suria

Wajah penuh jerawat batu, MUA sampai malu nak mekap pelanggan! Terpedaya dengan produk merkuri, kulit cantik cuma sementara

Bella memiliki wajah penuh jerawat selepas tersalah memakai produk berbahaya.

AKIBAT tersilap langkah, wanita ini terpaksa menanggung malu untuk berdepan dengan orang awam terutama sekali pelanggannya.

Rasa hiba juga ditanggung oleh jurusolek, Raja Balqis Nabila, 27, apabila wajahnya kini dipenuhi jerawat batu gara-gara tersalah memakai produk merkuri berbahaya sekitar sebulan yang lalu.

Ketika dihubungi mStar, dia yang lebih mesra disapa Bella menceritakan semula bagaimana bermulanya episod hitam berlaku kepada dirinya gara-gara set penjagaan kulit yang tidak dinyatakan jenama.

“Bermulanya muka jerawat teruk macam ni sebab saya pakai satu produk merkuri selama sebulan. Yang saya pelik sebelum mengandung dulu pernah guna produk sama selama enam bulan tapi muka cantik, elok dan lawa saja.

“Bila guna semula selepas bersalin terus tak sesuai. Mungkin campur dengan masalah hormon sekali. Faktor yang mendorong saya untuk beli produk tu... saya sendiri nak beli sebab tengok ramai guna lawa saja kulit mereka.

“Saya pun terpengaruh nak cuba walaupun saya dah tahu produk tu ada merkuri. Saya tahu produk ni daripada seorang Instafamous. Itu yang terjebak juga nak cuba,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tutuplah mata tu tak payah pandang” - Disuruh jaga muka penuh jerawat, gadis akui menangis sebelum rakam video tapi tetap tenang jawab komen tak sensitif

ARTIKEL BERKAITAN: Kekasih pun lari kerana jerawat batu! Bertahun kena ‘face shaming’, keluarga berhabis duit selamatkan wajah si gadis... siapa sangka kini menghitung hari bahagia

Menurut wanita yang memiliki tiga cahaya mata ini, produk tersebut terdiri daripada empat item yang perlu dipakai setiap hari iaitu sabun pencuci muka, toner, krim malam dan krim siang.

Namun, siapa sangka, kulit wajahnya yang dahulunya kelihatan mulus berseri, kini dipenuhi ketulan jerawat sehingga dia hilang keyakinan diri.

“Saya tak ada kerja tetap. Saya cuma buat bisnes make-up pengantin sejak enam tahun lepas lagi. Tapi sejak muka naik jerawat batu teruk ni saya mula rasa ‘down’ nak solek orang.

“Tapi nak tak nak, kena jugalah solek pelanggan. Ye lah... itu saja sumber pendapatan saya. Tapi syukur sepanjang saya make-up orang, tak ada seorang pun tegur fasal jerawat. Mungkin mereka nak jaga hati saya.

Wajah Bella sebelum (kiri) dan selepas dinaiki jerawat.

“Orang di sekeliling pun tak ada cakap apa cuma mereka tanya kenapa muka macam ni. Tapi sejak video saya kongsikan viral di media sosial, makin ramai tanya soalan macam-macam,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Bella yang menetap di ibu kota berkata terdapat segelintir individu menganggap bahawa dia terkena buatan orang.

Bagaimanapun, dia tetap berasa lega dan terharu apabila suaminya, Muhammad Noor Sazzuan Shah sentiasa memberikan semangat serta menyokong dirinya.

“Ada yang cakap saya terkena buatan orang. Ada juga yang cakap kena ‘penyakit ain’. Saya ada juga berjumpa ustaz tapi macam biasalah mereka tak akan beritahu siapa hantar atau memang kena santau atau tidak. Ustaz pun hairan lepas tengok muka saya.

Setiap kali saya nak pergi rumah pelanggan, dia hantar dan teman saya dengan tunggu dalam kereta. Dari dulu sampai sekarang.

RAJA BALQIS NABILA

“Alhamdulillah suami terima kekurangan saya yang dah masuk lapan tahun berumah tangga. Dia selalu bagi semangat kalau tiba-tiba saya malu nak keluar rumah pergi kerja.

“Setiap kali saya nak pergi rumah pelanggan, dia hantar dan teman saya dengan tunggu dalam kereta. Dari dulu sampai sekarang. Syukur sangat dia tak pernah berubah,” katanya lagi.

Ujarnya, hantaran yang dibuat di TikTok bertujuan memberikan kesedaran tentang bahaya dan kesan buruk memakai produk mengandungi bahan kimia terlarang.

Mengakui bahawa ia merupakan satu penyesalan terbesar dalam hidup, Bella berharap tiada lagi individu lain berdepan nasib sama seperti dirinya.

“Nasihat saya, anda semua janganlah guna produk macam ni yang berlambak di pasaran. Produk merkuri ni memang akan cantikkan kita tapi kalau berhenti pakai habislah memang teruk berjerawat.

Bella dan suami sudah berkahwin lebih lapan tahun.

“Bukan saya seorang tapi ramai lagi dah kena macam ni. Sebelum nak beli produk penjagaan kulit kenalah buat kajian terlebih dahulu. Jangan jadi macam saya... menyesal pun tak guna.

“Jadi tolonglah jangan guna produk macam ni. Buatlah pilihan bijak. Kulit saya ni dari dulu lagi memang sensitif jadi bila guna produk macam ni terus jadi makin menipis dan merah.

"Makin menjadi-jadi walaupun dah berhenti guna. Tak guna cantik sekejap tapi tanggung seksa lebih lama dari tu,” kata Bella.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain