suria

Abang lori disangka gila sebab main signal tengah jalan! Rupanya ada kod tersirat, nak bantu pemandu kereta guna ‘komunikasi lampu’

Seorang pengguna berkongsi maksud di sebalik lampu signal dari sebuah treler.

SETIAP individu pastinya pernah terperangkap dalam barisan kereta yang panjang.

Lebih memeritkan apabila situasi berlaku di jalan kampung yang bengkang bengkok dan di hadapan kita adalah sebuah treler yang bergerak sangat perlahan.

Untuk memotong kenderaan berat tersebut, pemandu memerlukan pengalaman dan penilaian yang tepat kerana jika tersilap langkah, pasti ada nyawa yang menjadi korban.

Ciapan asal di laman Twitter.

Treler yang bersaiz besar mengakibatkan pemandu di belakang juga mempunyai titik buta (blind spot) sekali gus menyukarkan untuk melihat kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Lebih mencabar apabila jalan yang berliku menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan muncul dengan sekelip mata dari sebalik selekoh tanpa dapat diduga pemandu.

Melalui satu pendedahan di laman Twitter, seorang pemuda berkongsi bagaimana rata-rata pemandu treler memahami kesukaran yang dihadapi pemandu kereta yang berada di belakang dan mereka sebenarnya ada cara untuk membantu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider langgar lampu isyarat, rempuh wanita sarat hamil 7 bulan! Suami mangsa cari pelaku ‘ajak bincang’

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Menyirap terlepas lampu hijau sebab motor depan kereta tak pandai main clutch, lagi geram sebab duduk di ‘Melaka Darul traffic light’

Bagaimanapun, bantuan yang diberikan itu adakalanya tidak dapat ditafsir oleh pemandu kereta kerana ia berbentuk lampu tanda arah (signal), seakan-akan kod Morse.

Melalui penggunaan lampu signal, pemandu treler akan memberitahu sama ada kenderaan di belakang selamat untuk memotong atau sebaliknya.

"Lampu tanda arah kanan dibuka, maksudnya keadaan tak selamat dan ada kenderaan di hadapan. Jangan memotong.

Ibu bapa saya cakap senior driver je macam ni. New driver sekarang dah tak buat macam tu.

NETIZEN

"Lampu tanda arah kiri dibuka, keadaan selamat dan jalan lurus, silakan memotong treler itu.

"Kedua-dua lampu tanda arah kiri dan kanan dibuka, lampu hazard, jangan mendekati treler itu kerana dia mungkin tidak dapat menaiki jalan berbukit.

"Selepas dah lepas treler tu, jangan lupa tekan hon sekali tanda terima kasih kepada abang lori," demikian penerangan yang ditulis pada video itu.

Manakala menurut pemilik ciapan itu, komunikasi melalui lampu tanda arah ini sudah menjadi kebiasaan buat mereka yang kerap berulang alik ke Pantai Timur.

Maksud di sebalik lampu tanda arah sebuah treler.

"Pemandu dari Pantai Timur rasanya dah biasa dengan isyarat ni, terutamanya yang lalu di laluan Bentong dan Gerik," katanya.

Sebelum ini pernah tular di media sosial bagaimana pemandu di jalan raya menggunakan lampu tanda arah untuk mengucapkan terima kasih dengan menyalakannya sebanyak dua kali.

Menjengah ke ruangan balas tweet, rata-rata warga maya terkejut apabila mendapat tahu wujudnya isyarat tersembunyi yang digunakan oleh pemandu treler melalui lampu tanda arah.

"Weh aku pernah bebel seorang diri marah cakap pemandu lori depan aku ni gila main signal waktu tengah hujan.

"Duduk main signal sengaja nak mainkan aku ke apa. Sekali macam ni maksud dia rupanya. Maaf ya abang lori.

"Memang saya perasan juga isyarat ni kalau lalu jalan kampung waktu malam belakang lori, kadang tu dia akan siap pasangkan high beam untuk suluhkan jalan depan kita," kata sebilangan warga maya.

Ciapan balas sebahagian warga maya.

Ada juga netizen yang berharap melalui perkongsian tular ini orang ramai dapat lebih cakna dengan isyarat yang diberikan kenderaan berat.

"Saya ada pernah duduk belakang satu kereta ni, depan dia lori, brother depan tu dah bagi signal kiri banyak kali tapi kereta tu tak potong juga.

"Akhir sekali terpaksa la saya potong dua kenderaan terus, bila lalu tengok driver kereta tu perempuan, patut la," kata netizen itu.

Namun begitu, ada juga yang mengingatkan bahawa tidak semua kenderaan berat menggunakan kaedah isyarat tersebut dan menasihatkan pengguna jalan raya untuk tetap memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memotong.

"Ibu bapa saya cakap senior driver je macam ni. New driver sekarang dah tak buat macam tu.

"Kalau lori bagi signal kiri jangan main redah je potong, check dulu. Ada kemungkinan lori tu bagi signal kiri sebab memang lori tu nak berhenti kiri atau belok kiri.

"Kalau nampak lori tu dah bagi signal kiri banyak kali tapi tak belok-belok juga, maksudnya betul la tu dia bagi isyarat dekat kita, boleh potong," kata sebilangan warga maya memberikan penjelasan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain