suria

Rupanya ada fakta sains punca selera makan bertambah kalau ada budu... Akhirnya terjawab kenapa lauk Kelantan sedap-sedap!

Budu menjadi pemangkin selera untuk apa jua hidangan nasi campur.

PERNAHKAH anda tertanya-tanya mengapa sesuatu makanan itu menjadi sangat sedap?

Alasan yang sering digembar-gemburkan dalam masyarakat adalah kehadiran monosodium glutamate (MSG) atau bahan perisa dalam masakan.

Namun begitu, selain MSG yang dijual dalam bentuk serbuk di pasaran, seorang warga maya merungkai kewujudan bahan perisa semula jadi dengan fungsi sama dalam makanan harian.

Ciapan asal di laman Twitter.

Melalui satu ciapan tular di Twitter, seorang warga maya yang dikenali sebagai Ammar @ammardathinker berkata MSG semula jadi yang dimaksudkan itu ialah tempoyak dan budu.

Tempoyak merupakan makanan tertapai yang diperbuat daripada isi buah durian manakala budu pula ialah ikan bilis yang diperam sehingga hancur.

Kedua-dua budu dan tempoyak biasanya dijadikan sebagai makanan sampingan untuk pembuka selera dan dimasukkan bersama dalam lauk nasi campur.

ARTIKEL BERKAITAN: Budu saja tak cukup! Instafamous ikut suami kerja di luar negara sanggup belajar buat kuih akok untuk berbuka

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali cuba menu Kelantan, budak KL belajar di Amerika tak sangka rasa budu macam tu sebab bau pelik... gigih buat content cakap Melayu

"Kenapa kalau kita makan lauk kampung macam sup sayur dan ayam goreng rasa biasa je, tapi kalau kita masukkan budu dan tempoyak, tiba-tiba kita akan tambah nasi berpinggan-pinggan macam sangkut ganja?

"Ya, kita ada penjelasan sains tentang benda ni," ujar Ammar.

Menurut Ammar, peraman budu yang menguraikan ikan bilis menyebabkan terhasilnya bahan kimia yang dikenali sebagai asid amino atau dalam istilah sains ialah umami.

Sekarang dah faham kenapa apabila makan budu campur petai, ulam dan singgang memang makan banyak.

NETIZEN

"Budu ni dibuat melalui penapaian ikan bilis. Sebagaimana makanan ditapai yang lain, semuanya tinggi dengan bahan umami, MSG semula jadi.

"Asid amino atau umami yang buat makanan jadi rasa sedap. Bahan umami ini boleh datang dari sumber daging dan sumber tumbuh tumbuhan.

"Macam budu ialah umami dari daging (ikan bilis) dan tempoyak pula ialah umami dari sumber tumbuhan (durian).

"Umami dengan gabungan beberapa bahan kimia lain akan menyebabkan makanan jadi berkali-ganda lagi sedap," terang Ammar.

Umami inilah yang dipanggil rasa pembuka selera, ia diambil daripada perkataan Jepun iaitu umai dan mi bermaksud rasa yang menyelerakan.

Tempoyak juga merupakan SMG semula jadi. -Gambar hiasan

Ammar sempat menambah berdasarkan pengalamannya sendiri, makanan tempatan diakui mempunyai 'ketagihan' yang luar biasa berbanding makanan Barat atau makanan dari negara lain.

"Kalau aku makan western ke Arab ke tak adanya nak tambah berpinggan-pinggan. Tapi kalau makanan kampung campur dengan budu dan tempoyak, automatik bantai tiga pinggan.

"Dah macam kena ganja dah jadinya. Sebab umami ni lah," kata Ammar.

Seterusnya Ammar juga menepis mitos yang mengatakan MSG daripada jenama Ajinomoto boleh menjadi penyebab kanser kerana ia sebenarnya diperbuat daripada bahan semula jadi.

"Jadi sebab tu kadang-kadang aku hairan apabila ada orang tak nak guna MSG dalam masakan sebab takut kanser apa bagai.

"Kalau nak tahu, kiub pati ikan bilis dan ayam, tomato, kuning telur, kicap, tulang lembu, sos ikan, sos tiram tu semua MSG semula jadi... yang peliknya itu boleh pula pakai.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

"Kadang-kadang aku rasa sebab itulah masakan Cina atau Jepun dan Pantai Timur semua sedap-sedap tapi menyihatkan.

"Sebab dia guna umami semula jadi ni je, macam budu, tempoyak, jeruk maman, sos tiram, bawang putih dan sebagainya," jelas Ammar.

Melewati ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya berasa kagum dengan pendedahan yang dibuat oleh Ammar itu.

"Laaa... okay sekarang faham kenapa apabila makan budu campur petai, ulam dan singgang memang makan banyak.

"Pecah otak, patutlah kalau ada tempoyak je terus selera aku naik lain macam.

"Kesian dekat saya yang tak lalu makan tempoyak dan budu, rasa macam tertinggal bas," ujar sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan