suria

[V] Tak boleh jejak stesen minyak, takut disambar api! Adik cepat ‘triggered’, insiden terbakar seluruh badan masih berbekas

Shida tetap berusaha agar adiknya segera pulih seperti biasa.

TERCUBIT paha kiri, paha kanan pun berasa sakit.

Begitu juga ketika seseorang ahli keluarga dilanda derita, pasti yang lain akan turut merasai tempiasnya.

Begitulah apa yang membuatkan hati seorang kakak ini gundah-gulana setelah adiknya melecur hampir keseluruhan badan akibat kemalangan di tempat kerja.

Derita si adik dikongskikan di TikTok, Nurul Shahida Baharudin, 30, hingga mengundang rasa simpati dalam kalangan netizen.

"Kejadian terjadi dekat tempat kerja dia. Saya diberitahu waktu kejadian tu, badan dia dijilat api daripada kaki sampai kepala.

"Nasib baik rakan sekerja dia cepat bertindak. Mereka tolong padamkan api dan bawa dia ke hospital," ujar Shahida menceritakan semula kejadian itu kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu! Suami meraung lihat isteri terbakar dalam kereta, bomba kata mangsa tersepit sampai rentung... “Allahuakbar... bini saya bang!”

ARTIKEL BERKAITAN: Janggut lelaki terbakar, aksi pertunjukan api tak menjadi

Tambah Shahida, kecederaan dialami si adik yang dikenali sebagai Alias memerlukan rawatan intensif berikutan melecur tahap tiga.

"Alias melecur 35 peratus di badan dia. Melecur tahap tiga. Dia melecur dekat kedua-dua belah tangan, dekat punggung sampai bahagian bawah kaki, di muka dan leher.

"Sekarang Alias dah selesai proses pembedahan sebab melecur dia dalam. Doktor dah buang sel kulit yang dah mati tu.

Luka melecur di bahagian kaki Alias.

"Mereka ambil kulit di paha dan lengan untuk tampal di kawasan yang melecur dan gantikan balik kulit yang terjejas," katanya.

Ketika ditanya bagaimana kemalangan itu boleh berlaku, Shahida bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi lanjut mengenainya.

Shahida seterusnya berkongsikan derita yang dialami Alias dan dia hanya mampu melihat.

"Waktu dekat hospital dia sering mengadu sakit. Selalu juga dia minta saya beritahu jururawat supaya tambah ubat tahan sakit.

"Dia beritahu tak tahan sangat tanggung sakit. Kejadian tu juga tinggalkan trauma dan parut pada emosi dia.

Dia tak boleh kena panas nanti badan dia akan jadi merah macam udang dibakar.

SHAHIDA BAHARUDIN

"Dia cakap dia tak boleh tidur dan selalu mimpi bukan-bukan tentang kejadian tu," luah Shahida yang merupakan anak sulung dalam keluarga.

Bercakap mengenai trauma, Shahida memberitahu adiknya kini takut untuk mendekati stesen minyak.

"Kalau kita nak isi petrol dekat stesen minyak, dia akan rasa takut. Dia seperti risau kejadian kebakaran itu boleh berulang.

"Malah apa-apa bahan yang mudah terbakar akan trigger trauma dia.

Alias sehingga ke hari ini masih memerlukan rawatan susulan.

"Saya syukur dia makin pulih, tapi nampak semangat dia masih belum pulih sepenuhnya," terang Shahida.

Menurut Shida lagi, kejadian yang berlaku pada awal Oktober lalu merupakan ujian yang berat kepadanya namun dia bertekad akan sentiasa setia di sisi adiknya.

Sehingga ke hari ini, Alias masih dalam fasa pemulihan dan perlu menerima rawatan susulan di hospital.

"Sekarang ni dia kena cuci luka dan buat fisioterapi di hospital. Empat hari atau tiga hari sekali saya akan bawa pergi ke hospital.

Luka melecur di bahagian lengan Alias.

"Fisitoterapi adalah untuk membolehkan kulit baharu yang ditampal untuk biasa dengan pergerakan. Kalau tak ada pergerakan dia akan jadi tegang dan tertarik," katanya.

Ketika ditanyakan bagaimana Shahida memberikan sokongan moral kepada Alias, dia memberitahu akan sentiasa berbual bersama adiknya itu agar dia tidak berasa keseorangan.

"Nak bawa Alias keluar jalan-jalan tak boleh lagi sebab dia tak boleh kena matahari.

"Dia tak boleh kena panas nanti badan dia akan jadi merah macam udang dibakar. Kami akan pastikan dia sentiasa sejuk.

Alias melalui sakit yang tidak terperi ketika di hospital.

"Ada kipas besar dalam rumah yang khas untuk dia. Saya akan mandikan dia. Saya sapukan badan dia dengan minyak zaitun supaya kulit dia tak kering dan gatal.

"Saya pun akan sentiasa berbual dengan dia untuk bagi dia semangat. Dia makin bertambah baik berbanding dulu," kata Shahida.

Shahida menyimpan harapan besar agar Alias dapat sembuh sepenuhnya kerana menurutnya Alias jarang sakit sebelum ini.

"Apabila tengok dia sakit sekarang saya rasa sedih. Saya harap dia dapat sihat balik dan kerja macam biasa semula," katanya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain