IBU mana yang tidak panik apabila melihat anak sendiri hampir dilarikan individu tidak dikenali. Tambahan pula kejadian berlaku di lokasi tumpuan dan sesak dengan orang ramai pada hujung minggu. Menceritakan semula kejadian pada 18 Ogos lalu, usahawan tekstil yang dikenali sebagai Alfitry berkata, insiden tersebut terjadi kepada stafnya bernama Eykin, semasa mereka bersama-sama pergi ke Genting Highlands bagi meraikan hari lahirnya. Katanya, mereka yang berkunjung ke sana terdiri daripada lima orang dewasa termasuk dirinya dan tiga kanak-kanak yang berusia tujuh bulan sehingga lima tahun. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Perjalanan ni tidak dirancang dan kebetulan nak sambut hari lahir saya, maka staf pun ambil peluang untuk bercuti sekali. "Sebelum kejadian, saya pergi beli kasut sebab nak main roller coaster dan masa nak beli tiket untuk permainan, saya terfikir nak belanja staf semua bermain sekali. "Tapi Eykin cakap dia tak mahu naik sebab takut mabuk dan sebagainya, jadi dia duduk kat luar iaitu tempat berhampiran roller coaster bersama tiga anaknya. "Pada masa sama, saya dan tiga lagi staf minta tolong dia jagakan barang termasuk beg," ujarnya ketika dihubungi mStar. Bagaimanapun, semasa sedang beratur untuk menaiki permainan itu, dia ternampak Eykin dikerumuni oleh dua wanita warga asing. Melihatkan situasi itu, dia bersama tiga lagi rakan berasa tidak sedap hati dan ingin pergi mendapatkan Eykin. Kedua-dua mereka dibawa untuk siasatan lanjut. Namun, wanita berusia 29 tahun itu memberi isyarat bahawa dia berada dalam keadaan baik. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 12 tahun gadis dedah nyaris diculik, mungkin senasib Nurin Jazlin... terima kasih Doraemon! ARTIKEL BERKAITAN: “Dia takut kalau dibaringkan” - Bayi mangsa culik masih trauma, ibu cuba rawatan Islam "Memang rasa tak sedap hati tapi dia bagi isyarat okay, sedangkan pada masa tu dah nampak anaknya ditarik dan didukung oleh wanita berselubung kain putih. "Jadi lepas permainan tamat, kami berlari mendapatkan Eykin dan dia kelihatan berpeluh serta ketakutan," jelasnya. Bercerita lanjut, ujarnya, berdasarkan perkongsian Eykin, wanita Pakistan yang berselubung seakan-akan memakai telekung itu turut memakai satu lagi lapisan pakaian berwarna hitam. "Dia mengibas-ngibas baju hitam tu semasa melintasi barang-barang yang kami tinggalkan sambil menarik anak perempuan Eykin yang berusia tiga tahun. "Pelik dengan perbuatan wanita tersebut, Eykin pun tanya kenapa tarik anaknya secara kasar... kemudian seorang lagi wanita warga Indonesia bersamanya maklumkan yang perempuan Pakistan tu suka budak dan lebih 12 tahun tak jumpa anak dan suami. "Jadi Eykin pun tegur supaya dia tak buat lagi macam tu dan tiba-tiba datang seorang lelaki warga Indonesia yang buat-buat bertanya apa berlaku. "Kemudian dua wanita tersebut terus berlalu pergi," ceritanya. Antara reaksi netizen. Tidak berhenti di situ saja, kedua-dua wanita terbabit dilihat masih memerhatikan Eykin dan anak-anaknya. Malah kata Alfitry, semasa dia ke tandas, dia ternampak wanita terbabit berada tidak jauh dari lokasi stafnya berada dan turut memerhatikan tindak tanduknya sehingga mereka bertentang mata. Selepas beberapa ketika, kedua-dua wanita tersebut dilihat ke lokasi permainan khusus untuk kanak-kanak. Kedua mereka akhirnya dibawa ke bilik kawalan untuk disoal siasat, tapi malangnya tiada siapa yang mengaku. ALFITRY "Pelik kenapa mereka nak pergi ke sana, lagi pula perbuatan wanita Indonesia yang asyik merakam dan menangkap gambar tu sangat mencurigakan. "Jadi saya dan yang lain-lain ikut sahaja mereka sehingga polis datang. Polis pun kami terpaksa panggil yang berada di kawasan casino kerana tidak nampak mana-mana pihak berkuasa di taman tema ni. "Kedua-dua mereka akhirnya dibawa ke bilik kawalan untuk disoal siasat, tapi malangnya tiada siapa yang mengaku," luahnya. Menurutnya, lebih menghairankan apabila suami wanita Pakistan itu datang selepas dimaklumkan tentang kejadian. Sedangkan, pada awal kejadian, mereka dimaklumkan bahawa wanita terbabit sudah lama tidak berjumpa dengan suami dan anaknya. "Suami dia mengaku sudah lama berniaga karpet di Malaysia... kira-kira 10 tahun. Isterinya pula tak pandai berbahasa Melayu dan mulut sentiasa terkumat-kamit seolah-olah membaca sesuatu. Lelaki yang mengaku sebagai suami kepada wanita Pakistan itu tampil. "Enggan panjangkan cerita, saya minta dia nasihatkan isteri supaya tidak mengulangi perkara seumpama itu kerana ia dikategorikan sebagai ancaman di Malaysia," katanya. Tambahnya, rakaman video yang dikongsikan itu adalah untuk menyebarkan kesedaran kepada umum supaya sentiasa memantau dan mengawasi anak-anak di tempat umum. Meskipun kejadian culik tidak pernah berlaku di Taman Tema Genting, namun kes melibatkan kehilangan kanak-kanak banyak dilaporkan. Malah warganet yang menyaksikan video yang dimuat naik di TikTok itu turut mendedahkan bahawa kejadian menggunakan kaedah sama pernah berlaku beberapa kali sebelum ini. "Dulu pun ada viral pasal ni, hidup lagi mereka ni... patut polis tangkap. "Masalahnya daripada hari tu dua orang ni, polis sana tak buat pantauan ke? "Saya rasa hari itu ada video pasal pasangan tu tapi masa tu dia minta duit cakap wallet hilang. "Betul, masa saya pergi bulan Mac pun ada perasan... mereka memang pakai telekung tak silap tiga keluarga. Maksudnya suami isteri ada tiga kelompok, saya kena dekat First World Hotel," ujar beberapa netizen. Terdahulu, Eykin ketika dihubungi enggan bercerita lanjut. Dia juga mengakui masih trauma dengan kejadian yang berlaku. "Maaf... saya sebenarnya belum bersedia nak bercerita lebih lanjut sebab perasaan saya dan keadaan saya masih lagi tak okay," luahnya, ringkas. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI