suria

“Dia kata nak ikut abangnya” - Jalan sendirian di kawasan ramai warga asing, budak ini menonong naik kereta ‘stranger’... sikit pun tak rasa takut

Kanak-kanak ini ditemui berjalan sendirian di kawasan sunyi.

JENAYAH culik yang menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa bukan sesuatu yang asing dan ia cukup membimbangkan.

Kecuaian ibu bapa mahupun penjaga dalam memastikan keselamatan anak-anak khususnya yang masih kecil menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes culik.

Perkara itu yang ditakuti Fahrina Md Zin, 36, ketika dia terserempak dengan seorang budak perempuan berumur lima tahun pada Isnin baru-baru ini berjalan sendirian di sebuah kawasan perumahan di Alor Gajah, Melaka.

Ketika dihubungi mStar, Fahrina berkata dia yang secara kebetulan lalu di kawasan tersebut menaiki kereta kemudiannya mengikuti rapat di belakang kanak-kanak itu sebelum berhenti untuk bertanya tentang keadaannya.

Tambah Fahrina, lokasi tersebut iaitu di Taman Jati Indah, Simpang Ampat agak sunyi namun mempunyai ramai pekerja asing lalu lalang membuatkan dia lebih risau melihat budak itu berjalan bersendirian.

“Semasa saya mendekati budak itu dengan kereta, dia kelihatan seperti ingin lari. Tapi apabila saya ajak dia naik kereta, dengan mudah sahaja dia turuti.

Kanak-kanak ini didapati berjalan sendirian di kawasan sunyi.

“Sebelum itu saya ada nampak beberapa buah motosikal lalu melepasi budak itu, tapi tak ada yang berhenti untuk bertanya tentangnya.

“Apabila saya tanya budak itu nak ke mana, dia beritahu mahu mengikut abangnya. Namun, saya tak nampak pun abangnya,” ujar Fahrina.

Terdahulu Fahrina berkongsi dua rakaman perbualannya bersama kanak-kanak itu di TikTok hingga meraih jumlah keseluruhan hampir sejuta tontonan.

Bercerita lanjut Fahrina yang merupakan tukang urut orang berpantang itu berkata, pada awalnya dia berhasrat untuk membawa kanak-kanak itu ke balai polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak! Budak hilang pengawasan di Dataran Merdeka enggan sebut nama bapa untuk pengumuman, rupanya ayah dah tiada

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 3 tahun meraung cari famili, syukur remaja SPM muncul jadi hero... Momen ibu terduduk dapat balik anak hilang buat ramai sebak

Namun dia menukar fikiran kerana mempunyai urusan kerja dan ingin mempercepatkan perjalanan ke rumah pelanggannya.

Sebaliknya Fahrina terus menghantar kanak-kanak yang petah berkata-kata itu pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun Fahrina tidak sempat untuk berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan kerana dia terus berlari keluar dari kereta apabila sampai ke satu lokasi yang difahamkan berdekatan dengan rumahnya.

Hantaran asal Fahrina di Facebook.

“Saya ada nampak seorang lelaki berumur, saya ingatkan itu datuknya. Tetapi apabila saya bertanya, dia menafikan bahawa budak itu cucunya.

“Namun begitu dia ada berkata yang rumah budak itu terletak di lorong perumahan yang sama,” katanya.

Fahrina turut berkongsi tentang kanak-kanak itu menerusi satu hantaran di Facebook dengan harapan ibu bapa atau ahli keluarganya dapat maklumkan keadaannya sekarang.

Selain itu Fahrina juga berkata yang dia mempunyai hasrat untuk pergi ke lokasi sama lagi untuk melihat sama ada kanak-kanak berkenaan masih berkeliaran sendirian atau sebaliknya.

Ini salah siapa? Kena ambil tindakan pada mak ayah atau waris, bahaya... nanti menangis tak sudah kalau apa-apa terjadi.

NETIZEN

Rata-rata netizen menyuarakan kebimbangan tentang nasib si kecil itu sekiranya dia menemui orang yang berniat jahat.

Namun mereka berterima kasih kepada Fahrina kerana peka dengan situasi itu malah terus bertindak menghantar pulang ke pangkuan keluarganya.

“Ada jiran saya perangai macam ini. Pada suatu hari, anaknya merayau. Saya sorokkan dalam rumah, bagi makan dan minum dari pagi hingga petang. Melalak ibunya mencari satu kampung.

“Itu pun laju sahaja naik ke kereta, nasiblah orang berniat nak tolong. Kalau sebaliknya, macam mana?

Antara komen netizen di TikTok.

“Ini salah siapa? Kena ambil tindakan pada mak ayah atau waris, bahaya. Nanti menangis tak sudah kalau apa-apa terjadi,” demikian antara komen netizen.

Fahrina berkata yang dia tidak seratus peratus menyalahkan ibu bapa budak itu kerana faham situasi mereka jika sedang bekerja namun menasihatkan orang sekeliling untuk terus prihatin jika perkara seperti ini berlaku pada mereka.

“Macam-macam boleh jadi. Apabila saya nampak perkara seperti ini berlaku, saya ingat kes rogol sahaja.

“Saya rasa jalan itu tak sesuai untuk budak jalan bersendirian. Tempat itu banyak orang asing, ada kebun kelapa sawit dan rumah kosong.

“Bagaimana kalau nasib budak itu tidak baik, orang tak diingini yang jumpa? Sebelum terjadi apa-apa, orang sekeliling perlu main peranan,” pesan Fahrina kepada orang ramai.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain