suria

[V] Pernah kerja di Australia, pemuda buka bisnes selepas keluarga ‘puji melambung’ kue teow goreng dimasak... takut tengok gerai viral

Ezzu tak menang tangan layan pelanggan selepas gerainya tular di TikTok.

TAK menang tangan diserbu pelanggan!

Begitulah situasi yang dilalui Ezzu Chang, 31, apabila dia mengusahakan gerai Oppa Zuzu Kitchen di Nilai, Negeri Sembilan sejak Julai lalu.

Menurut Ezzu, rezeki tak disangka-sangka itu membuatkan dia susah hati kerana ketiadaan staf untuk menguruskan gerai yang semakin sibuk, sekali gus bakal menghampakan pelanggan yang datang.

"Saya baru lima bulan berniaga dengan isteri. Yang masak hanya saya seorang, isteri pula uruskan pelanggan. Susah nak cari pekerja. Tapi kami masih lagi mencari sehingga ke hari ini.

"Semasa video pertama viral, saya rasa tak percaya tengok banyak komen. Tapi esoknya betul-betul orang serbu gerai. Bila jadi macam tu, ada pula pelanggan yang terasa, datang jauh-jauh tapi tak dapat rasa.

"Masa menunggu makanan juga lama sebab kami tak cukup tangan. Sampai satu tahap, nak kongsi video pun saya takut. Risau bila viral lagi, kami tak sempat nak layan semua pelanggan," ujarnya.

Selepas balik Malaysia, memang setahun saya tak kerja. Makin lama duit makin kurang.

EZZU CHANG

Namun kata Ezzu, dia dan isteri sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat terbaik buat pelanggan yang datang untuk merasai menu-menu istimewa di gerainya.

Gerai berkonsepkan Cina Muslim itu popular dengan hidangan seperti Singaporean chili crab, kuey teow goreng Cina, nasi ayam buttermilk, nasi ayam salted egg dan macam-macam lagi.

Selain video masakannya yang tular di TikTok, ramai netizen turut tertanya-tanya mengenai identiti sebenar Ezzu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai diserbu selepas pekerjanya dikesan iras aktor Thai... tuan badan terus Google, tonton drama lakonannya - “Dia lagi kacak, saya biasa saja”

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai musnah dibadai ribut, jualan habis berterabur... reda diuji di hari pertama Ramadan, tindakan 2 rakan niaga selepas itu nyata berbaloi

Menurut pemuda yang menetap di Cyberjaya itu, ibunya merupakan wanita Cina manakala bapanya pula berbangsa Melayu.

"Mak saya orang Cina. Dulu arwah tok saya tak mampu jaga, jadi mak diserahkan kepada opah, seorang wanita Melayu yang ambil mak menjadi anak angkatnya. Jadi mak saya dah masuk Islam sejak kecil.

"Kemudiannya dia berkahwin dengan orang Melayu. Kalau nak kata saya mualaf, rasanya tak... saya memang Islam dari kecil," ujar Ezzu yang baru mendirikan rumah tangga pada Ogos tahun lalu.

ezzu3

Ezzu memulakan perniagaan pada tahun lepas.

Mengenai dirinya, Ezzu merupakan graduan National Training College of Australia (NTCA) yang baru sahaja kembali ke tanah air pada tahun lepas.

Ketika menuntut di Australia, Ezzu juga sempat bekerja di beberapa buah restoran dan segala pengalaman itu dimanfaatkan sebaiknya sejurus dia membuka gerai di Malaysia.

"Awalnya dulu saya belajar kulinari. Kemudian saya ambil diploma dalam bidang hospitaliti, bisnes, kepimpinan dan pengurusan. Semuanya berkaitan makanan dan minuman (F&B).

wzzu5

Ezzu pernah bekerja sambil belajar ketika dia menetap di Australia.

"Saya turut bekerja ketika sambung belajar di Melbourne. Bermula sebagai pelayan di restoran Cina, kemudian naik jadi pembantu pengurus. Dalam lima tahun lebih, saya juga ada bekerja di kedai lain. Akhirnya saya jadi pengurus di sebuah restoran Korea.

"Selepas balik Malaysia, memang setahun saya tak kerja. Makin lama duit makin kurang. Sebelum ni saya hanya trading kripto. Pada suatu hari, keluarga minta saya masak kuey teow. Mereka kata tak pernah makan kuey teow sesedap ini.

"Jadi selepas tu saya terus berniaga gerai. Saya bermula balik dari bawah. Alhamdulillah dengan sambutan hari ni, ramai yang datang walaupun kami level tepi jalan je," ujar anak jati Ipoh, Perak itu.

ezzu2

Antara menu yang ditawarkan di gerainya.

Akhir bicara, Ezzu turut menitipkan ucapan terima kasih buat pelanggannya yang banyak memberikan sokongan sejak dia memulakan perniagaan.

"Saya sangat berterima kasih kepada kakak, abang, makcik yang datang jauh dari Terengganu, Kedah, Pahang, Shah Alam dan sebagainya. Terima kasih atas sokongan anda. Walaupun warung, anda tetap sokong saya.

"Saya minta maaf kalau servis perlahan, ada yang saya tak sempat nak tegur sebab saya sibuk memasak sendirian. Kadang-kadang teringin juga nak keluar bersembang dengan mereka," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain