suria

“Mak Leha, Mak Jenab tak perlu susah-susah kira” - Kahwin tak sampai sebulan, followers gelabah dapat tahu pengantin hamil 6 minggu

Zara memberikan penjelasan mengenai tanggapan buruk netizen terhadapnya.

“KAHWIN tak sampai sebulan, tiba-tiba sudah mengandung enam minggu.”

Begitulah persoalan yang timbul dalam kalangan pengguna media sosial setelah menonton video dikongsikan Zara Zayne.

Menurut Zara, perkara itu mula menjadi kemuskilan netizen apabila mereka mendapat tahu dirinya mengalami keguguran ketika kandungan berusia enam minggu, sedangkan dia baru berkahwin pada 2 Disember 2022.

Walaupun terdapat istilah bunting pelamin yang bermaksud pengantin perempuan hamil sewaktu atau sejurus selesai bernikah, nampaknya masih ada kelompok masyarakat yang kurang faham atau keliru mengenai perkara ini.

Lebih parah apabila ada yang menuduh wanita bunting pelamin itu hamil anak luar nikah, disebabkan usia kehamilan mereka lebih lama dari tempoh berkahwin.

Tangkap layar perkongsian Zara di TikTok.

Bagi menerangkan situasi sebenar, Zara yang terpalit dengan isu sama menceritakan apa yang terjadi menerusi satu video dimuat naik, termasuklah membalas salah satu komen yang diterima, mendakwa dirinya 'tersalah buat perkiraan'.

“Saya bukan tak tahu saya datang bulan. Saya memang dah period masa tu (keguguran). Saya lewat datang bulan tujuh hari.

“Apabila keluar darah (datang bulan) banyak sangat dan kemudian keluar satu ketulan besar yang saya tak pernah jumpa (alami). Keluar darah sebesar itu,” ceritanya sambil menunjukkan saiz ketulan menggunakan tangannya.

Tidak melenting dengan soalan diajukan, Zara sempat memaklumkan bahawa ketulan itu keras seperti daging.

Setelah memaklumkan perkara itu kepada suaminya, mereka berjumpa dengan seorang doktor bagi mendapatkan kepastian mengenai hal tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Entah dari mana dapat” - Ibu hamil 33 minggu terkejut positif HIV, masa mula buka buku pink tak diberitahu apa-apa

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 6 bulan bersalin, mengandung lagi! ‘Mental koyak’, wanita ini berkira-kira nak gugur tapi suami pula ugut talak

Jelas Zara, setelah berjumpa dan membuat semakan dengan doktor, sememangnya ketulan tersebut merupakan ketulan darah ‘anak syurga’ yang tidak dapat diselamatkan.

“Menjawab persoalan saya kahwin tak sampai sebulan dah mengandung enam minggu... bagi yang sudah pernah mengandung, dia tahu cara pengiraan tu macam mana. Saya beritahulah bagi yang mungkin tak pernah tahu atau rasa mengandung.

“Kalau anda beritahu doktor (mengenai kehamilan), dia akan tanya satu benda sahaja. Bila tarikh terakhir anda datang bulan,” katanya.

Menjawab persoalan saya kahwin tak sampai sebulan dah mengandung enam minggu.

ZARA

Tambahnya lagi, bagi memudahkan asas pengiraan, doktor hanya akan bertanyakan tarikh bermulanya wanita itu datang bulan untuk mengetahui usia bayi dalam kandungan.

Begitulah cara anggaran umur dibuat oleh pihak doktor kerana mereka tidak lagi dapat mengira usia sebenar setelah bayi meninggal.

Ketika wanita ini masih bersedih tentang kandungannya yang gugur, dia turut menitipkan pesanan supaya masyarakat di luar sana tidak perlu bersusah payah mengira tarikh pernikahan dan usia kandungannya.

"Jadi untuk doktor ni mengira... dia akan tanya anda hari pertama period yang terakhir. Saya bukan doktor. Awak tanyalah doktor.

"Macam dia kira tarikh datang bulan saya bulan Disember sampai sekarang ni. Dari situ doktor dapat anggarkan enam minggu. Itu anggaran sebab budak (anak Zara) dah tak ada. Sebab kalau budak tu ada, doktor scan. Doktor nampak besar, jadi doktor akan tahu.

"Jadi Mak Leha dan Mak Jenab (gelaran untuk pengikut) tak perlulah susah-susah mengira. Kalau dikira memang tak sampai sebulan lagi (berumah tangga). Buat penat saja. Jari ada 10, kira banyak-banyak buat apa," katanya lagi.

Melalui ruangan komen, ramai netizen turut berkongsi mengenai diri mereka yang bunting pelamin.

Zara menjelaskan spekulasi dibuat oleh netizen.

Di samping itu, ramai yang mengakui bahawa mereka terhibur dengan cara Zara membuat penjelasan.

Semakan mStar mendapati bahawa video tersebut meraih lebih 390,000 jumlah tontonan setelah disiarkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain