suria

[V] “Macam ni la mak hari-hari” - Isteri sukar tinggal katil tempat suami terlantar 7 tahun, sering termenung tengok kubur arwah depan rumah

Dawiah suka termenung di tepi tingkap menghadap kubur suaminya.

PERASAAN yang terbuku dalam hati, tiada siapa mampu mengerti.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kisah pilu seorang wanita apabila dia masih terkesan dengan kematian suaminya pada 9 November lalu.

Menurut Zalida Ainie, 29, ibunya iaitu Dawiah Sapiai, 54, setiap hari akan duduk di atas katil arwah bapanya sambil termenung ke arah tanah perkuburan yang terletak di hadapan rumah mereka.

"Sejak arwah ayah tak ada, macam ni la mak hari-hari. Duduk atas katil arwah sambil pandang kubur ayah depan rumah," tulisnya pada kapsyen video tular di aplikasi TikTok.

Ketika dihubungi mStar, anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata bapanya meninggal dunia selepas tujuh tahun terlantar gara-gara diserang kanser.

"Arwah ayah sakit kanser hati dengan ketumbuhan dekat kepala. Sakit sejak tahun 2016. Dia memang terlantar di rumah, badannya tak boleh bergerak dari paras dada ke bawah.

Datang sekarang rasa lain sikit, rasa macam dia ada atas katil tu lagi.

ZALIDA AINIE

"Selepas ayah meninggal, mak suka duduk atas katil arwah ayah kat tepi tingkap. Rumah kami betul-betul depan kubur. Tingkap itu pula menghadap ke kubur.

"Kalau buka pintu rumah kami pun, terang-terang nampak kubur. Itu yang menjadikan video nampak lagi sedih," ujar Zalida yang menetap di Batu Rakit, Terengganu.

Bercerita lanjut, Zalida berkata mereka kini sedang menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku selepas kematian bapanya, Allahyarham Zaid Embun pada bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Resipi nasi briyani arwah ayah jadi taruhan, anak bongsu ini bangkit selepas 2 bulan bapa meninggal... Jemaah surau kata lulus!

ARTIKEL BERKAITAN: Besar ujian buat pengantin! Bapa meninggal 5 jam sebelum majlis nikah, selesai ijab kabul terus buat tahlil

Biarpun tinggal berasingan, Zalida akan melawat ibunya setiap hari dan turut bergilir-gilir tidur di kediaman itu bersama adik-beradik yang lain.

"Ada dua adik yang duduk dengan mak. Walaupun saya tak tinggal bersama, rumah sewa saya tak jauh dengan rumah mak. Setiap hari saya datang dan akan bergilir-gilir tidur di sana dengan adik-beradik yang lain.

"Selama tujuh tahun sakit, memang mak yang uruskan ayah, suap ayah makan. Lepas dua ke tiga tahun sakit, ayah dah boleh makan sendiri, tapi tetap kena bangunkan dia dulu.

kbur3

Ramai yang sebak melihat Dawiah yang termenung ke arah kubur suaminya.

"Sebab tu selalu teringat sebab dah terbiasa. Sebelum ni kalau saya datang ayah ada je walaupun tak boleh bergerak. Biasa dia ada duduk di depan TV.

"Datang sekarang rasa lain sikit, rasa macam ayah ada atas katil tu lagi," ujar Zalida lagi.

Dalam pada itu, Zalida berkata dia terkejut apabila video yang dikongsi ke aplikasi TikTok meraih sehingga lebih 300,000 tontonan.

Tambahnya lagi, dia terharu dengan komen netizen yang banyak menitipkan doa serta ucapan takziah buat keluarganya.

kubur3

Antara komen netizen di TikTok.

"Saya saja share video tu sebab mak suka duduk tepi tingkap kat atas katil ayah. Selama tujuh tahun ayah terlantar di katil tu.

"Ramai yang komen, mereka ingat mak sedih sangat. Mak memang sedih tapi dia tak adalah sampai tahap meratapi.

"Mak sebenarnya okay je. Dia memang suka duduk atas katil arwah ayah. Selepas sembahyang, dia akan duduk baca Yasin kat situ.

"Iyalah, selama ni dia yang uruskan arwah ayah, sekarang dia mungkin bosan tak ada apa-apa nak diuruskan lagi," jelas Zalida mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan