suria

[V] Pakcik usia 50 tahun tewaskan pencabar muda acara 100 meter, anak 2 kali menang emas pun tetap kalah kalau dengan bapa!

Kiri bapa Syafiq menjuarai acara larian 100 meter, kanan Syafiq (kiri) dan bapa.

USIA sudah separuh abad, tapi masih bertenaga seperti anak muda!

Bersama pesaing yang terdiri daripada peserta-peserta berusia 20an, seorang bapa menunjukkan 'taring' dalam acara larian 100 meter.

Menerusi satu video yang tular, lelaki berkenaan mendahului perlumbaan dengan memecut ke garisan penamat, sehingga mendapat sorakan dan tepukan gemuruh.

Bercakap kepada mStar, anak kepada johan acara itu, Muhammad Syafiq Syahmi Jaraie berkata, bapanya yang berusia 50 tahun menyertai salah satu acara sukan terbuka yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Iboi/Pelanduk di Samarahan, Sarawak, pada Khamis lalu.

Pemuda berusia 25 tahun itu memberitahu, dalam acara 100 meter itu majoriti saingannya berusia 20-an dan difahamkan paling muda berumur 14 tahun.

"Ia merupakan acara saringan sebelum mara ke peringkat akhir. Saya juga masuk acara sama dalam saringan yang berasingan tapi tak dapat top 3.

"Walau bagaimanapun, saya bangga dengan pencapaian abah kerana saya sendiri tak percaya pada usia 50 tahun, abah mampu kalahkan pencabar sebaya dengan saya," katanya ketika dihubungi mStar, sambil menambah acara lain yang turut dipertandingkan seperti lontar peluru dan 4 x 200 meter.

abah lawan pesaing muda 2

Bapa Syafiq (baju oren) mendahului ke garisan penamat.

Syafiq mendedahkan bapanya, Jaraie Kamri sebenarnya aktif dalam sukan dan olahraga sejak usia muda di mana antara acara larian yang disertai adalah 100 meter dan 200 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek 12 cucu, 3 cicit bangkit! Nak lari 71 km selepas tiga tahun berturut-turut lalui episod hitam - "Mula-mula mak tertinggal belakang..."

ARTIKEL BERKAITAN: 4 tahun selepas 'buang' tangan palsu, si kudung CK garang di trek maraton, spartan

Malah katanya, bapanya juga gemar berjoging di waktu lapang di Tasik DesaIlmu di Kota Samarahan, kira-kira 25 kilometer dari Kuching.

"Bukan sekadar isi masa lapang, tapi abah juga melatih saya apabila saya terpilih untuk mewakili sekolah dalam acara larian. Abah adalah coach saya di luar sekolah.

"Saya sendiri pernah mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud di Asajaya bagi acara 4x400 meter dan peroleh emas selama dua tahun berturut-turut," ujarnya yang berasal dari Kota Samarahan.

abah lawan pesaing muda 3

Bapa Syafiq (dua, kiri) sewaktu zaman muda menyertai olahraga.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia dan bapanya yang merupakan anggota polis pernah menyertai acara larian yang sama.

"Pada 2019, kami masuk kategori terbuka bagi larian jogathon 5 kilometer di Kota Samarahan. Saya masih ingat abah dapat nombor tiga... apabila saya sampai ke garisan penamat, abah dah siap habis makan.

Saya bangga dengan pencapaian abah kerana pada usia 50 tahun, abah mampu kalahkan pencabar sebaya dengan saya.

SYAFIQ

"Tahun berikutnya pada 2020, kami masuk acara larian 100 meter di Kota Samarahan. Abah dapat nombor satu dan saya menduduki tangga kedua.

"Yang baru-baru ini mujur tak bersaing dengan abah dalam saringan sama. Kalau bersaing juga, saya antara pesaing-pesaing 20an yang kalah dengan abah," ujarnya secara berseloroh.

abah lawan pesaing muda 4

Kenangan... bapa Syafiq (kanan) bersama teman-teman seperjuangan.

Syafiq berkata, bapanya yang berpangkat koperal itu merupakan seorang yang tegas dan amat mementingkan disiplin terutama pengurusan masa.

"Selain minat dalam olahraga, abah juga bermain bola dan sering pulang ke kampung di Kampung Semera, Asajaya untuk bercucuk tanam jagung dan tembikai," katanya.

Walaupun johan di peringkat saringan, Syafiq yang bekerja di sebuah kilang di Kuching menjelaskan bahawa bapanya tidak dapat menyertai pusingan akhir.

"Abah tak dapat sertai final sebab cedera di bahagian betis. Mungkin jarang berlari dengan berkaki ayam di atas padang rumput. Tapi saya tetap bangga dengan abah kerana berjaya menewaskan saingan muda," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain