suria

Alahai anak! Si kecil sumbat pemadam dalam telinga kanan, ibu urut dada doktor kata telinga kiri pun ‘dia masukkan benda’

Anis mengadu sakit telinga kanan, rupanya sebab dia sumbat pemadam.

KERENAH anak-anak yang sedang membesar sangat memberi cabaran kepada ibu bapa terutamanya jika si kecil seorang yang aktif dan suka mencuba benda baharu.

Seperti mana kisah dikongsi oleh seorang ibu, Susilawati Ahmad, 40, menerusi video di Tiktok yang memaparkan anak perempuannya berusia lapan tahun mengadu sakit telinga di sebelah kanan.

Setelah diperiksa, dia amat terkejut apabila melihat ada seketul benda asing berwarna putih di dalam telinga anaknya, Anis NurulJannah.

Pemadam yang dimasukkan Anis ke dalam lubang telinganya

"Mulanya saya tak tahu kenapa dia sakit sebab saya baru je bersihkan telinga dia. Tiba-tiba lepas balik sekolah pada Ahad lalu dia datang dekat saya sambil bawa alat korek telinga yang ada lampu tu dan cakap telinga sakit.

"Saya cuba korek. dia masih kata sakit. Saya tak puas hati cuba suluh lampu dalam lubang telinga dan nampaklah ada benda warna putih.

"Saya tanya dia apa dalam telinga tu. Dia tak mengaku apa-apa. Dia cakap tak tahu apa benda putih dalam telinga tu," katanya ketika dihubungi mStar.

Anis merupakan pelajar tahun dua dan belajar di sebuah sekolah di Tangkak, Johor.

Bimbang telinga anaknya cedera, dia segera bergegas ke klinik kesihatan untuk melakukan pemeriksaan pada pukul 2.30 petang.

Ketika berada di klinik berkenaan, doktor yang merawat anaknya hairan bagaimana benda asing yang berwarna putih itu boleh berada di dalam lubang telinga Anis.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Elak ajar magik masukkan objek dalam mulut... pakar ENT bimbang bendasing tersangkut di saluran pernafasan, boleh melayang nyawa

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak percaya 3 doktor kata telinga anak ada jangkitan kuman, tapi nalurinya terbukti tepat - “Doktor cakap puan betul”

Selepas ditanya berkali-kali, Anis akhirnya mengaku kesakitan itu disebabkan dia telah memasukkan sebiji pemadam ke dalam telinganya.

"Sepanjang perjalanan ke klinik dia diam sahaja tak cakap apa-apa sampailah doktor periksa dan kata ni bukan tahi telinga.

"Selepas saya tanya berkali-kali, tiba-tiba dia nangis dan cakap dia masukkan pemadam. Waktu tu saya terkejut macam mana dia boleh terfikir nak masukkan pemadam dalam telinga. Nak marah tapi fikir anak tengah sakit, jadi simpanlah dulu marah tu.

"Bila dapat tahu doktor suruh masuk bilik rawatan untuk nurse keluarkan pemadam tu guna pengepit besi. Cuba punya cuba tak boleh juga nak keluarkan. Anis pun dah menangis dan menjerit sakit," katanya.

Setelah beberapa kali percubaan, jururawat memaklumkam pemadam itu gagal dikeluarkan dan dalam masa sama mereka juga bimbang pemadam itu akan masuk lebih dalam jika terus mencuba.

Terima kasih kepada semua doktor yang berusaha untuk mengeluarkan pemadam dari telinga Anis.

WATI

Seterusnya, doktor meminta Wati membawa anaknya ke sebuah hospital di Tangkak.

"Doktor bagi surat refer ke hospital sebab klinik dah tak boleh buat. Bila sampai semua doktor cuba nak keluarkan pemadam tu tapi masih tak boleh.

"Bila dah cuba banyak kali, terlukalah sikit bahagian dinding telinga dia. Berdarah, makin dia takut.

"Akhirnya doktor beritahu mereka juga gagal sebab pemadam tu dah tersangkut di dinding telinga. Anis pula tak berhenti menjerit," katanya sambil menambah dia menganggarkan berada di hospital itu selama dua jam.

Setelah dua kali gagal, akhirnya doktor di hospital berkenaan meminta Wati segera ke unit kecemasan Hospital Muar.

Setelah beberapa kali cuba mengeluarkan pemadam, lubang telinga Anis berdarah.

Dalam masa sama Wati berkata, dia turut memujuk Anis supaya memberi kerjasama agar usaha mengeluarkan pemadam berjalan dengan mudah dan cepat.

Anis akhirnya terpaksa dirujuk ke pakar Telinga, Hidung dan Lidah (ENT) Hospital Sultanah Fatimah Muar keesokan harinya (Isnin).

"Sampai hospital, kami terus ke zon kuning. Waktu tu pukul 6 petang tak silap saya. Alhamdulillah lepas pujuk tu nampak dia relaks sikit. Tak nangis dah.

"Esoknya saya datang dan beritahu anak saya akan meronta kalau sakit. Jadi doktor pakar minta kebenaran untuk bedung dan ikat tangan dia. Beberapa kali cuba akhirnya Alhamdulillah berjaya keluarkan.

"Dah selesai semua doktor maklumkan yang telinga sebelah kiri pun Anis ada masukkan benda. Sebab bila doktor periksa nampak sesuatu yang berkilat. Bila sedut keluar, rupanya manik dalam telinga kiri dia. Allah makin tambah terkejut saya," katanya.

Dalam pada itu, Wati turut mengucapkan terima kasih kepada doktor yang mencuba sedaya upaya untuk mengeluarkan pemadam di dalam lubang telinga anaknya.

Anis merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik

Anis perlu berjumpa dengan doktor pakar ENT pada 8 Februari ini di hospital sama susulan pendarahan dan luka pada dinding telinganya.

"Saya sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua doktor yang berusaha untuk mengeluarkan pemadam dari telinga Anis. Terutamanya doktor di Hospital Pakar Sultanah Fatimah dari bahagian klinik ENT," katanya.

Video yang dimuat naik di TikTok itu meraih 200,000 tontonan dan lebih 4,000 tanda suka.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dan ada juga yang berkongsi pengalaman mereka berdepan situasi seperti itu.

"Anak saya masukkan manik dalam telinga. Pergi kecemasan, terus doktor keluarkan. Memang meronta dan berdarah sebab anak tak bagi kerjasama. Alhamdulillah keluar juga.

"Saya waktu kecil dulu masukkan biji kopi dalam hidung. Akhirnya tak keluar. Terpaksalah ke hospital untuk keluarkan.

"Allahuakhbar. Teringat anak saya. Dia masukkan pemadam dalam telinga. Bila tanya kenapa, dia cakap kawan kelas bising," demikian antara komen netizen.

Ada juga yang memberi nasihat dan risau dengan tindakan anak-anak sehingga ibu bapa terlepas pandang.

"Allahuakhbar. Kesiannya. Sabar ya dik. Benda kalau masuk dalam telinga, bahaya. Lagi kita jalan lagi dia masuk ke dalam.

"Ini yang takutnya. Anak-anak buat kerja senyap-senyap macam ni," komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain