suria

Nurse kata anak dah meninggal, ibu tak percaya sebab doktor ucap ‘Alhamdulillah’! Detik pilu di Makkah kekal di ingatan

Pada 18 Disember 2022, genap tujuh tahun Rikhail meninggal dunia.

PILU hati seorang ibu apabila anaknya yang menghidap epilepsy dan Cerebral Palsy meninggal dunia ketika sedang menunaikan umrah.

Ketika dihubungi mStar, Dayang Norfitri, 40, menceritakan bagaimana anaknya, Muhammad Rikhail yang berusia 11 tahun itu ‘pergi’ dengan tenang ketika tidur selepas subuh, pada hari Jumaat tanggal 18 Disember 2015 di Makkah.

Wanita itu yang senang disapa Dayang berkata, sebelum keluarganya berangkat menunaikan umrah, anaknya tiada masalah kesihatan serius kerana hasil pemeriksaan kesihatan setiap bulan di Hospital Kuala Lumpur, doktor mengesahkan dirinya dalam keadaan baik.

Dayang berkata menunaikan umrah bersama ahli keluarganya, termasuk ibu bapa mentuanya.

Suri rumah itu berkata, detik sedih itu bermula apabila anaknya kelihatan 'kebiruan' ketika sedang tidur di hotel dan terus digegaskan ke pusat perubatan.

Apabila sampai di pusat perubatan, dia masih menaruh harapan dan tak putus berdoa agar anak sulungnya itu selamat ketika dirawat doktor bertugas.

Dayang sekeluarga menunaikan umrah pada 2015.

“Dalam masa 20 minit doktor memeriksa, saya berasa lega apabila mendengar doktor ucap ‘Alhamdulillah’, namun jururawat tidak memberikan apa-apa tindak balas," katanya mengimbas situasi di hospital.

Dia berkata apabila jururawat mencabut wayar yang dipasang pada badan anaknya, hatinya tergerak untuk bertanya.

“Maafkan saya puan, anak puan sudah meninggal dunia,” kata Dayang, mengimbas kata-kata jururawat berkenaan.

Pada masa itu Dayang agak keliru kerana baru sebentar tadi dia terdengar doktor menyebut ungkapan ‘Alhamdulillah’.

Ketika dia masih tidak dapat menerima kenyataan mendengar perkhabaran duka itu, doktor datang dan mengesahkan anaknya telah meninggal dunia dan dia sewajarnya bersyukur kerana kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir di Makkah.

Keadaan arwah di pusat perubatan ketika menerima rawatan kecemasan.

“Air mata saya terus mengalir, masih belum dapat menerima kenyataan. Terus diam dan tidak berkata apa-apa.

“Saya hanya mampu memeluk erat tubuh Rikhail dengan harapan sekali lagi dia boleh bangun semula.

“Setelah dipindahkan ke bilik mayat bagi mendapakan kelulusan dari kedutaan untuk proses pengebumian di tanah suci, saya masih tidak tenteram, masih mengharapkan abang (Rikhail) akan bangun balik,” kata Dayang.

Selepas itu, Dayang dan suaminya, Rafify Ramlan, 41, pergi ke bilik mayat sebelum arwah di bawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan.

Menurutnya, kaum wanita tidak dibenarkan mendekati jenazah dan justeru dia hanya menunggu suaminya memandikan anak lelaki mereka buat kali terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Mak nak bawa satu beg saja” - Ibu meninggal masa buat umrah, anak kongsi kebaikan arwah... paling ingat kata-kata doktor di Madinah

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa rentung dalam kemalangan rupanya baru pulang umrah, sempat kongsi petikan doa di WhatsApp sebelum kejadian

Lebih menyedihkan apabila dia juga tidak boleh mengiringi jenazah masuk ke masjid dan tanah perkuburan.

Dayang berkata, ketika itu dia mempunyai kekuatan untuk menerima ujian ini kerana anak-anaknya yang lain ada bersamanya.

“Saat mengemas barang-barangnya untuk dibawa pulang, saya nak menjerit sekuat-kuat hati tapi hanya mampu menangis kerana memikirkan masih dikelilingi orang-orang yang saya sayang.

“Kekuatan yang datang tiba-tiba itu membuatkan diri saya terus tabah untuk menyusun barang-barangnya tanpa ada yang tertinggal.

“Berat untuk saya tinggalkan tanah suci Makkah kerana di situlah kenangan, pelukan, senyuman terakhir saya bersama satu-satunya anak lelaki, Muhammad Rikhail,” ujarnya.

Dayang hanya berdoa agar dipermudahkan urusan mereka sekeluarga menunaikan umrah pada masa akan datang.

Dayang berkata tubuh arwah agak susut sebelum meninggal dunia.

Ditanya tentang perancangan untuk sekali lagi berangkat ke Tanah Suci, ibu kepada empat orang anak itu sedikit bimbang kerana telah membuat tempahan pada Oktober tetapi mungkin tidak dapat berangkat mengikut jadual.

“Sepatutnya kami berangkat pada 26 Disember ini tapi ada masalah penginapan di Madinah kerana bilik hotel di sana penuh.

“Jadi, saya masih menunggu jawapan dari agensi umrah yang lain untuk berangkat ke sana pada tarikh sama ini atau sekitar tarikh tu dengan penuh sabar.

“Kami tidak ke sana selama tiga tahun bermula pandemik baru-baru ini. Risau... sekarang hati dah di sana,” ujarnya.

Menurut Dayang, dia tidak sangka video dimuat naik hanya untuk kenangan di TikTok itu akan mendapat perhatian netizen.

“Kehilangannya memberi kesan yang mendalam pada saya sehinggakan tak mampu untuk membalas komen semua orang.

“Sehingga sekarang saya takut akan satu kehilangan, trauma dan fobia apabila kehilangan orang tersayang.

“Kesannya sehingga sekarang, kadangkala timbul rasa kemurungan dalam diri saya,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain