suria

Ibu sporting sanggup teman anak ke konsert! Balik rumah baru buka cerita, ‘dulu mak pun lebih kurang sama’

Raihana membawa ibunya menghadiri konsert untuk melihat band kegemarannya.

KEBIASAANNYA anak muda akan memilih pergi ke konsert bersama rakan-rakan atau ahli keluarga yang umurnya hampir sebaya untuk berhibur.

Namun, berbeza pula kisah Raihana Nur Athilah, 22, apabila dia membawa ahli keluarga, termasuk ibunya pergi ke konsert Riuh in The City yang diadakan di Kelantan, September lalu.

Jelas Raihana, dia nekad meneruskan ‘agenda’ untuk menghadiri konsert ini disebabkan kumpulan kegemarannya juga dijadualkan melakukan persembahan pada hari tersebut.

“Awalnya tak rancang pun nak pergi konsert percuma tu sebab tak ada kawan nak teman jadi saya ajak keluarga pergi.

“Nama event tu Riuh Sokmo... diadakan dekat dengan rumah saya. Lagipun ada band kesukaan saya, Insomniacks buat persembahan.

“Lagu grup tu semua best jadi memang wajiblah saya pergi. Dah la masuk free pula tu sebab tu saya ajak satu keluarga terus pergi ke sana,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Bercerita lanjut mengenai hari konsert, Raihana berkata, pihak penganjur membuat peraturan untuk memisahkan antara penonton lelaki dan wanita.

Disebabkan itu, Raihana mengajak ibunya masuk dan berdiri di bahagian hadapan pentas untuk melihat persembahan sementara shli keluarga lain menunggu di luar.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sporting’ izinkan anak kahwin muda, ibu teruja timang cucu pada usia 35 tahun... pergi klinik opah disangka kakak!

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun suami tak makan pujuk,tiba-tiba jadi sporting habis! Ibu 2 anak terkejut dapat restu tunggang superbike - “Saya keluar ride, dia jaga anak”

Dia yang merupakan anak kedua daripada lima beradik berkata, ibunya yang disifatkan sebagai seorang yang ‘sporting’ itu turut menyanyikan lagu Pulang yang dibawakan oleh band kegemaran Raihana.

“Dalam video tu nampak macam perempuan saja ada dekat konsert tapi sebenarnya kaum lelaki duduk sebelah satu lagi kawasan disediakan.

“Walaupun bawa satu keluarga pergi tapi saya sempat 'heret' ibu saja masuk ‘vibing’ sekali masa Insomniacks buat persembahan. Saya dan ibu menyanyi lagu Pulang sama-sama walaupun dia tak tahu lagu lain kumpulan tu. Ibu cakap bila tengok depan-depan rupanya semua ahli kumpulan (Insomniacks) handsome.

“Tapi ibu tetap malu masa artis tu tengah nyanyi. Dia cakap segan dekat budak-budak muda dekat situ. Katanya sebab dia dah tua so ibu cuma tercegat dan hanya layan suasana. Bak kata orang di Kelantan ‘nok ko suasano jah’ (nak rasa suasana saja),” ujarnya berseloroh.

Gambar sekitar acara yang dikongsikan oleh Raihana.

Kata Raihana yang berasal dari Kelantan ini, ini merupakan kali pertama dia dan ibu ke konsert sedemikian bersama.

Walaupun begitu, ini bukanlah kali pertama ibunya, Rosnida, 49, menghadirkan diri ke acara hiburan.

Apa-apa pun memang best pergi konsert dengan ibu. Tapi pergi dengan ibu kena jaga batas dan tak berlebihan waktu berhibur.

RAIHANA NUR ATHILAH

“Balik dari konsert tu ibu cerita yang zaman dia muda dulu lebih kurang macam ni juga. Zaman di mana ibu enjoy menonton konsert dan busking dekat Jalan TAR di Kuala Lumpur.

“Ibu ada juga nasihatkan saya yang nak berhibur tu tak salah. Cuma kena jagalah batas dan berpada. Yang penting tetap kena ingat Allah.

“Apa-apa pun memang best pergi konsert dengan ibu. Tapi pergi dengan ibu kena jaga batas dan tak berlebihan waktu berhibur. Kalau dengan kawan-kawan pergi konsert barulah rasa freedom tu sikit. Nak hyper lebih pun boleh,” katanya.

Raihana bersama ibunya.

Susulan perkongsian video di TikTok, rakaman tersebut menjadi tular sehingga meraih lebih 180,000 jumlah tontonan setelah disiarkan.

Rata-rata warga maya turut kagum serta memuji kesanggupan si ibu melayan anaknya apabila melihat video dikongsikan Raihana di media sosial.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain