suria

Macam tok nujum! Peminat Argentina buat ‘wish’ nak tonton Piala Dunia dengan isteri... 4 tahun kemudian jadi kenyataan, siap ada baby

Ariff memuat naik foto sedang mendukung bayi ketika menonton Piala Dunia 2022 di rumahnya.

IMPIAN jadi realiti.

Begitulah kisahnya mengenai seorang pemuda apabila satu kenyataan yang ditulis menerusi Twitter pada tahun 2018 benar-benar menjadi kenyataan.

Menerusi tweet empat tahun lalu, Wan Muhammad Ariff Farhan Wan Azmi yang masih bujang pada waktu itu menyuarakan hasrat untuk menonton Piala Dunia Qatar 2022 bersama bakal isterinya.

"Qatar 2022 aku dah umur 30, harap time tu boleh tengok bola di rumah bersama isteri tersayang," tulisnya pada 17 Julai 2018.

ariff3

Ariff bersama isteri dan anaknya.

Dalam perkongsian terbaharu di Twitter, dia memuat naik foto sedang mendukung cahaya mata sulungnya sambil menyaksikan perlawanan bola sempena Piala Dunia yang baru sahaja bermula 20 November lalu.

Bercakap kepada mStar, dia yang senang disapa Ariff mengakui sekadar suka-suka membuat perkongsian mengikut trend 'from this to this' dan sama sekali tidak menyangka ia meraih perhatian netizen.

"Saya tulis tweet tahun 2018 ketika masih bujang. Masa tu dah kenal isteri, tapi kami belum ada perancangan untuk kahwin. Saya pun masih study pada waktu itu.

"Saya sekadar tweet random selepas tonton perlawanan bola di kedai makan. Masa tu memang dah tahu yang Piala Dunia 2022 akan diadakan di Qatar.

Saya dapat rasai perbezaan kali ini... dulu masa bujang, selalu lepak tengok bola dengan kawan-kawan.

WAN MUHAMMAD ARIFF FARHAN WAN AZMI

"Tweet tahun 2018 tu memang saya pinned di Twitter. Kebetulan tahun 2022 ni bukan setakat dah kahwin, saya juga dah ada anak. Asalnya nak tonton bola dengan isteri je, tapi rezeki lebih dengan anak sekali.

"Sebab tu saya kongsi gambar baharu di Twitter menggunakan trend 'from this to this' dan tak sangka ramai terhibur tengok perubahan hidup saya," ujarnya.

Menurut Ariff, dia dan isteri, Nadhira Asyikin Mohadhir, 29, mendirikan rumah tangga pada 2020 sebelum dikurniakan cahaya mata pertama, Wan Adelia Nadine yang lahir pada 22 Februari lalu.

Bercerita lanjut, pengurus acara yang menetap di Damansara, Selangor itu mengakui dia terhibur membaca segala komen netizen yang terhibur dengan kisah hidupnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dah berhenti sekolah, sambung balik sebab dia” - Sama cantik, sama padan... pengantin Thailand buat netizen Malaysia tak keruan

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin berjurai air mata di pelamin, hiba tengok bapa menangis tak sanggup ‘lepas’ anak bongsu - “Saya kira, memang sembilan kali ulang lafaz”

Selain itu, dia juga menerima komen yang memuji rupa parasnya yang dikatakan awet muda dan langsung tidak kelihatan seperti individu yang berusia 30 tahun.

"Awalnya hanya rakan-rakan yang retweet dan reply. Kemudian saya tengok semakin ramai. Yang reply pun semua kelakar. Ada juga yang kata mereka sedih sebab masih single lagi.

"Pada masa sama, ada yang tanya, betul ke saya umur 30? Saya dah selalu terima soalan macam tu. Kadang-kadang bila jumpa orang yang baru kenal, saya suruh mereka teka umur saya. Ada yang kata muka saya macam baru habis sekolah," ujarnya berseloroh.

Menurut Ariff yang turut aktif bermain bola, demam Piala Dunia kali ini nyata berbeza berbanding zaman bujangnya, namun dia gembira dengan fasa baharu dalam hidupnya.

ariff2

Ariff menyokong pasukan Argentina dalam kejohanan Piala Dunia tahun ini.

"Saya memang kali bola dan menunggu Piala Dunia Qatar 2022. Tapi saya dapat rasai perbezaan kali ini. Kalau dulu masa bujang, selalu lepak tengok bola dengan kawan-kawan.

"Tapi sekarang memang tak sempat. Anak pun masih kecil, umur baru nak masuk sembilan bulan. Jadi saya enjoy di rumah saja. Aura lain kali ini.

"Tapi InsyaAllah untuk final nanti, saya rancang untuk keluar menonton dekat restoran mamak dengan kawan-kawan," ujarnya lagi.

Tambah Ariff, dia menyokong pasukan Argentina dalam edisi kejohanan kali ini dan mahu melihat Lionel Messi merangkul kejuaraan Piala Dunia 2022.

Untuk rekod, tweet yang dikongsi Ariff sehingga kini meraih lebih 2,000 retweet.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain