KIRA-KIRA 60,000 penonton di konsert penyanyi dan komposer legenda dari India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu malam terpukau dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Malah, ramai yang memberi penghargaan standing ovation selepas penyanyi nombor satu negara itu selesai menyanyikan lagu Munbe Vaa. Namun di sebalik kebanggaan peminat muzik daripada pelbagai bangsa yang terhibur pada konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023, terpalit dengan insiden yang kurang manis. Persembahan Siti Nurhaliza memukau penonton di konsert AR Rahman. foto instagram @ctdk / @nabilhussin Apa yang tidak sedap didengar, salah seorang peminat Siti Nurhaliza yang juga merupakan influencer di media sosial, didakwa tidak sensitif dengan masyarakat India. Influencer yang mempunyai 118,000 pengikut di Instagram itu menulis perkataan kel*ng di ruangan instagram story. ARTIKEL BERKAITAN: Meremang dengar Siti Nurhaliza nyanyi lagu 'Munbe Vaa', Raja Ilya puji sebutan bahasa Tamil tepat dan jelas Ia merupakan perkataan yang dianggap menghina dan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini. Menurut gadis itu, dia pening mendengar lagu kel*ng dan mahu mendengar lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza. Influencer berkenaan tampil memberi penjelasan. Klip video instagram storynya tular di media sosial dan rata-rata netizen kesal dengan tindakannya itu, malah menyifatkannya mencemarkan usaha Siti Nurhaliza untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum menerusi persembahan beliau pada malam itu. "Cuma nak cakap la. Siti Nurhaliza melakukan banyak usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan kita dengan mempersembahkan lagu Tamil. Datang gadis ini cuba merosakkannya seperti adakah anda peminat sebenar Siti? Anda memalukan keluarga Sitizoners. Datang gadis ini cuba merosakkannya seperti adakah anda peminat sebenar Siti? Anda memalukan keluarga Sitizoners. NETIZEN "Aku salah seorang yang pergi dan tak faham pun. Tapi aku enjoy je. Habis je satu lagu, aku yang bersorak lebih sebab crowd happening gila. "Datuk Siti kolaborasi dengan AR Rahman supaya orang sedar bahawa tiada jurang kaum. Penat je TokTi hafal lagu yang bukan bahasa dia tapi orang macam ni masih duduk di bawah tempurung," demikian antara komen netizen. Susulan kecaman yang dilemparkan, influencer berkenaan tampil membuat permohonan maaf, menerusi hantaran di instagram storynya. Gadis itu turut membuat permohonan maaf di atas kesilapannya. Menurut gadis itu, dia mengakui tindakannya menggunakan perkataan kel*ng itu sebagai satu kesilapan dan kekhilafannya sendiri. "Tentang menggunakan perkataan 'K', ia adalah daripada kesilapan dan kekurangan serta kekhilafan sis sendiri kerana tidak alert dan teliti dengan perkataan terbabit. "Tiada niat walau sebesar zarah untuk menghina mana-mana pihak terutama kawan-kawan berbangsa India," katanya. View this post on Instagram A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) Tegasnya lagi, tiada unsur penghinaan tetapi mungkin perkara yang berlaku disebabkan keterujaannya hadir ke sebuah konsert gergasi buat pertama kali. "Kadang-kadang apabila perasaan menguasai diri, terus lupa akal yang sepatutnya mengawal kata-kata dan tulisan. "Sekali lagi, sis memohon kemaafan pada seluruh kawan-kawan berbangsa India dan menyeru semua rakyat Malaysia sentiasa berhati-hati serta menghormati bangsa lain kerana kita tak ubah seperti aur dan tebing yang mana saling memerlukan antara satu sama lain," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube