suria

Macam drama TV, cinta berputik selepas accident e-skuter! Baru lepas langgar anak orang, pemuda masih berani ajak minum

Kisah cinta Najwa bermula dari insiden dilanggar oleh pemuda yang menunggang e-skuter.

SIAPA sangka bermula dari insiden 'dilanggar’ oleh seorang pemuda, hati seorang gadis pula ditawan.

"Ingatkan lepas kena langgar dia nak minta maaf je, rupanya dia hantar rombongan meminang sekali," tulis seorang gadis menerusi satu ciapan di laman Twitter.

Menerusi perkongsian yang tular, gadis tersebut memuat naik mesej perbualan mereka pada hari kejadian berlaku bersama sekeping foto menunjukkan acara menyarung cincin.

jodoh dilanggar skuter 8

Najwa berkongsi kisah cintanya bermula di Tasik Cyberjaya.

Bercakap kepada mStar, gadis berkenaan, Najwa Abdul Nasir berkata, kejadian berlaku pada 8 April lalu di Cyberjaya ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa dia sebenarnya dilanggar oleh seorang pemuda yang menunggang e-skuter ketika bersiar-siar di Tasik Cyberjaya.

"Saya bukanlah dilanggar kereta, tapi dengan skuter beam yang that guy bawa. Kami berasingan jalan-jalan di tasik sementara menunggu waktu berbuka puasa.

"Walaupun kena langgar dengan skuter, rasa sakit juga. Tangan rasa kebas, tapi mujur saya tak terjatuh ke tanah," katanya ketika dihubungi.

jodoh dilanggar skuter 6

Perkongsian Najwa di laman Twitter menjadi tular.

Berusia 20an, Najwa mengakui kejadian yang berlaku turut disebabkan kecuaiannya sendiri yang bersenam sambil berjalan di laluan pejalan kaki.

"Salah saya juga kepakkan tangan masa berjalan kononnya nak bersenam, regangkan otot tapi tak tengok kiri, kanan, belakang. Dia pula pertama kali bawa skuter.

"Dia berkali-kali kata nak bawa saya ke klinik, tapi saya kata okay sebab tak ada luka atau kecederaan serius," ujarnya sambil menambah mereka pada masa itu bertukar nombor telefon sekiranya berlaku kesan lebih serius akibat perlanggaran tersebut bagi mendapatkan rawatan di klinik.

jodoh dilanggar skuter 7

Najwa kini bergelar tunangan orang.

Najwa yang berasal dari Gurun, Kedah memberitahu, mereka kemudian bertemu semula keesokan hari di atas permintaan pemuda berusia 29 tahun dari Tanjong Karang, Selangor itu.

"Dia kata serba salah sangat sebab terlanggar saya, jadi dia nak belanja minum. Memang nampak muka panik, maklumlah dia kan dah langgar anak orang. Kami jumpa di kedai mamak.

Ingatkan kisah cinta 'terlanggar' ni dalam drama dan iklan TV je. Tak sangka betul-betul terjadi pada diri sendiri.

NAJWA

"Nak dijadikan cerita, secara kebetulan saya buat bisnes, memerlukan khidmat graphic designer untuk packaging bagi produk saya dan dia pula graphic designer.

"Saya nak bayar (upah), dia kata tak perlu sebab cover balik rasa bersalah dia. Bak kata pepatah 'pucuk dicita ulam mendatang'," katanya yang mengusahakan produk kecantikan sejak 2018.

jodoh dilanggar skuter 5

Najwa (kanan) bersama tunangnya.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, perkenalan atas dasar kerja itu lama-kelamaan bertukar menjadi semakin rapat kerana keserasian antara satu sama lain.

"Selepas Hari Raya, hubungan cinta kami berputik. Ya, kurang sebulan. Kenapa saya pilih dia sebab dia seorang yang fun, easy going, soft-spoken dan matang.

"Dah beberapa bulan, kami ambil keputusan untuk settle down. Sebelum ni kami ada pengalaman bercinta selama bertahun-tahun tapi tak menjadi.

"Alhamdulillah, dia hantar rombongan untuk merisik dan terus bertunang pada 19 Oktober. InsyaAllah, kami akan berkahwin pada Februari tahun depan.

"Ingatkan kisah cinta 'terlanggar' ni dalam drama dan iklan TV je. Tak sangka betul-betul terjadi pada diri sendiri," kata Najwa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain