BENARLAH, jodoh itu rahsia Tuhan. Tiada siapa di antara kita yang dapat menjangka siapakah gerangan yang bakal menjadi pasangan sehidup semati. Sebagaimana kisah wanita ini, dia sendiri tidak menyangka bertemu jodoh ketika menjalani latihan industri dengan bos sendiri! View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "You intern berani 'sapu' manager ya... know know (tahu-tahu) husband sudah," demikian kapsyen yang ditulis pada perkongsian videonya. Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, wanita tersebut berkongsi detik perkenalannya dengan seorang jejaka berbangsa Cina, sebelum kedua-duanya bergelar suami isteri. Menurut Jasmin Nur Hidayah Amir, dia mula mengenali suami, Muhammad Yap Firdaus, 38, atau senang disapa Darren ketika menjalani latihan industri di sebuah hotel di ibu negara pada Julai 2020. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Selalu cakap ‘tak nak orang jauh’, akhirnya jiran jadi jodoh! Bukan saja rumah dekat, nama dan tarikh lahir pun hampir sama ARTIKEL BERKAITAN: Masa kecil mimpi direnung jejaka bermata cantik, usia 20 tahun gadis terkejut empunya diri muncul sebagai jodoh... datang jauh dari Afghanistan! "Saya merupakan pelajar jurusan pengurusan hotel dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan menjalani internship di sebuah hotel lain pada mulanya. "Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu, ada beberapa kekangan dan saya terpaksa tukar internship program di hotel lain. Saya ditempatkan di empat jabatan, dan ketika ditempatkan di bahagian front desk barulah bertemu suami. Jasmin ketika pertama kali bertemu ibu mentuanya. "Ketika itu dia adalah manager, kiranya bos jabatan saya. Perkenalan kami bermula sebagai pekerja dan bos sebelum bertukar kepada kawan," cerita wanita berusia 22 tahun ini ketika dihubungi mStar. Senang disapa sebagai Jasmin, wanita ini berkata hubungan persahabatan mereka menjadi rapat empat bulan kemudian, sebelum lelaki berkenaan menyuarakan hasrat untuk menjadikannya sebagai isteri. "Dia seorang yang pemalu, saya pula jenis talkative. Saya tak letak apa-apa harapan atau berharap untuk ke fasa seterusnya kerana faktor berbeza agama dan jarak usia yang jauh antara kami. Pertemuan antara keluarga Jasmin dengan Darren sewaktu Ramadan lalu. "Niat saya memang ikhlas mahu berkawan saja mulanya. Apabila dah selesa berkawan, terkeluar topik kahwin dan dia ajak kahwin. Ketika itu sekitar Disember 2020. Percaya tak percaya juga apabila dia ajak kahwin. "Saya tanya dia bersedia untuk peluk Islam ke, dan dia beritahu bersungguh-sungguh nak peluk Islam. Dia juga meyakinkan saya bahawa family dia sangat terbuka," cerita anak bongsu daripada enam adik beradik ini. Bagaimanapun menurut Jasmin, mereka tidak tergesa-gesa dan mengambil masa hampir setahun untuk mengenali hati budi sebelum memaklumkan hasrat untuk berumah tangga kepada keluarga masing-masing. Kami usaha selitkan masa untuknya belajar agama... buat masa ini suami belajar secara online. JASMIN NUR HIDAYAH AMIR "Setahun kami kawan... bukan tak mahu beritahu kawan-kawan sekerja atau keluarga, tapi sebab belum official. Apabila dah benar-benar yakin untuk membawa hubungan ini lebih serius, kami beritahu keluarga masing-masing. "Saya takut juga... takut dua-dua keluarga tak restu. Saya orang pertama dalam keluarga yang kahwin dengan bangsa lain dan suami pula orang pertama dalam keluarganya yang peluk Islam. "Tapi Alhamdulillah, kedua-dua buah keluarga menerimanya dengan hati terbuka. Selepas bertemu keluarga masing-masing, kami mengikat tali pertunangan pada Februari lalu, sebulan selepas suami peluk Islam. Pasangan ini diijabkabulkan pada Oktober lalu. "Oktober lalu, kami selamat diijabkabulkan," ujar Jasmin. Masih bergelar pengantin baru, Jasmin berkata dia dan suami sedang dalam fasa menyesuaikan diri apatah lagi banyak perkara yang perlu dipelajari terutama daripada aspek agama. "Suami saya banyak bertanya bab agama. Disebabkan kedua-duanya bekerja, kami usaha selitkan masa untuknya belajar agama. Buat masa ini suami belajar agama secara online. "InsyaAllah, kami rancang nak cari seorang ustaz atau guru agama nanti. "Bab makanan, Alhamdulillah suami bukan seorang yang cerewet sebab memang terbiasa dengan masakan Melayu," ujarnya lagi. Jasmin tidak menyangka lelaki yang dahulu merupakan bosnya, kini bertukar menjadi suami. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Jasmin meluahkan rasa terharu dengan komen positif serta doa yang dititipkan netizen. "Ada juga yang share pengalaman kahwin campur. Malah ada juga yang kongsi tip. Tapi ada satu komen menarik perhatian saya daripada seorang jejaka Cina. "Katanya, dia menyesal sebab tak try gadis Melayu yang disukainya dulu sebab fikirkan halangan agama. "Sebenarnya bagi saya, jika niat seseorang ikhlas dan bersedia mahu memeluk Islam, itu tandanya dia bersungguh-sungguh. Namun apa yang paling penting adalah restu keluarga," akhirinya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI