suria

Si bongsu tak sempat kenal abah, ibu minta edit foto arwah suami dukung anak... Ramai tolong cipta kenangan buat lepas rindu

Antara gambar yang telah disunting oleh warganet dari Facebook 'Edit Apa Hari Ini'.

KEHILANGAN insan tersayang pada usia muda pastinya memberi tamparan hebat kepada sesiapa sahaja.

Lebih menyedihkan apabila mereka sekadar dapat melihat gambar dan mendengar kisah momen indah yang dilalui orang sekeliling.

Begitulah yang dialami anak bongsu kepada Allahyarham Muhammad Hasnol Firdaus Md Amran yang maut kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Malah kanak-kanak berusia 3 tahun yang mesra disapa Tashfeen itu seolah-olah memahami dia kehilangan bapa kerana sering berasa sayu dan sebak setiap kali mendengar kisah yang diceritakan kepadanya.

Tambahan pula, tiada kenangan bersama yang dapat dirakam kerana usianya baru sahaja lima hari semasa arwah bapanya meninggal dunia.

Hantaran di laman Facebook 'Edit Apa Hari Ini' yang dibuat oleh Sheeda.

Hantaran di laman Facebook 'Edit Apa Hari Ini' yang dibuat oleh Sheeda.

Menyingkap kesedihan yang dialami, Noor Shahida Daud berkata, anak bongsunya itu acap kali menyebut tentang ‘abah’ selain menangis kerana terkenangkan insan yang tiada.

“Sejak kebelakangan ni, si bongsu sering bercakap tentang abah dia. Tapi akak selalu bagi dia tengok gambar dan cerita tentang arwah.

“Dia juga asyik menangis sejak akhir-akhir ni,” ceritanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kali ini memang tinggi” - Banjir dah paras dada, pemuda tenang makan nasi walau ‘ribut di jiwa’ fikir barang rumah

ARTIKEL BERKAITAN: “Please leave my daughter alone”- Dr Amalina kesal isu khitan terima komen lucah selepas disensasikan, anak perempuan jadi mangsa netizen otak kuning

Ekoran daripada itu, dia yang mesra disapa Sheeda membuat permintaan suntingan gambar di kumpulan Facebook ‘Edit Apa Hari Ini’ pada 19 Disember lalu.

Menerusi laman tersebut, Sheeda meminta supaya gambar anaknya yang berusia 3 tahun itu didukung oleh arwah suami.

Sheeda bersama keempat-empat anaknya.

Sheeda bersama keempat-empat anaknya.

Mendapat pelbagai reaksi positif termasuk gambar-gambar menarik yang disunting, dia yang juga seorang guru meluahkan rasa syukur dengan kebaikan mereka yang terlibat.

Malah sejak gambar tersebut diperoleh, Tashfeen kelihatan sangat gembira kerana dia juga mempunyai gambar 'kenangan' bersama arwah bapanya.

Waktu tu akak berpantang di Kuantan, Pahang. Arwah koma selama empat hari di Hospital Ampang.

SHEEDA

“Memang akan ambil gambar tu untuk simpan dan letak dalam bingkai. Tapi ramai yang sponsor juga untuk cuci dan akak tempah frame sahaja.

“Si bongsu memang rasa seronok kerana terasa ‘dekat’ dengan abahnya... akak sebolehnya tak mahu anak-anak padam ingatan tentang abah mereka,” tambah ibu kepada empat cahaya mata itu lagi.

Mesej dan gambar terakhir yang dihantar arwah.

Mesej dan gambar terakhir yang dihantar arwah.

Pun begitu, anak bongsunya itu kadang kala akan berasa sedih secara tiba-tiba mungkin kerana rindu, malah pernah menyuarakan keinginan untuk bermain bersama bapanya.

Mengimbau kembali tragedi yang mengubah kehidupannya sekeluarga, wanita berusia 34 tahun itu berkata, kemalangan yang berlaku pada 22 April 2021 meragut nyawa suaminya yang berkhidmat sebagai anggota trafik.

Allahyarham bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor.

“Arwah kerja syif 24 jam waktu tu, dia balik rumah sekejap untuk mandi dan solat. Dalam perjalanan balik rumah, kira-kira pukul 6 pagi dia kemalangan.

“Waktu tu akak berpantang di Kuantan, Pahang. Arwah koma selama empat hari di Hospital Ampang... dia meninggal pada 25 April, Khamis malam Jumaat kerana doktor tak dapat selamatkan.

"Otaknya mengalami bengkak atau Traumatic Brain Injury due to vehicle accident,” ujarnya sebak sambil mengenangkan dia dan arwah sepatutnya menyambut ulang tahun perkahwinannya yang kesembilan pada 21 Disember.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain