suria

[V] Anak ziarah pusara ibu pakai jubah konvo, imbas memori di beranda hospital... “Mulut kata reda, tapi tak mudah hidup tanpa dia”

Faradi menziarahi kubur ibunya sambil memakai jubah konvokesyen.

RAKAMAN tular memaparkan seorang pemuda yang menziarahi pusara ibunya sambil memakai jubah konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ternyata mengundang sebak netizen.

Menurut Dr Mohd Faradi Mohamed Ghazali, 36, dia sebak mengenangkan ibunya, Allahyarham Rohani Mohammad yang tidak sempat untuk meraikan hari bahagia itu bersamanya.

"Ibu berhasrat untuk pergi konvokesyen saya, tapi apakan daya dia dijemput Ilahi dua bulan sebelum majlis itu. Jadi, saya pergi ke kuburnya untuk tunjuk kejayaan. Sebab doa dia saya berjaya pada tahap sekarang.

"Ketika saya konvokesyen degree dan master dulu, ibu merupakan tetamu kehormat saya. Tetapi ketika konvokesyen 22 Oktober lalu, tiada kelibatnya di dalam dewan. Ketika masuk dewan pun air mata saya dah bercucuran. Mujur boleh sorok sebab saya pakai pelitup muka.

"Rasa janggal apabila orang yang sentiasa ada dalam perjuangan saya tiba-tiba tiada pada hari saya nak hadiahkan kecemerlangan kepadanya. Saya rancang tak mahu hadiri konvokesyen, tapi saya teruskan juga sebab fikir mengenai ayah dan adik-beradik," ujarnya.

Senang disapa Faradi, pensyarah sebuah universiti awam di Terengganu itu berkata ibunya merupakan inspirasi terbesar dalam perjuangan meskipun Allahyarham bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi.

Bukanlah nak meratap, tapi saya tenang apabila pergi ke kubur walaupun tak boleh berbicara dengan arwah.

DR. MOHD FARADI MOHAMED GHAZALI

"Arwah belajar sampai tingkatan tiga saja. Tapi dia sentiasa doakan kejayaan saya dunia akhirat. Ketika saya tamat peperiksaan lisan (Viva) pada tahun lepas, saya terus hubunginya. Saya cuma cakap saya lulus peperiksaan sebab dia tak faham apa itu Viva.

"Walaupun tak faham, ibu tetap jadi inspirasi. Doa ibu membuatkan saya kuat untuk menamatkan pengajian hingga ke peringkat ini," ujarnya yang sudah tujuh tahun bergelar pensyarah bidang Bahasa Melayu dan Kesusasteraan.

Imbas Faradi yang berasal dari Kuala Terengganu, ibunya jatuh sakit pada Disember tahun lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 2 Ogos 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Badan melekat di dinding, anak bongsu tak lupa kisah bapa disihir... Video doa tepi pusara menjelang konvokesyen undang air mata

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa

Sepanjang lapan bulan ibunya sakit, Faradi turut menjadikan beranda hospital sebagai tempat untuk dia bekerja, sekali gus meninggalkan memori yang mendalam buatnya.

"Arwah pada asalnya ada diebetes, kemudian berdepan masalah darah tinggi dan juga kolestrol. Cuma pada 26 Disember tahun lepas, semasa saya nak pergi ambil ubat, saya perasan ada perubahan pada mulutnya, nampak simptom strok.

"Sepanjang lapan bulan sakit sebelum dia meninggal, ibu dimasukkan ke hospital sebanyak lima kali. Selepas balik kerja pukul 5 petang, saya akan ke hospital dan berada di sana sampai pukul 12 malam.

faradi1

Arwah ibu menjadi inspirasi dalam perjuangan Faradi untuk menamatkan pengajian.

"Selepas cuci najis, bagi dia makan dan solat Isyak, saya akan duduk di beranda hospital untuk menulis dan buat nota. Mulanya saya fikir, kenapa diuji begini?

"Tapi saya pegang pada takdir, Allah tak akan uji kalau bukan atas kemampuan sendiri. Ujian orang lain lebih besar. Saya anggap perjalanan hidup ini merupakan aturan Allah yang terbaik," ujar anak kedua daripada lima beradik itu.

Menurut Faradi lagi, dia kini sedang membiasakan diri dengan ketiadaan ibunya dan menganggap pemergian itu sebagai satu tamparan yang hebat.

"Sebelum ini saya sentiasa ulang-alik hospital, saya juga tinggal dengan arwah. Apabila hilang, ia jadi satu tamparan hebat. Mulut kata reda, tapi tak mudah nak lalui fasa setiap hari tanpa dia.

faradi

Kematian ibunya pada Ogos lalu memberi kesan mendalam buat Faradi.

"Pada peringkat awal, saya pergi ke kubur hampir setiap hari. Kebetulan tanah perkuburan terletak betul-betul di belakang rumah saya. Ada waktu terluang, saya akan ke kubur.

"Bukanlah nak meratap, tapi saya tenang apabila pergi ke kubur walaupun tak boleh berbicara dengan arwah. Cuma kunjungan itu saya harap dapat beri ketenangan pada diri saya," ujarnya lagi.

Mengulas video tular di pusara ibunya, Faradi berkata dia tidak pernah berniat untuk menjadi perhatian umum, sebaliknya sekadar berkongsi untuk kenangan peribadi.

"Saya sebenarnya tak tahu video ini dah viral. Sebab saya biasanya menjadikan media sosial sebagai platform diari, sebagai kenangan untuk diri sendiri.

"Cuma TikTok saya tidak berada dalam tetapan privasi, bila terbuka, tak sangka video saya jadi perbualan," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain