak. Lepas tu doktor pesan kalau masih berdarah terus ke hospital,” imbas Syawani.

Namun, setelah dua minggu mengambil ubat, dia masih sakit perut dan berak berdarah malah tubuhnya ketika itu kurang bertenaga untuk melakukan sebarang aktiviti dan kerap pening kepala.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis titip doa di Tanah Suci agar dijodohkan, kekasih derita kanser usus dijemput Ilahi... Baju raya tak gosok jadi kenangan terakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Ayah hidap kanser usus meninggal dunia di bulan Ramadan, tragisnya masuk wad beberapa jam sebelum akad nikah anak - “Masa tu khemah, pelamin dah pasang”

Ibu kepada seorang cahaya mata ini kemudiannya sekali lagi dibawa ke hospital bagi membuat pemeriksaan dan disyaki mengalami gastrik.

Bagaimanapun masalahnya berlarutan sehingga dia pernah mengalami sakit perut teruk sehingga muntah dan tidak mampu menjamah makanan dan minuman.

Syawani kemudian membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh di sebuah hospital di Klang, Selangor dan didiagnos menghidap kanser tahap tiga.

“Selepas doktor ambil sampel untuk buat endoscopy dan colonscopy saya disahkan kanser tahap tiga. Masa tu rasa biasa je tak terkejut lagi... mungkin sebab saya dah lama sangat tahan sakit. Doktor pun beri tarikh untuk saya masuk wad pada 5 Julai 2020.

“Pertama kali saya berjauhan dengan anak, masa tu Allah saja tahu perasaan ni. Doktor beritahu saya akan dibedah dua hari kemudian. Jadi pada 6 Julai doktor buat imbasan X-ray untuk tengok keadaan paru-paru sebelum pembedahan.

Syawani disahkan mengandung 14 minggu.

“Bila keputusan keluar petang tu doktor tanya saya mengandung ke? Saya terus cakap tak. Tapi doktor beritahu dalam keputusan tu nampak kantung. Meremang terus bulu roma. Saya memang dah lambat datang bulan tapi saya fikir ia biasa je sebab sakit," katanya.

Apa yang dimaklumkan doktor sememangnya benar apabila dia membuat ujian kehamilan.

Walaupun mendapat perkhabaran gembira, namun ia hanya bersifat sementara apabila dia terpaksa akur dengan keputusan doktor untuk menggugurkan kandungan yang berusia 14 minggu ketika itu.

“Doktor beritahu saya tak boleh terus bawa kandungan ini. Sangat bahaya sebab saya dah buat CT Scan dan x-ray. Lagi pula saya akan dibius sewaktu pembedahan jadi akan berikan kesan pada bayi.

Doktor berjaya sambungkan usus besar dengan yang kecil di mana saya tidak memerlukan beg stoma untuk membuang.

SYAWANI

“Masa doktor beritahu tu perasaan bercampur baur... gembira nak dapat anak kedua tapi sedih sebab tak dapat jumpa dia. Setelah dipujuk, saya akur dengan nasihat doktor supaya memikirkan kesihatan diri sendiri terlebih dahulu.

“Sewaktu hari pembedahan, semua berjalan dengan lancar yang mana sebahagian besar usus dibuang. Doktor berjaya sambungkan usus besar dengan yang kecil dan saya tak memerlukan beg stoma untuk membuang,” katanya lagi.

Syawani yang kini menetap di Sungai Petani, Kedah, berkata dia dibenarkan pulang setelah 10 hari berada di wad tetapi terpaksa pergi semula ke hospital untuk menggugurkan kandungannya.

Menurut Syawani lagi, ketika imbasan bayi dibuat, anak syurganya ini sudah bersaiz besar dan mempunyai degupan jantung.

Bagaimanapun, atas faktor bayi berisiko membesar tidak sempurna, proses menggugurkan kandungan tetap diteruskan pada 12 Ogos 2020.

Syawani bersama anak sulungnya.

“Pada jam 6.30 petang, anak kedua saya dah 'keluar' selepas makan ubat diberikan doktor. Saya sambut dia seorang diri masa dalam tandas. Saya menangis tengok anak sendiri.

“Saya panggil nurse untuk ambil bayi tapi tali pusat dah terputus sebab saya panik dan tertarik masa bayi tu keluar. Doktor pun pelik saya tak rasa sakit. Doktor ada datang dan pujuk supaya saya lebih tenang.

“Kemudian saya hubungi pula suami untuk beritahu fasal ni. Memang tak boleh dilupakan momen ni. Pada jam 10 malam doktor beritahu bayi dah boleh diambil untuk dikebumikan di kampung saya di Negeri Sembilan.

"Saya namakan anak syurga saya Aali Khifli,” ujarnya menutup kisah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain